RENCAM media elektronik mengadun budaya “sempang peranang” ternyata bagaikan sukar di kawal lagi. Minda rakyat dihasut dengan pelbagai dakyah songsang untuk tidak terimbau jati diri agar menjadi generasi serba jumud dan ketandusan rangsangan sebagai upaya membena tamadun bangsa.
Keadaan menjadi semakin gawat bila kehadiran sidang wazir bergelar menteri goblok menerajui kementerian penerangan menambah parah situasi rencam yang menghumban imej negara di mata dunia kesan pertikaman lidahnya dengan wartawan stesyen TV Al Jazeera di hari kebangkitan gelombang kuning.
Rakyat bagaikan terkedu menyaksikan insiden cukup memalukan itu kerana menteri penerangan berbahasa celaru serta tidak terurus sama sekali ungkapan kata-katanya untuk dilihat begitu goblok berbahasa Inggeris.
Satu demi satu episod serba kalut yang dicetuskan oleh media elektronik. Sejak kehadirannya sebagai orang terpenting menerajui kementerian penerangan dan berlatar belakangkan pengalaman menjadi orang media ternyata gagal membentuknya untuk lebih peka serta berminda inovetif menyemarakkan jati diri warga bangsa sentiasa berwawasan serba gemilang untuk menjadi terbilang.
Petang tadi sewaktu mendengar enaknya kemerduan irama lagu-lagu Melayu Asli melalui saluran Radio Kelasik saya terpegun apabila irama dan melodi penyamun lewat filem “Ali Baba Bujang Lapok” digunakan sebagai irama membena semangat juang warga bangsa.
Anak kecil saya bertanya bukankah irama “hoi.. hoi ya hoi……” adalah nyanyian gembira para penyamun tarbus menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok? Bagaimana pula ia nya boleh bertukar kepada senikata yang membawa unsur kesetiaan dan pembenaan semangat kecintaan terhadap negara?
Apakah tidak ada irama lain yang boleh dijadikan sebagai latar kepada usaha menyalurkan dakyah kecintaan terhadap nusa bangsa selain dari lagu yang sudah sebati dengan rakyat menggambarkan keceriaan para penyamun?
Jika diteliti senikata lagu tersebut cukup indah di mana rakyat diseru supaya bersatu hati , membena kesetiaan terhadap nusa bangsa. Tetapi apabila iramanya menggunakan irama untuk para penyamun tarbus maka jadilah usaha tersebut dilihat bagai mahu mempersendakan kemurnian pembenaan rasa cinta terhadap pertiwi serta ia bagaikan mahu menggalakkan pendengarnya supaya menjadi penyamun.
Kenapalah begitu jumud dan “lekehnya” pemikiran seorang menteri penerangan mengizinkan pencemaran sedemikian rupa? Atau sudah kesasar sungguhkah sidang wazir serba goblok ini membenarkan semangat penyamun dijadikan sebagai satu usaha pembenaan jatidiri warga bangsa?
Dan lebih memeranjatkan lagi apabila setiap malam penonton di kaca TV disajikan pula dengan iklan seorang pemuda tionghua menawarkan perkhidmatan membantu calon usahawan meminjam wang darinya.
“Kalau mahu berniaga, boleh jumpa saya, mahu pinjam lima ribu, sepuluh ribu, itu perkara kecil, apa? lima puluh ribu? Itu tidak menjadi masaalah, saya boleh tolong. Ingat saya bukan Ahlong, tapi mahu tolong…” merupakan antara dialog yang tersiar di kaca TV dan lebih menghairankan lagi apabila alamat e mailnya tertera pula lambang kerajaan Malaysia.
Timbul persoalan di hati kita apakah memang ada pinjaman peribadi ditawarkan oleh kerajaan kepada rakyatnya untuk memulakan perniagaan? Kalau benar ujud kenapakah digunakan pemuda tionghua sebagai orang yang bertanggung jawab menguruskan pinjaman ala Ahlong? Siapakah dibelakang pemuda yang mampu membayar kos pengiklanan sebegitu besar serta menawarkan pinjaman tersebut?
Siapakah yang meluluskan penyiaran ikalan tersebut? Apakah pihak lembaga penapis filem telah meneliti kepincangan sebegitu? Kalaulah untuk penerbitan akhbar atau media cetak, para pegawai di Jabatan penerbitan kementerian Dalam Negeri begitu sibuk meneliti setiap berita dan rencana yang tersiar, kenapa pula iklan sebegitu boleh diluluskan tanpa adanya tapisan?
Memang tidak dinafikan bahawa rakyat negara ini terdiri dari berbilang kaum, namun amat tidak manis rasanya apabila seorang pemuda bukan Melayu menawarkan pinjaman untuk memulakan perniagaan kepada usahawan Melayu, ternyata ia bagaikan menghina masyarakat Melayu kerana terpaksa meminjam dari orang lain. Saya bukanlah racis atau terlalu tebal dengan perkauman, tetapi penyiaran iklan sedemikian rupa amat tidak wajar.
Lebih tidak wajar lagi bila logo kerajaan Malaysia digunakan untuk memancing yakin rakyat bahawa pemuda di dalam iklan tersebut dilihat bagaikan mewakili sesabuah jabatan kerajaan sedangkan sebelum mengenakan pakaian kerja {uniform } berlogokan lambang kerajaan Malaysia dia dilihat berada disebuah rumah biasa masyarakat tionghua. Fikir-fikirkanlah.
Selain dari itu terdapat juga sebuah iklan Jabatan Alam Sekitar yang begitu menghina masyarakat Melayu apabila digambarkan pembuangan sampah sarap dilakukan oleh sebuah keluarga Melayu yang terpaksa menanggung malu disaat menerima rombongan peminangan anak gadisnya.
Kesan dari pembungan sampah tersebut mengakibatkan beberapa ekor lalat dan langau berterbangan dimajlis itu dan timbul pula dialog…”kotor sampah.. dia buang sampah… busuk… dia busuk… busuk..busuk” Masyallah begitu hina jadinya masyarakat Melayu yang dikatakan busuk. Apakah perlakuan membuang sampah hanya dilakukan oleh masyarakat Melayu sahaja? Bagaimana dengan tuan punya kilang dan loji perusahaan?
Begitu juga apabila menatap sebuah iklan pelancongan di mana sebuah keluarga Melayu digambarkan begitu teruja untuk melancong ke Singapura kerana Pulau Temasik itu sungguh hebat gambarannya dengan pelbagai tempat menarik seperti di Pulau Sentosa yang bakal dibangunkan sebuah pusat perjudian terbesar di rantau Asean, disamping itu diwar-warkan pula murahnya harga barangan untuk tujuan membeli belah.
Hairan dan cukup menghairankan di hati ini apabila menatap iklan tersebut sedangkan di waktu yang sama Kementerian Pelancongan berbelanja ratusan juta ringgit menaja iklan serta melakukan promosi agar para pelancung datang ke negara ini. Sebaliknya di waktu yang sama hanya kerana memperolehi sedikit bayaran maka saban malam rakyat diimbau dan digamit supaya melancong ke Singapura.
Bagaimana boleh terjadi situasi sebegini? Sidang Wazir di Kementerian Pelancongan dan juga Penerangan sebenarnya mahu membawa rakyat negara ini kemana sasarannya? Disinilah ternyata begitu gobloknya pemikiran menteri yang dipertanggung jawabkan mentadbir kementerian sebegitu penting seperti kementerian Penerangan.
Ternyata kerajaan Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi relevan dengan slogannya mahu membena sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Malahan sejak akhir-akhirnya gambaran semakin jelas rakyat bagai diracuni mindanya untuk lebih tersasar dan dipesongkan kearah yang tidak menentu.
No comments:
Post a Comment