MAKA berkokoklah para sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan rasa “konyol” mereka berhubung perarakan lebih 60,000 para demonstran yang menuntut campur tangan istana dalam mempastikan aroma demokrasi terjelma kembali setelah ianya dihakiskan sebegitu buruk pasca pemerintahan Perdana Menteri monyok dan sering terlena.
Rata-rata mereka menyatakan bahawa ia bukan suara rakyat, atau sekadar segelintir anggota parti pembangkang sahaja. Malahan Mak Cik Montel Rafidah begitu bersemangat menyatakan bahawa kesan himpunan tersebut tidak sedikitpun menganggu urusan perdagangan diperingkat antarabangsa.
Sementara itu memanda Wazir dari Pahang Adnan Yakub pula cukup melenting khabarnya hingga mendesak agar pihak penganjur serta kalangan demonstran segera dipasung atau ditahan di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA). Baginya kalaupun tindakan tersebut boleh mencampakkan nama Malaysia kelembah hina dikacamata dunia, ia bukan masaalah besar.
Memanda Wazir yang sering mencarut dan begitu celupar dengan kalangan wartawan turut menyatakan bahawa tindakan memasung para demonstran amat wajar demi “survival” politik mereka untuk terus berkuasa.
Sementara itu Nazri Aziz pula menyelar hebat di Parlimen berhubung tindakan para demonstran yang dianggap sebagai petanda awal bakal kecundangnya pimpinan dari parti pembangkang apabila Abdullah Ahmad Badawi memanggil pilihanraya umum ke 12 dalam waktu terdekat.
Menurutnya tujuan penganjur mengadakan himpunan sebegitu ramai rakyat di dataran merdeka berarak ke Istana Negara adalah sebagai mendahului massa kerana dia cukup yakin parti pembangkang bakal “gulung tikar” menjelang pilihanraya umum nanti, dan sebagai mahu mengalihkan pandangan khalayak maka mereka mengumpul para penyokong untuk berarak sambil mendakwa suruhanjaya pilihanraya tidak cekap dan bersih mengikut lunas-lunas demokrasi.
Bagi Abdullah Ahmad Badawi pula cukup berkerut wajahnya apabila diwawancara oleh kalangan wakil media massa sambil menuduh perarakan tersebut bakal meletakkan nama baik negara tercemar, malahan tanpa segan atau silu dia juga menyatakan ramai yang marah terhadap perarakan seperti itu.
Sebenarnya bukan ramai yang marah kepada kalangan demonstran,tetapi hakikatnya jauh di hati kecil Abdullah sudah ternampak bayang-bayang kejatuhannya dari sianghasana Seri Perdana. Malahan inilah pertama kali cabaran seorang Perdana Menteri disanggah oleh rakyat untuk tidak sedikitpun merasa gentar.
Bagaikan terkulat-kulat jadinya Abdullah Ahmad Badawi menjawab pertanyaan para wartawan tentang reaksi serta komoennya atas kejayaan himpunan tersebut. Disamping itu dia juga namapaknya gagal mengawal emosi untuk kelihatan pucat lesi dan tidak bermaya…. Alahai kasihannya melihat hari-hari terakhir seorang pemimpin yang kian kecundang meraih yakin rakyat.
Lebih goblok lagi bila memanda wazir penerangan Zainuddin Maidin @ Mamak Cendol yang begitu berang menempelak syarikat TV Al-Jazeera kononnya mempunyai agenda tertentu bagi menghakiskan nama baik Malaysia di kacamata dunia. Tidak cukup dengan komen-komen “melalut” serba membaghalkan semasa diwawancara oleh wartawan Tv tersebut, Zam cuba pula bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi dilihat begitu jumud serta baghal dan wal kelam kabut.
Entah apa yang mahu diutarakan olehnya terlalu sukar untuk difahami. Cara dia menjawab beberapa soalan yang diajukan begitu gelojoh sekali, malahan sebutan ayat-ayat dalam bahasa Inggeris cukup sempang peranang, tidak diketahui di mana hujung dan mana satu pangkalnya….alahai!!!
Tidak cukup dengan serangan “membabi buta” kononnya Al – Jazeera mempunyai agenda tertentu dan cuba mencampuri urusan politik negara, memanda wazir @ mamak cendol ini turut menuduh bahawa “blogger” adalah terdiri di kalangan ahli parti DAP.
Ini sudah lebih, cukup tidak masuk akal. Mana mungkin kalangan blogger seperti saya sendiri, Datuk Kadir Jassin, Datuk Ruhainie Ahmad (bekas Ahli Parlimen), Datuk Shahrir Samad, Datuk Rezal Arbee, saudara Mohd Sayuti Omar, Zaharin Mohd Yassin @ Sang Kelembai, Nurina Samad, Marina Mahathir dan banyak lagi kalangan pemilik lama blog di internet boleh menerima tuduhan “membabi buta” memanda wazir mamak cendol sebagai ahli parti DAP?
Disinilah letaknya minda GOBLOK, lagi baghal dan “BENGONGNYA” spesis memanda wazir bernama Zainuddin Maidin yang diberi kepercayaan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi sebagai menteri penerangan. Kasihan para pengundi di kawasan Parlimen Merbok kerana tersalah pilih pemimpin untuk dijadikan sebagai tempat mengantung harapan.
Mungkin kerana itulah maka Abdullah Ahmad Badawi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersedia memberi jawatan Ketua Penenrangan Umno kepadanya kerana dikhuatiri mungkin lebih banyak lagi cakap serba merapu darinya bakal menghumbankan parti tersebut menjadi lebih kalut lagi.
Menyorot kesan himpunan rakyat yang berjaya dianjurkan meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis untuk menyekat para demonstran, ternyata seluruh negara bagaikan merestui tindakan nekad para demonstran menyahut cabaran Abdullah Ahmad Badawi semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno.
Kalaulah Abdullah Ahmad Badawi tidak melakukan cabaran sedemikian mungkin kehadiran petang 10 November 2007 tempoh hari tidak akan mencapai jumlah sebegitu ramai. Disamping itu jika rakyat tidak bosan oleh birokrasi dan korupsi pentadbirannya tentulah rakyat memilih untuk berehat sahaja dirumah dari berhujan dan menghadapi semburan gas pemedih mata dari pihak polis.
Sebenarnya itulah gambaran nyata betapa jijiknya rakyat merasakan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Untuk itu tidak perlulah kalangan sidang wazirnya berkokok terlolong melalak menuduh itu ini kepada rakyat. Tunggulah hari pembalasannya pada musim pilihanraya umum akan datang.
Dalam situasi sebegini beberapa panggilan telefon dan kiriman sms dari juak-juak Datuk Najib tidak pula membayangkan penentangan mereka terhadap kalangan demonstran tersebut. Jauh disudut hati mereka sudah mulai meneka dan merasakan setelah Abdullah Ahmad Badawi disingkirkan oleh rakyat apakah ada kesempatan untuknya menggantikan jawatan Perdana Menteri.
Malahan terdapat juga kalangan yang bersimpati dengan Najib merasakan itulah antara balasan awal terhadap percaturan politik Perwira Mat Lela Gila @ menantu Perdana Menteri yang begitu celupar mahu menghapuskan Najib dari persada politik Umno.
Agak hairan juga bila tidak pula terdengar sebarang komen mahupun cakap-cakap dari menantu kesayangan Perdana Menteri berhubung kejayaan himpunan 60,000 rakyat mahupun agar Abdullah segera berundur. Apakah Perwira Mat Lela Gila cukup terkedu dan terkejut melihat lautan gelombang kuning yang pada mulanya disangkakan hanya pada anggaran lima enam ratus orang sahaja.
Sewaktu membahaskan usul di perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno tempoh hari begitu hebat sekali Perwira Mat Lela Gila bertempik meminta pihak polis menangkap dan memasung mana-mana pihak yang cuba menganjurkan sebarang demonstrasi jalanan. Malahan dengan bongkak dan sombong dia juga menyatakan bahawa tidak mungkin gerakan bersih mendapat sambutan rakyat. Dan ternyata cakap-cakap serta andaiannya jauh meleset.
Sebaliknya jika tiada kawalan pihak polis untuk menyekat kemaraan rakyat mungkin lebih 200,000 rakyat akan berarak dalam gelombang kuning. Kerana itu ada baiknya jika Abdullah Ahmad Badawi dan anak-menantunya segera berkemas untuk segera meninggalkan Seri Perdana………. Masanya kian hampir di mana suara rakyat adalah suara keramat.
No comments:
Post a Comment