Friday 30 November 2007

MAAFKAN AKU TUAH

Tuah!!!
maafkan aku saat ini
untuk tidak bersama mu lagi
bukan kerna bujukan berahi
janji bulan madu diperaduan mimpi

Tuah!!!
sumpah setia yang kita ukir
di lereng bukit seguntang
saat menanti turunnya Demang Daun Lebar
memeterai ikar seribu janji bersama Sang Sapurba
tiada upaya ku pertahankan lagi
maafkan aku.... maafkan aku Tuah!!!!!

Warisan bahtera merdeka kita
layarnya kian robek
badai angin selatan semakin ganas
dan saat sebegini
yakin ku cuma Jebat
benar Tuah
cuma Jebat punya upaya
menyongsong taufan halilintar berpuaka

Aku tidak punya pilihan lain Tuah
Si Kitol bersama mamak mandaliar
onarnya tiada sempadan lagi
kelmarin.....
kepok padi kita hangus terbakar
harum kasturi budi
calar dan layu
pudar serinya

Lihat Tuah
buka mata mu...buka telinga
dengar dan perhatikan onar si kitol bersama mandaliar
mengadu domba setiap pedagang
memasang lukah di air yang keruh
pintar berseloka gurindam beracun
gelojoh membaham ulam raja

Kata mu
tak kan Melayu hilang di dunia
patang anak bumi menderhaka
kerja raja dijunjung
kerja rakyat digelek
hati kuman sama dicecah
hati gajah sama di lapah
masih ku ingat pesan mu Tuah

Senja tadi bersama lembayung kuning
Jebat meminta ku
segera mengusap jampi serapah
besi kursani diasah limau
lima loknya ku asap kemiyan
bersama mentera adi satria
berpatah sayap bertongkatkan paruh
namun ku daki ku daki jua

Maafkan aku sekali lagi Tuah
menjejak Jebat terbilang
demi pertiwi ini
sekali melangkah berpaling tidak
akan ku pulas telinga si nadim
nakalnya keterlaluan amat
mengundang si kitol bertamu di ladang
ubun-ubun masih lembut
mahu berpencak di tengah gelangang

Usah kau kesali untung nasib ini
akan ku pertahan setia kita
Melayu tak kan hilang di dunia
izinkan Jebat membuka langkah
raja adil raja di sembah
raja zalim raja disanggah
maafkan aku Tuah!!!!!!

Wednesday 28 November 2007

HINDRAF JANGAN MAIN KASAR



SIMPATI terhadap himpunan Gerakan Hak Asasi Masyarakat Hindu @ HINDRAF yang gagal memperolehi permit untuk menganjurkan perhimpunan aman dalam usaha menghantar memorandum kepada Persuruhjaya Tinggi British di Jalan Ampang Ahad lalu (25 November 2007) tiba-tiba sahaja bertukar menjadi gelodak amarah.
Penangkapan ke atas tiga orang pimpinan Hindraf dikepalai oleh peguambela Utayyah mengamit rasa kasihan kerana tidak seharusnya begitu caranya menangani sebarang himpunan aman tiba-tiba bertukar jadi marah.
Sebaik sahaja terbaca tuntutan yang diukirkan oleh Hindraf saya merasa cukup terkilan dan tertipu oleh percaturan licik pimpinan Hindraf kerana mengambil kesempatan atas kebangkitan rakyat untuk melakukan demonstrasi apabila tuntutan mereka amat sadis serta cukup racis dan perkauman.
Kenapa harus begitu jadinya? Siapakah dalang disebalik tuntutan tersebut? Dan saya cukup berkeyakinan seluruh masyarakat India yang sanggup datang berbondong-bondong untuk menyertai himpunan tersebut pasti merasa tertipu oleh percaturan sengkek, keparat,racis,jijik oleh pimpinan Hindraf.
Petang tadi seorang pemuda bernama Silva dari Rawang menghubungi saya, nombor telefonnya tertera 0360281678 dan beliau menyatakan seperti ada percaturan politik yang sengaja dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan usaha himpunan melalui beberapa siri provokasi.
Beliau yang turut menyertai himpunan tersebut menyatakan tidak benar kalangan demonstran melakukan tindakan ganas merosakkan kuil di Batu Caves. Malahan kehadiran mereka adalah atas kerelaan untuk melihat aroma demokrasi benar-benar dipulihkan dibumi tercinta ini.
Menurut Silva lagi, tidak pula diketahui adanya tuntutan yang cukup berbau perkauman secara menuduh orang Melayu melakukan penghapusan etnik serta membunuh setiap hujung minggu.
"Itu tidak benar, kami datang beramai-ramai dengan tekad seperti juga himpunan bersih untuk menyatakan kepada pimpinan hari ini peritnya kehidupan rakyat bawahan. Kami merasa cukup tertekan oleh beban kenaikkan harga barang dan untuk hidup terasa cukup sukar. Tidak pula kami berhasrat mahu bertelagah dengan orang Melayu." ujarnya lagi.
Sesungguhnya apabila menatap pernyataan Hindraf yang dihantar kepada Suruhanjaya British melalui fax yang menuntut agar baginda Queen di England campur tangan terhadap perlakuan pembersihan etnik {Etchnic cleansing} dan terdapatnya kejadian pembunuhan setiap minggu, rasanya itu sudah cukup melampau.
Disamping itu dari rakaman gambar-gambar yang diambil oleh teman-teman foto journalis menggambarkan beberapa demonstran mempamirkan gambar Mahathma Gandhi rasanya itu sudah melangkaui batas. Bagaimana boleh seorang warga negara Malaysia lebih mengagungkan pemimpin dari luar?
Apa perasaan mereka jika berlaku pula perarakan orang Melayu membawa gambar Bung Karno dan Si Pitung yang mengusir penjajah dengan buluh runcing? Atau ada pula beberapa orang masyarakat keturunan Portugis membawa gambar Eduardo Puncet atau Guacera.
Tentulah tidak patut seandainya ada pula kalangan pimpinan masyrakat China membawa gambar mendiang Chia Kai Sekh atau mendiang Chow Eng Lai mahupun gambar Maharja Hirohito. Tindakan sedemikian pastilah dilihat melangar batas-batas ketertiban.
Persoalan yang diutarakan adalah bagaimana rakyat marhain mahu mengangkat persoalan hidup serba memeritkan dalam rejim kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kita warga cinta damai di bumi merdeka ini seharusnya tetap setiap terhadap tanah air kita, bukan mengangungkan pimpinan dari luar.
Hairannya Perwira Mat Lela Gila yang selama ini begitu hebat melontarkan retorik politiknya kenapa boleh diam membisu? Malahan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang mewarisi darah pahlawan Turki yang seringkali mengucup keris lok lima kenapa terdiam seribu bahasa.
Tindakan hindraf sudah melampau, tuntutan hindraf juga harus dilihat sebagai kebiadapan terhadap murninya umat Melayu untuk sentiasa bertoleransi menghadapi sesuatu isu, bukan menangani secara "membabi buta".
Hindraf tidak boleh mendakwa masyrakat India terpinggir, Hindraf tidak juga boleh sebegitu celupar menuduh orang Melayu beragama Islam melakukan penindasan serta membunuh. Itu sudah lebih...... Tuduhan sedemikian amat bahaya. Janganlah dicarik-carik hati umat Melayu yang sentiasa reda menerima kehidupan bermasyrakat majmuk.
Kalau benar bangsa Melayu menindas G.S Gilla, Kishu ataupun Ananda Krishnan tidak akan jadi orang terkaya di bumi ini. Kalau Melayu menindas tentunya Samy Vellu tidak akan punya kesempatan membuncitkan perutnya dan tembolok kaum kerabat untuk hidup serba mewah. Malahan kalau Melayu melakukan pembunuhan setiap minggu V.K Lingam tidak mungkin punya kesempatan untuk bercuti dengan hakim Melayu.
Sejarah di bumi merdeka ini tidak pernah bertindak sebegitu kejam terhadap masyrakat India. Yang melakukan perobohan kuil bukan semua Melayu, malahan surau umat Islam di Kampong Berembangpun ranap dilanda jentolak oleh kerajaan Khir Toyo. Setingan Melayu turut dihalau bagaikan anjing kurap.Tapi orang Melayu tidak pula mengatakan ujudnya pembersihan etnik.
Usahlah keterlaluan dalam membuat tuntutan yang bukan - bukan. Soal Hindraf mahu kerajaan Inggeris membayar empat trillion dollar kepada masyarakat India itu anda punya urusan. Orang Melayu tidak akan menyaman kerajaan Inggeris kerana mensyarakatan adanya perjanjian Josulai hingga sanggup menjadikan orang asing sebagai warga negara.
Sudah-sudahlah mengadu domba. Kita perlu hidup dibumi ini secara bermasyrakat. Saling hormat menghormati antara satu sama lain. Ikutlah bidalan Melayu, di mana bumi di pijak disitu langit sama-sama kita junjung. Padah jangan diundang.
Dalam konteks ini saya juga teringat tingkah laku Samy Vellu yang menyatakan bahawa dia tidak mahu menyambut hari Deepavali dengan mengadakan rumah terbuka kerana sedih apabila sebuah kuil Hindu dirobohkan oleh kerajaan Selangor.
Dan semasa perbahasan di Dewan Rakyat siang tadi,Ahli Parlimen dari Cmaneron Highlans, Swany telah melontarkan kenyataan cukup menghiris hati apabila dia menuduh berlakunya penindasan terhadap masyarakat India.
Bagaimana boleh terjadi ahli Parlimen dari Barisan Nasional membelasah kerajaan yang diwakilinya? Adalah lebih "gentleman" jika dia memilih meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dari terus bersikap bagai duri dalam daging.
Inilah gambaran sebenar kalangan sidang pengampu Abdullah Ahmad Badawi yang berada dalam kelompok kerajaan campuran Barisan Nasional. Dan ini juga merupakan gambaran bahawa mereka juga turut terhakis kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Saturday 24 November 2007

PERTANYAAN BUAT GABENOR BANK NEGARA



SELASA (2 Oktober 2007) Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bercakap lagi tentang pembangunan koridor di tiga buah kawasan meliputi Pembangunan Wilayah Iskandar, Pembangunan Koridor Utara dan Pembangunan Koridor Pantai Timur tidak termasuk bagi negeri Sabah dan Sarawak .

Dengan penuh semangat Abdullah menyatakan dari sejumlah empat puluh billion ringgit yang bakal digunakan seawall hujung tahun ini dalam usaha memulakan program serba mega itu, kerajaan dbakal menanggung sebanyak empat billion ringgit sementara selebihnya datang dari pelaburan asing (Fif).

Dalam erti kata lain suka atau tidak kerajaan kena keluar belanja dahulu sebelum kedatangan para pelabur samada dari kalangan masyarakat arab, Yahudi atau siapa sahaja termasuk dari Singapura seperti yang diwar-warkan sebelum ini hingga memaksa terbentuknya satu jawatan kuasa peringkat menteri antara Malaysia dan Singapura.

Kerajaan harus keluar belanja besar terlebih dahulu yang tentunya datang dari kantung hasil wang rakyat sebelum kemasukkan dana pelaburan asing.Berjaya atau tidak, yakin mahupun sebaliknya para pelabur luar itu bukan soal utama, bagi Abdullah Ahmad Badawi, pembangunan tersebut mesti diteruskan.

Terkadang bila melihat cara boros Abdullah Ahmad Badawi berbelanja terasa “serun” juga di hati kecil kita sambil berfikir jika berterusan keadaannya mampukah khazanah menampung semua itu? Ikut suka dia sahaja lagaknya Abdullah berbelanja.

Untuk menyebut dua tiga ratus ribu ringgit bagaikan terasa cukup malu baginya, bak kata bahasa pasar jumlah lima enam ratus ribu ringgit sekadar celah gigi sahaja. Untuk seorang Perdana Menteri bernama Abdullah, setiap kali membuka mulut, jumlahnya mesti ratusan juta atau billion ringgit, dan kalau boleh terselit juga perkataan trillion ringgit, itu baru hebat namanya.

Kalangan pengampu dan pembodek Abdullah Ahmad Badawi cukup megah jika dapat menjaja kehebatan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan pembangunan dengan jumlah besar-besar. Paling tidak biar orang kampong terlopong sambil “biul” mengira jumlah wang sebegitu banyak.

Lagi besar jumlahnya lagi hebatlah kononnya pimpinan Abdullah Ahmad Badawi sebagai peneraju utama kerajaan Malaysia. Samada ia cerita benar, dongeng atau sekadar angan-angan Mat Jenin, itu bukan persoalan utama. Paling penting minda orang kampong mesti dikelabui tentang kehebatan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Tahun lalu sahaja untuk menarik hati ahli Umno supaya memuji kehebatannya, semasa menutup perhimpunan Agung parti tersebut Abdullah mengumumkan peruntukan sejumlah enam ratus juta ringgit dibahagi-bahagikan sama rata, sama banyak dikalangan ketua-ketua Umno Bahagian.Macam cerita penyamun Tarbus, “satu untuk engkau, satu untuk aku….!”

Kerja memfaraid harta rakyat oleh Abdullah Ahmad Badawi ternyata cukup menjijikkan bila kalangan wakil rakyat atau pimpinan parti politik di Sarawak tidak memperolehi sebarang peruntukan dari jumlah tersebut. Ia hanya untuk pimpinan Umno. Persoalan samada boleh dilakukan sedemikian dari tuntutan perlembagaan menyangkut urus tadbir negara bukan penting baginya.

Abdullah Ahmad Badawi mesti dilihat hebat, mesti dipuja oleh ahli-ahli Umno sebagai “santa claus” yang mampu menjelmakan setiap mimpi dan harapan rakyat. Terkadang gambaran serta imej cuba dibentuk oleh kalangan pengampu dan pembodeknya seolah-olah beliau mempunyai lampu ajaib sehebat Aladdin. Kerana itu setiap ahli parti mesti menyokongnya.

Belum pernah sebelum ini seorang teraju utama parti Umno berani mencabar atau membelakangkan persoalan etika urus tadbir negara. Malahan zaman Allahyarham Tun Razak sendiri tidak berkeupayaan mendahului keputusan Menteri Kewangan untuk membena sebuah kolam renang dirumahnya apabila cadangan tersebut dibatalkan kerana kantung poket negara masih kempis.

Bertanyalah dengan mereka yang pernah berkhidmat sezaman dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein Onn mahupun Tun Dr. Mahathir Mohamed. Setiap mereka begitu berhemah berbelanja wang dari kantung negara kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah merupakan wang rakyat. Malahan Gabenor Bank Negara seharusnya dibincang dan dimaklumkan terlebih dahulu jika mahu membelanjakan wang tersebut.

Bercakap tentang Gabenor Bank Negara Tan Sri Ezaity Abd. Aziz, kita cukup berkeyakinan terhadap intergeritinya kerana selain dari perwatakannya sebagai wanita yang seringkali tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha merobek intergeriti peribadinya, beliau juga datang dari sebuah keluarga elit Melayu (Profesor Di Raja Ungku Aziz) dan ibunya terkenal sebagai wanita berwibawa ketimuran Puan Sri Azah Aziz “Kak Azah Aziz”.

Setiap graduan Unibersiti Malaya yang berkesempatan bernaung dibawahnya memuja Pak Ungku sebagai Melayu paling berintergeriti, Kak Azah juga dikalangan masyrakat penulis melihatnya sebagai “journalis berintergriti” dan Ezaity sendiri satu-satunya anak tunggal bagi pasangan elit Melayu ini juga sebelum menjawat jawatan tertinggi di khazanah negara cukup hebat latar belakang pengajian serta cara bekerjanya.

Dengan latar belakang intergeriti serta pengetahuan sebegitu meluas, Seharusnya seluruh rakyat bertanya kepada Ezaity, sejauh mana mampannya upaya negara dalam mencanai dan merealisasikan “mimpi mega “ Abdullah Ahmad Badawi yang bakal menelan belanja ratusan billion ringgit itu?.

Bolehkah Ezaity memperjelaskan kemampuan sebenar kita menjana wang sebegitu besar.? Kita tidak mahu mendengar jawapan “kemungkinan kehadiran pelabur asing” kerana sesuatu yang mungkin adalah tidak pasti. Dasar ekonomi negara tidak seharusnya berada dalam samara-samar. Jika sesabuah keluarga memiliki ketua merancang ekonominya setiap hari berteraskan situasi ekonomi samar – samar tentu bakal mengundang padah dan pasti akan ada anak kebuluran jadinya..

Dan untuk itu kita ingin penjelasan sejujurnya dari Ezaity, kantung wang negara tinggal berapa, simpanan kita jumlahnya berapa banyak? samada di dalam mahupun di luar negeri. Dan paling penting bolehkah direalisasikan “mimpi siang hari” Abdullah terhadap ketiga-tiga pembangunan koridor utara Timur dan Selatan itu?

Ezaity perlu insaf bahawa setiap lafaz pernyataannya tidak hanya dituntut oleh rakyat, sebaliknya ia turut akan menjadi sebahagian daripada kontens utama perbicaraan di Padang Masyhar, bagaimana anda menguruskan keyakinan serta amanah rakyat. Dan bertolak dari kenyataan inilah saya amat yakin Ezaity pastinya bakal menyatakan “kantung kocek negara tidak berkemampuan menjadi dana utama pembangunan ketiga-tiga koridor” atau secara berterus terang beliau mungkin juga bakal menyatakan “ projek tersebut hanya mampu dilakukan dalam bentuk sederhana……..

Namun begitu kita juga ingin bertanya dengan Ezaity, sebenarnya sejak menjadi Perdana Menteri berapa banyakah wang rakyat telah dibazirkan oleh Abdullah Ahmad Badawi bersama sidang wazirnya. Dan rakyat menuntut Ezaity bercakap sejujurnya berapa pula jumlahnya bakal disauk oleh suku sakatnya lagi….!!!! Bercakaplah sejujurnya duhai isan terbilang pujaan seluruh rakyat Malaysia Tan Sri Ezaity Abd Aziz.



Teruskanlah Pesta Kecapi Itu


Dan kecapi itu berbunyi lagi
agar penari segera mengatur langkah
bukan berpencak di gelanggang
sekadar menghibur si maharaja
untuk segera lena dan lena dan lena........!
Gemersik seruling anak desa
pinggiran kali semakin kering airnya
kontang.....!!!
usah dihiraukan
ia bukan resah pesawah
gundah itik kehausan di kolam
ayam di kepuk biarkan terus mencakar
mungkin ada sisa raja di sebalik antah
Usah mengamit resah
rebab itu mesti dipalukan
biar seluruh alam tahu
canang itu juga seharusnya dipukul
agar rakyat faham sefaham-fahamnya
kita masih mampu untuk tidur lena....dan lena lena!!!!!
Kantung pusaka masih berbaki
pamah sawah tetap subur
pelabuhan dagang semakin sibuk
suram kehidupan sekadar fatamorgana
penyair ketandusan akal budi
usah dihiraukan
mari kita rampok apa yang ada

Kibarkan panji negara
tiup nafiri kebesaran
ada utusan membawa ufti
mari sama-sama kita bolot
bukankah hati gajah seiring dilapah
teruskan pesta kecapi ini
bukankah esok masih ada
mentari pasti muncul
dan kita seharus begini
untuk dilihat sebagai satu bangsa timur
yang tahu dan bijak mengadun mimpi.
Pinggiran Sungai ThamesLondon10 September 2007

DAN BERKOKOKLAH SIDANG WAZIR ABDULLAH



MAKA berkokoklah para sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan rasa “konyol” mereka berhubung perarakan lebih 60,000 para demonstran yang menuntut campur tangan istana dalam mempastikan aroma demokrasi terjelma kembali setelah ianya dihakiskan sebegitu buruk pasca pemerintahan Perdana Menteri monyok dan sering terlena.

Rata-rata mereka menyatakan bahawa ia bukan suara rakyat, atau sekadar segelintir anggota parti pembangkang sahaja. Malahan Mak Cik Montel Rafidah begitu bersemangat menyatakan bahawa kesan himpunan tersebut tidak sedikitpun menganggu urusan perdagangan diperingkat antarabangsa.

Sementara itu memanda Wazir dari Pahang Adnan Yakub pula cukup melenting khabarnya hingga mendesak agar pihak penganjur serta kalangan demonstran segera dipasung atau ditahan di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA). Baginya kalaupun tindakan tersebut boleh mencampakkan nama Malaysia kelembah hina dikacamata dunia, ia bukan masaalah besar.

Memanda Wazir yang sering mencarut dan begitu celupar dengan kalangan wartawan turut menyatakan bahawa tindakan memasung para demonstran amat wajar demi “survival” politik mereka untuk terus berkuasa.

Sementara itu Nazri Aziz pula menyelar hebat di Parlimen berhubung tindakan para demonstran yang dianggap sebagai petanda awal bakal kecundangnya pimpinan dari parti pembangkang apabila Abdullah Ahmad Badawi memanggil pilihanraya umum ke 12 dalam waktu terdekat.

Menurutnya tujuan penganjur mengadakan himpunan sebegitu ramai rakyat di dataran merdeka berarak ke Istana Negara adalah sebagai mendahului massa kerana dia cukup yakin parti pembangkang bakal “gulung tikar” menjelang pilihanraya umum nanti, dan sebagai mahu mengalihkan pandangan khalayak maka mereka mengumpul para penyokong untuk berarak sambil mendakwa suruhanjaya pilihanraya tidak cekap dan bersih mengikut lunas-lunas demokrasi.

Bagi Abdullah Ahmad Badawi pula cukup berkerut wajahnya apabila diwawancara oleh kalangan wakil media massa sambil menuduh perarakan tersebut bakal meletakkan nama baik negara tercemar, malahan tanpa segan atau silu dia juga menyatakan ramai yang marah terhadap perarakan seperti itu.

Sebenarnya bukan ramai yang marah kepada kalangan demonstran,tetapi hakikatnya jauh di hati kecil Abdullah sudah ternampak bayang-bayang kejatuhannya dari sianghasana Seri Perdana. Malahan inilah pertama kali cabaran seorang Perdana Menteri disanggah oleh rakyat untuk tidak sedikitpun merasa gentar.

Bagaikan terkulat-kulat jadinya Abdullah Ahmad Badawi menjawab pertanyaan para wartawan tentang reaksi serta komoennya atas kejayaan himpunan tersebut. Disamping itu dia juga namapaknya gagal mengawal emosi untuk kelihatan pucat lesi dan tidak bermaya…. Alahai kasihannya melihat hari-hari terakhir seorang pemimpin yang kian kecundang meraih yakin rakyat.

Lebih goblok lagi bila memanda wazir penerangan Zainuddin Maidin @ Mamak Cendol yang begitu berang menempelak syarikat TV Al-Jazeera kononnya mempunyai agenda tertentu bagi menghakiskan nama baik Malaysia di kacamata dunia. Tidak cukup dengan komen-komen “melalut” serba membaghalkan semasa diwawancara oleh wartawan Tv tersebut, Zam cuba pula bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi dilihat begitu jumud serta baghal dan wal kelam kabut.

Entah apa yang mahu diutarakan olehnya terlalu sukar untuk difahami. Cara dia menjawab beberapa soalan yang diajukan begitu gelojoh sekali, malahan sebutan ayat-ayat dalam bahasa Inggeris cukup sempang peranang, tidak diketahui di mana hujung dan mana satu pangkalnya….alahai!!!

Tidak cukup dengan serangan “membabi buta” kononnya Al – Jazeera mempunyai agenda tertentu dan cuba mencampuri urusan politik negara, memanda wazir @ mamak cendol ini turut menuduh bahawa “blogger” adalah terdiri di kalangan ahli parti DAP.

Ini sudah lebih, cukup tidak masuk akal. Mana mungkin kalangan blogger seperti saya sendiri, Datuk Kadir Jassin, Datuk Ruhainie Ahmad (bekas Ahli Parlimen), Datuk Shahrir Samad, Datuk Rezal Arbee, saudara Mohd Sayuti Omar, Zaharin Mohd Yassin @ Sang Kelembai, Nurina Samad, Marina Mahathir dan banyak lagi kalangan pemilik lama blog di internet boleh menerima tuduhan “membabi buta” memanda wazir mamak cendol sebagai ahli parti DAP?

Disinilah letaknya minda GOBLOK, lagi baghal dan “BENGONGNYA” spesis memanda wazir bernama Zainuddin Maidin yang diberi kepercayaan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi sebagai menteri penerangan. Kasihan para pengundi di kawasan Parlimen Merbok kerana tersalah pilih pemimpin untuk dijadikan sebagai tempat mengantung harapan.

Mungkin kerana itulah maka Abdullah Ahmad Badawi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersedia memberi jawatan Ketua Penenrangan Umno kepadanya kerana dikhuatiri mungkin lebih banyak lagi cakap serba merapu darinya bakal menghumbankan parti tersebut menjadi lebih kalut lagi.

Menyorot kesan himpunan rakyat yang berjaya dianjurkan meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis untuk menyekat para demonstran, ternyata seluruh negara bagaikan merestui tindakan nekad para demonstran menyahut cabaran Abdullah Ahmad Badawi semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno.

Kalaulah Abdullah Ahmad Badawi tidak melakukan cabaran sedemikian mungkin kehadiran petang 10 November 2007 tempoh hari tidak akan mencapai jumlah sebegitu ramai. Disamping itu jika rakyat tidak bosan oleh birokrasi dan korupsi pentadbirannya tentulah rakyat memilih untuk berehat sahaja dirumah dari berhujan dan menghadapi semburan gas pemedih mata dari pihak polis.

Sebenarnya itulah gambaran nyata betapa jijiknya rakyat merasakan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Untuk itu tidak perlulah kalangan sidang wazirnya berkokok terlolong melalak menuduh itu ini kepada rakyat. Tunggulah hari pembalasannya pada musim pilihanraya umum akan datang.

Dalam situasi sebegini beberapa panggilan telefon dan kiriman sms dari juak-juak Datuk Najib tidak pula membayangkan penentangan mereka terhadap kalangan demonstran tersebut. Jauh disudut hati mereka sudah mulai meneka dan merasakan setelah Abdullah Ahmad Badawi disingkirkan oleh rakyat apakah ada kesempatan untuknya menggantikan jawatan Perdana Menteri.

Malahan terdapat juga kalangan yang bersimpati dengan Najib merasakan itulah antara balasan awal terhadap percaturan politik Perwira Mat Lela Gila @ menantu Perdana Menteri yang begitu celupar mahu menghapuskan Najib dari persada politik Umno.

Agak hairan juga bila tidak pula terdengar sebarang komen mahupun cakap-cakap dari menantu kesayangan Perdana Menteri berhubung kejayaan himpunan 60,000 rakyat mahupun agar Abdullah segera berundur. Apakah Perwira Mat Lela Gila cukup terkedu dan terkejut melihat lautan gelombang kuning yang pada mulanya disangkakan hanya pada anggaran lima enam ratus orang sahaja.

Sewaktu membahaskan usul di perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno tempoh hari begitu hebat sekali Perwira Mat Lela Gila bertempik meminta pihak polis menangkap dan memasung mana-mana pihak yang cuba menganjurkan sebarang demonstrasi jalanan. Malahan dengan bongkak dan sombong dia juga menyatakan bahawa tidak mungkin gerakan bersih mendapat sambutan rakyat. Dan ternyata cakap-cakap serta andaiannya jauh meleset.

Sebaliknya jika tiada kawalan pihak polis untuk menyekat kemaraan rakyat mungkin lebih 200,000 rakyat akan berarak dalam gelombang kuning. Kerana itu ada baiknya jika Abdullah Ahmad Badawi dan anak-menantunya segera berkemas untuk segera meninggalkan Seri Perdana………. Masanya kian hampir di mana suara rakyat adalah suara keramat.

MINDA SEMPANG PERANANG WAZIR GOBLOK



RENCAM media elektronik mengadun budaya “sempang peranang” ternyata bagaikan sukar di kawal lagi. Minda rakyat dihasut dengan pelbagai dakyah songsang untuk tidak terimbau jati diri agar menjadi generasi serba jumud dan ketandusan rangsangan sebagai upaya membena tamadun bangsa.

Keadaan menjadi semakin gawat bila kehadiran sidang wazir bergelar menteri goblok menerajui kementerian penerangan menambah parah situasi rencam yang menghumban imej negara di mata dunia kesan pertikaman lidahnya dengan wartawan stesyen TV Al Jazeera di hari kebangkitan gelombang kuning.

Rakyat bagaikan terkedu menyaksikan insiden cukup memalukan itu kerana menteri penerangan berbahasa celaru serta tidak terurus sama sekali ungkapan kata-katanya untuk dilihat begitu goblok berbahasa Inggeris.

Satu demi satu episod serba kalut yang dicetuskan oleh media elektronik. Sejak kehadirannya sebagai orang terpenting menerajui kementerian penerangan dan berlatar belakangkan pengalaman menjadi orang media ternyata gagal membentuknya untuk lebih peka serta berminda inovetif menyemarakkan jati diri warga bangsa sentiasa berwawasan serba gemilang untuk menjadi terbilang.

Petang tadi sewaktu mendengar enaknya kemerduan irama lagu-lagu Melayu Asli melalui saluran Radio Kelasik saya terpegun apabila irama dan melodi penyamun lewat filem “Ali Baba Bujang Lapok” digunakan sebagai irama membena semangat juang warga bangsa.

Anak kecil saya bertanya bukankah irama “hoi.. hoi ya hoi……” adalah nyanyian gembira para penyamun tarbus menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok? Bagaimana pula ia nya boleh bertukar kepada senikata yang membawa unsur kesetiaan dan pembenaan semangat kecintaan terhadap negara?

Apakah tidak ada irama lain yang boleh dijadikan sebagai latar kepada usaha menyalurkan dakyah kecintaan terhadap nusa bangsa selain dari lagu yang sudah sebati dengan rakyat menggambarkan keceriaan para penyamun?

Jika diteliti senikata lagu tersebut cukup indah di mana rakyat diseru supaya bersatu hati , membena kesetiaan terhadap nusa bangsa. Tetapi apabila iramanya menggunakan irama untuk para penyamun tarbus maka jadilah usaha tersebut dilihat bagai mahu mempersendakan kemurnian pembenaan rasa cinta terhadap pertiwi serta ia bagaikan mahu menggalakkan pendengarnya supaya menjadi penyamun.

Kenapalah begitu jumud dan “lekehnya” pemikiran seorang menteri penerangan mengizinkan pencemaran sedemikian rupa? Atau sudah kesasar sungguhkah sidang wazir serba goblok ini membenarkan semangat penyamun dijadikan sebagai satu usaha pembenaan jatidiri warga bangsa?

Dan lebih memeranjatkan lagi apabila setiap malam penonton di kaca TV disajikan pula dengan iklan seorang pemuda tionghua menawarkan perkhidmatan membantu calon usahawan meminjam wang darinya.

“Kalau mahu berniaga, boleh jumpa saya, mahu pinjam lima ribu, sepuluh ribu, itu perkara kecil, apa? lima puluh ribu? Itu tidak menjadi masaalah, saya boleh tolong. Ingat saya bukan Ahlong, tapi mahu tolong…” merupakan antara dialog yang tersiar di kaca TV dan lebih menghairankan lagi apabila alamat e mailnya tertera pula lambang kerajaan Malaysia.

Timbul persoalan di hati kita apakah memang ada pinjaman peribadi ditawarkan oleh kerajaan kepada rakyatnya untuk memulakan perniagaan? Kalau benar ujud kenapakah digunakan pemuda tionghua sebagai orang yang bertanggung jawab menguruskan pinjaman ala Ahlong? Siapakah dibelakang pemuda yang mampu membayar kos pengiklanan sebegitu besar serta menawarkan pinjaman tersebut?

Siapakah yang meluluskan penyiaran ikalan tersebut? Apakah pihak lembaga penapis filem telah meneliti kepincangan sebegitu? Kalaulah untuk penerbitan akhbar atau media cetak, para pegawai di Jabatan penerbitan kementerian Dalam Negeri begitu sibuk meneliti setiap berita dan rencana yang tersiar, kenapa pula iklan sebegitu boleh diluluskan tanpa adanya tapisan?

Memang tidak dinafikan bahawa rakyat negara ini terdiri dari berbilang kaum, namun amat tidak manis rasanya apabila seorang pemuda bukan Melayu menawarkan pinjaman untuk memulakan perniagaan kepada usahawan Melayu, ternyata ia bagaikan menghina masyarakat Melayu kerana terpaksa meminjam dari orang lain. Saya bukanlah racis atau terlalu tebal dengan perkauman, tetapi penyiaran iklan sedemikian rupa amat tidak wajar.

Lebih tidak wajar lagi bila logo kerajaan Malaysia digunakan untuk memancing yakin rakyat bahawa pemuda di dalam iklan tersebut dilihat bagaikan mewakili sesabuah jabatan kerajaan sedangkan sebelum mengenakan pakaian kerja {uniform } berlogokan lambang kerajaan Malaysia dia dilihat berada disebuah rumah biasa masyarakat tionghua. Fikir-fikirkanlah.

Selain dari itu terdapat juga sebuah iklan Jabatan Alam Sekitar yang begitu menghina masyarakat Melayu apabila digambarkan pembuangan sampah sarap dilakukan oleh sebuah keluarga Melayu yang terpaksa menanggung malu disaat menerima rombongan peminangan anak gadisnya.

Kesan dari pembungan sampah tersebut mengakibatkan beberapa ekor lalat dan langau berterbangan dimajlis itu dan timbul pula dialog…”kotor sampah.. dia buang sampah… busuk… dia busuk… busuk..busuk” Masyallah begitu hina jadinya masyarakat Melayu yang dikatakan busuk. Apakah perlakuan membuang sampah hanya dilakukan oleh masyarakat Melayu sahaja? Bagaimana dengan tuan punya kilang dan loji perusahaan?

Begitu juga apabila menatap sebuah iklan pelancongan di mana sebuah keluarga Melayu digambarkan begitu teruja untuk melancong ke Singapura kerana Pulau Temasik itu sungguh hebat gambarannya dengan pelbagai tempat menarik seperti di Pulau Sentosa yang bakal dibangunkan sebuah pusat perjudian terbesar di rantau Asean, disamping itu diwar-warkan pula murahnya harga barangan untuk tujuan membeli belah.

Hairan dan cukup menghairankan di hati ini apabila menatap iklan tersebut sedangkan di waktu yang sama Kementerian Pelancongan berbelanja ratusan juta ringgit menaja iklan serta melakukan promosi agar para pelancung datang ke negara ini. Sebaliknya di waktu yang sama hanya kerana memperolehi sedikit bayaran maka saban malam rakyat diimbau dan digamit supaya melancong ke Singapura.

Bagaimana boleh terjadi situasi sebegini? Sidang Wazir di Kementerian Pelancongan dan juga Penerangan sebenarnya mahu membawa rakyat negara ini kemana sasarannya? Disinilah ternyata begitu gobloknya pemikiran menteri yang dipertanggung jawabkan mentadbir kementerian sebegitu penting seperti kementerian Penerangan.

Ternyata kerajaan Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi relevan dengan slogannya mahu membena sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Malahan sejak akhir-akhirnya gambaran semakin jelas rakyat bagai diracuni mindanya untuk lebih tersasar dan dipesongkan kearah yang tidak menentu.

DOLLAHPUN TERBANG LAGI!!!!


APA nak jadi? Kehidupan marhain semakin tersepit dan dihimpit sesak yang tidak mungkin terlihat lagi sinar di hujung terowong. Indeks kejadian jenayah bagaikan teramat sukar dibendung, keresahan kian terserlah, igauan mimpi ngeri semakin menghampiri untuk hidup sengsara.

Pimpinan negara dalam senyum sinis menggambarkan tidak termampu lagi untuk mereka melakukan kawalan kenaikkan harga minyak, gas dan tol. Indikasi terhadap kenaikkan tersebut telahpun didengungkan oleh menantu Perdana Menteri @ Perwira Mat Lela Gila yang mengungkit berkali-kali hinanya rakyat di bumi merdeka diberikan subsidi petrol.

Malahan kesan kanaikan minyak mentah di pasaran dunia bakal mencecah seratus dollar untuk satu tong bagaikan satu rahmat besar bagi pemerintah untuk berselindung atas hilang upaya mereka mengawal kenaikkan harga barangan di pasaran.

Berkali-kali Perdana Menteri memberitahu bakal peritnya situasi mendatang apabila dunia hilang kawalan terhadap kenaikkan harga minyak mentah. Lebih memeranjatkan terdengar pula kenyataan sidang wazir Samy Vellu menyatakan untuk awal tahun hadapan jika tidak diizinkan kenaikkan kadar tol mengakibatkan kerajaan terpaksa membayar ratusan juta ringgit sebagai wang pampasan kepada pemilik konsensi tol.

Hampeh sungguh bila mendengar jawapan dari seorang sidang wazir yang tidak tahu bila mahu berhenti dari kerusi menteri tetapi begitu seronok memainkan perasaan rakyat untuk terus dihumban dalam kemelut serba payah.Hairan juga mendengar kenyataan tersebut,seolah-olah kerajaan tidaklagi punya kuasa untukmeletakkan kepentingan ramai mengatasi mereka yang pelahap keuntungan.

Hari ini Harga ubi kentang sudah naik 25 peratus, Asam jawa juga dua puluh lima peratus, begitu juga harga gandum, beras, bawang besar serta beberapa komoditi penting penyambung kehidupan rakyat. Lihat perbezaan kenaikkah harga barang terkini:

Jenis barangan Harga dahulu harga terkini

1. Asam Jawa 9.00 (5 kilo) 11.00
2. Ubi Kentang 14.00 sekotak 18.00
3. Kacang Dall 20.00 seguni 25.00
4. Kacang Tanah 37.00 seguni 48.00
5. Rempah kari 2.50 sebungkus 3.20
6. Bawang besar 12.00 satu guni 16.00
7. Tepung Gandum 32.00 satu guni 61.00

8. Susu pekat 95.00 satu peti 115.00
9. Susu cair 98.00 satu peti 117.00
10.Beras super 17.00 5 kilo 19.50
11.Beras Pulut 23.50 (10 kilo) 31.00
12.Minyak Masak 38.00 (1 tin) 42.00
13.Majerin 27.50 (4 kilo) 32.00

Kesemua harga tersebut berdasarkan pemerhatian penulis terkini di pasaran dan ia tidak pula merangkumi kenaikkan menadadak harga ikan. Lebih memeranjatkan lagi apabila harga bagi satu kilo ikan kembung rebus sudah mencecah tiga ringgit lima puluh sen sekilo. Begitu juga dengan harga sayur-sayuran, rata-rata kesemuannya naik melebih kadar dua puluh lima peratus.

Semua kenaikkan tersebut berlaku sebelum kerajaan mengumumkan kadar tol baru pada tahun hadapan termasuk bayaran premium bagi minyak petrol dan gas yang pastinya bakal menjerut leher marhain.Dalam ertikata lain apabila harga baru kenaikkan minyak diumumkan tahun hadapan bersama kadar tol maka sudah pasti harga barangan bakal turut naiklagi.

Disaat negara semakin gawat oleh kerakusan masyarakat peniaga menaikkan harga barangan di pasaran, Abdullah Ahmad Badawi diberitakan kini sedang berada di Kampala, Uganda bersama isterinya Jaeane Danker selepas dua hari menghadiri mesyuarat ketua-ketua negara Asean di Singapura.

Salepas berada di negara Afrika si Dollah dan isterinya dijangka melakukan lawatan selama dua hari ke Mesir. (Mungkin untuk melawat makam firaun di dalam piramid) dan selepas itu entah kemana lagi bakal dihabiskannya wang rakyat untuk hidup berpoya-poya menjinjing tangan isterinya menaiki jet baru serba mewah.

Cukup melampau sungguh tindak tanduk si Dollah dari Kepala Batas untuk terus menghabiskan wang rakyat dalam siri melampiaskan nafsu serakahnya. Siang hari kononnya menghadiri mesyuarat (tentunya entah berapa kali terlelap dan tersengguk-sengguk sebelum berdengkur) dan malamnya melahap jamuan serba mewah.

Sementara rakyat di bumi tercinta ini terus dijerut, dicekik dan dipelapah temboloknya, Dollah dan anak serani bernama Jaean Danker terus enak mengandun mimpi indah turun naik pesawat serba mewah yang kahabarnya tersedia tilam empuk untuk peraduan di awan biru. Sungguh tidak patut.

Mungkin pembaca merasakan saya cukup celupar untuk memanggilnya si Dollah sahaja dan tidak lagi ayat-ayat lazim YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti yang sering dilafazkan oleh para penjilat dan pengampunya selama ini. Maafkan saya atas keterlanjuran sebegini kerana tidak lagi termampu rasanya hati ini membendung amarah melihat tingkah laku “kaduk naik junjung, si kudung mendapat cincin”.

Belum pernah sebelum ini tercerna perasaan jijik, benci dan meluat terhadap pemimpin yang seharusnya menjadi tempat gantungan seluruh umat Melayu dalam membela untung nasibnya, tapi sejak akhir-akhir ini perasaan tersebut sudah terlalu sukar untuk dikawal lagi.Malahan belum pernah juga sebelum ini perasaan rakyat begitu meluat serta menyampah terhadap pemimpinnya.

Penting sangatkah untuk Si Dollah menghadiri mesyuarat di Kampala serta merasmikan majlis menandatangani perjanjian perniagaan sebuah syarikat dari Malaysia di Kampala? Berapa banyak pelaburan yang mampu di bawa pulang oleh Si Dollah nanti sekembalinya dari Mesir dan negara-negara lain?

Tidak bolehkah ianya diwakilkan kepada Menteri Luar atau sidang wazir yang lain hingga lebih seminggu lamanya Dollah mesti berada di luar negeri dan meninggalkan negara untuk terus dicengkam kehidupan semakin perit serba menyesakkan ?

Beginikah tauladan anak cucu seorang ulamak mentadbir negara? Inikah ajaran Islam Hadhari yang cuba dikembangkan oleh si Dollah agar rakyat tertipu mempercayai kemurnian jiwanya sedangkan realitinya cukup haprak serba meloyakan.

Kita tidak mungkin akan marah sebegini anadainya disaat Dollah bersantai-santai bersama bekas janda birasnya berketurunan anak Serani kehidupan rakyat terjamin keselamatannya, hidup mewah tanpa diulit mimpi ngeri kesan kenaikkan harga barangan. Namun yang pasti dalam kemelut kehidupan serba payah dialami oleh rakyat marhain berita Radio RTM pula megah mengumumkan Dollah kini berada di Kampala dan bakal ke Kaherah pada 25 Nobember 2007 tanpa diketahui bila tarikh kepulangannya.

Singapura telahpun dilihat semakin yakin memenangi tuntutannya terhadap Pulau Batu Putih di mahkamah dunia Heague. Tanda-tanda kemenangan tersebut bagai dapat dilihat apabila saya menerima kiriman pesanan sms yang berbunyi:

“Berita terkini: Kereta yang membawa PM Malaysia dan isteri barunya Jaean bocor dalam perjalanan kelapangan terbang Changi semalam (22 Nobember 2007) manakala kereta keselamatan yang mengiringi pula di hadapan terus ke Changi tanpa menyedari kereta yang membawa PM Malaysia Bocor. Singapura terus memalukan Malaysia tapi pemimpin Malaysia terus tidak sedar diri….”

Terkadang terfikir juga di hati kecil , dalam situasi begini dan jika begitulah tingkah laku si Dollah ada baiknya jika dia tidak terus kembal. Biarlah kerja-kerja kepimpinan negara dipikul oleh Datuk Najib seorang diri dan teruskanlah keseronokkan mu mengayam berahi di atas pesawat baru serba mewah. Hari-hari terakhir untuk si Dollah dari Kepala Batas kian menghampirinya. Bersabarlah, hukum alam menetapkan airpun ada pasang surut, janji Allah tiap yang bermula pasti akan berakhir…..!!!!

Alampun sudah lama berbicara apabila terbaru secara tiba-tiba bangunan dua tingkat yang siap dibena serta belum diduduki di pinggir Tasek di Gerik ranap sama sekali tanpa sebarang sebab. Begitu juga tebing jalan raya di Kilometer 247 Kuala Kangsar – Taiping turut runtuh.

Esok sebahagian daripada anggota masyarakat India dikatakan mahu terus berhimpun di hadapan kedutaan British di Jalan Ampang hingga mengakibatkan seluruh kotaraya Kuala Lumpur dihimpit kesesakkan selama tiga hari.

Banjir sudahpun menerjah di Johor, Trengganu dan Kelantan. Sementara itu satu ledakkan letupan dilaporkan berlaku di Trengganu di mana sebab musababnya masih dalam siasatan pihak berkuasa. Dan Dollah masih berada di Kampala ,Uganda serta menyerahkan keseluruhan tanggung jawab mentadbir negara terpikul di Bahu Datuk Seri Najib.

Aduhai Dolah oh Dollah, saya mencadangkan agar para pembaca melayari halaman blog “Sheikh Teluk Intan dan Laptop” untuk mengikuti kisah menarik cerita temannya yang mengalami sindrom penyakit mental. Aduhai kasihan bang Dollah di Teluk Intan.

Budak Itu

katanya budak itu adalah Hang Nadim
perkasa berpencak
sandaran nusa bangsa
menentang ancaman durjana
pembela pertiwi penegak obor suci
katanya lagi
budak itu amat bistari
pekertinya elok budi bahasa
pandai teramat mampu menongkah angin selatan
mengemudi bahtera merdeka
katanya untuk kesekian kali
jagalah dia budak suci permata hati
usah dicampak ke laut ganas
sisihkan fitnah bendahara raja
hilangnya tidak mungkin mampu dicari ganti
dan aku pun terpegun
oleh ngomelan nyanyuknya
kerana budak itu bukan Hang Nadim
jelmaannya adalah warisan si kitol mamak mandaliar
kembali menggadai maruah bangsa
megah menjilat telapak kaki penjajah
menggamit musuh ke peraduan mimpi
agar perkosaan tidak lagi dilihat jijik
Di kaki Menara UMNOKuala Lumpur27 Oktober 2007

BILA UMNO DISERET KEMUKA PENGADILAN

SUNGGUH tidak patut!!! Itulah yang termampu dilafazkan bila menatap laporan polis oleh penulis dan penganalisa politik dari Segamat , Johor bernama Johari Ismail berhubung permohonannya agar pihak polis menyiasat konspirasi besar didakwa dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi terhadap mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sampai hati sungguhnya Johari melakukan tindakan tersebut hingga boleh mengheret parti Umno menjadi tidak sah atau sebagai sebuah pertubuhan haram seperti yang berlaku di era pencabaran Tengku Razaleigh Hamzah ke atas Dr. Mahathir.

Bukankah Umno merupakan parti pemerintah? Tidak sedarkah Johari Ismail, jawatan Ketua Polis Negara adalah dari ehsan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, bagaimana mungkin orang kepercayaan Abdullah Ahmad Badawi melakukan siasatan keatas pemberi jawatan kepadanya?

Kalaupun terdapat kebenaran dalam dakwaan Johari bagaimana Abdullah Ahmad Badawi melakukan konsiprasi begitu menjijikkan dalam sejarah politik bangsa, sedarkah Johari kebal dan maksumnya Presiden Umno itu?

Namun laporan sudahpun dilakukan olehnya dan seharusnya pasukan polis yang berwibawa serta menjunjung keluhuran perlembagaan terpaksalah melakukan siasatan sejauh mana benarnya dakwaan Johari.

Bagaimana pula jadinya jika terdapat kebenaran dakwaan Abdullah Ahmad Badawi melanggar perlembagaan parti dengan melakukan konsipirasi menghalang Tun Dr. Mahathir dari menjadi perwakilan, apakah ahli-ahli Umno yang bersidang selama lima hari di bangunan PWTC bersedia menerima hakikat bahawa mereka telah melakukan perhimpuinan haram?

Aduhai, kasihan sungguh nasib mereka yang berhempas pulas membahaskan usul agar agama Islam hanya menjadi istimewa sahaja dalam mahzab hadhari. Lebih malang lagi perhimpunan tersebut diangap tidak sah, buat penat sahaja mereka bersongkok dan berbaju Melayu segak bergaya, rupa-rupa sekadar menjadi perwakilan yang tidak sah disisi undang-undang.

Tidak terfikirkah oleh Johari kesan dari laporan tersebut bakal mendedahkan Umno sebagai parti yang tidak sealiran dengan undang-undang negara? Kita amat faham bahawa dalam apa keadaan setiap pertubuhan mahupun persatuan yang didaftarkan mesti mematuhi undang-undang negara. Dalam erti kata lain, kalaulah sesabuah pertubuhan itu melanggar serta bertentangan dengan undang-undang maka ia boleh diharamkan oleh kerajaan.

Sebagai contoh, bagaimana mungkin kita menubuhkan sebuah pertubuhan atau kesatuan untuk melakukan rompakan? Meskipun dalam perlembagaan pertubuhan tersebut mengizinkan ahli-ahlinya merompak dan menyamun, namun undang-undang di Malaysia tidak memberi kebenaran maka dengan sendirinya pertubuhan tersebut dianggap tidak sah. Dalam erti kata lain, undang-undang negara dan perlembagaan mengatasi mana-mana peraturan dan perlembagaan pertubuhan tersebut.

Johari kena faham se faham-fahamnya kesan laporan polis yang dilakukan olehnya itu. Ia bukan seperti kes Muhammad anak Muhammad membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin. Dalam kes tersebut ia sekadar menyangkut soal mencari populariti dan upaya menyambung nyawa dalam karier politik.

Apa yang dilakukan oleh Johari lebih buruk dari itu kerana kesannya bukan kepada Abdullah Ahmad Badawi tetapi ia boleh menjerumuskan parti Umno sebagai sebuah pertubuhan tidak sah. Ini sudah kes berat!!!!

Menyorot perbahasan dan debat di persidangan Agung Pergerakan Pemuda Umno kelmarin, Johari kena ingat dan insaf betapa hebatnya perjuangan pemuda hari ini untuk tidak tunduk kepada tuntutan parti lain agar senjata keris tidak dipamirkan mahupun dijadikan sebagai simbol.

Kalaupun Johari marah bila melihat Hishamuddin Tun Husein Onn mencabut keris dan mengucupnya, beliau mesti sedar itulah warisan peninggal datuknya supaya Melayu tetap gagah menghunus keris, samada siapa dan kearah mana sasarannya bukan persoalan penting, Acara cabut keris dan potong kek merupakan budaya baru dalam Umno. Ertinya bila setiap musuh berjaya dihapuskan maka perlulah merayakannya dengan memotong Kek seperti dilakukan oleh Mak Cik Montel @ Rafidah Aziz.

Hayatilah jaguhnya ayam sabung Pergerakan Pemuda Umno “Perwira Mat Lela Gila” menuntut dalam ucapannya supaya pihak polis menangkap dan memenjarakan setiap demonstran bersih yang mahu berarak di dataran merdeka pada 10 Nobember 2007. Johari kena hayati dan sedar diri betapa hebatnya menantu Perdana Menteri memberikan arahan kepada pihak polis walaupun dia tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Kalau seorang budak hingus boleh mengarahkan pasukan polis menyekat serta menangkap rakyat yang melakukan perarakan secara aman bagi menuntut sebuah pilihanraya dikendalikan dengan adil dan saksama, bagaimana boleh pihak polis boleh menyiasat konsiprasi Abdullah Ahmad Badawi menyekat Tun Dr. Mahathir sebagai perwakilan dalam perhimpunan Agung Umno tahun lalu (2006).

Semua harus insaf, Perwira Mat Lela Gila adalah menantu kesayangan Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap sebagai pintar dan boleh dinobatkan sebagai Perdana Menteri sebelum berusia 40 tahun. Kerana itu pihak polis mesti akur menurut perintah calon Perdana Menteri.

Bukankah Abdullah Ahmad Badawi berkali-kali menyatakan Perwira Mat Lela Gila sehebat Hang Nadim semasa Singapura di langgar todak? Dan atas kebijakannya itu tidak mungkin dia boleh mengizinkan Singapura memiliki walau seincipun bumi ini untuk dijajah oleh kuasa asing.

Perwira Mat Lela Gila pasti akan berpencak dan menentang siapa sahaja yang mahu merampok harta rakyat, Perwira Mat Lela Gila tidak akan menjilat kaki Singapura untuk mengemis simpati, semua itu adalah gambaran hebatnya menantu perdana menteri sehingga berjaya memaknusiakan malaikat Jibrail sebagai anaknya. Hebat lagi menghebatkan.

Kerana itulah bila ada cakap-cakap di kalangan perwakilan Umno bercerita tentang kelewatan Timbalan Perdana Menteri menghadiri upacara menaikkan bendera Umno sebagai gambaran kurang hormatnya beliau terhadap Perdana Menteri harus segera disangkal kerana tidak mungkin Najib mampu menguris hati Abdullah sebagai orang nombor dua.

Malahan cakap-cakap kononnya Datuk Najib bakal mencabar jawatan Presiden Umno sebagai satu dongeng kosong. Bukankah berkali-kali Najib melafazkan ikrar taat setianya terhadap Abdullah Ahmad Badawi, untuk itu tidak perlu dipertikaikan kesetiaannya. Perwira Mat Lela Gila tetap akan menghormati Datuk Najib sebagai Timbalan Presiden dan tidak mungkin akan menjatuhkannya.

Semua perlu sedar, Perwira Mat Lela Gila @ menantu pm adalah anak Melayu tulin yang tidak mungkin bersedia untuk bersikap “Kurang ajar” terhadap pemimpin. Perwira Mat Lela Gila juga sentiasa bersopan dalam menangani sesuatu masaalah politik. Dia juga adalah calon maksum yang perlu dinobatkan sebagai pemimpin tulin Melayu yang berjiwa Melayu serta punya akal budi menghormati orang lain. Setiap tindak tanduknya adalah jujur sejujur-jujurnya. Dia bukan agen asing seperti yang didakwa mahu melingkupkan bumi bertuah ini.

Kerana itulah Johari Ismail tidak sewajarnya membuat laporan polis terhadap Umno. Hari ini Umno bukan sebuah parti politik seperti ditahun 1957 atau tahun-tahun enam puluhan, Umno dulu tidak hebat. Hari ini Umno adalah satu-satunya pertubuhan politik yang berjuang untuk bangsa agama dan negara kerana setiap pemimpinnya tetap meletakkan kepentingan bangsa mengatasi segala-galanya.

Pemimpin Umno seperti Perwira Mat Lela Gila bukan perampok wang rakyat, pemimpin Umno semuanya jujur dan hebat seperti Norza Zakaria yang ikhlas mencari sinar dihujung terowong. Dan sempena merayakan kejayaan Malaysia menghantar rakyatnya menjadi angkasawan sewajarnya saranan Datuk Seri Mohd Najib untuk segera mengangkasakan bangsa di lakukan. Namun untuk tahun depan sempena kedatangnya kapal selam Scorpione, jangan pula ada kata-kata mari kita tengelamkan bangsa pula itu lagi tidak patut………!!!!!!