Tuesday 8 May 2007

Bila Pemimpin Kaki Penipu

PENIPUAN MINDA MELAYU


PUTAR belit, penipuan dan pembohongan pemimpin untuk melaksanakan impian serta legasi kepimpinannya bukan perkara baru, terkadang ia sudah menjadi budaya kalangan mereka sebagai upaya terpenting memperolahi kuasa serta diangkat bergelar “orang tersohor”.

Melayu terhumban ke jurang amat bahaya jika pemimpin sudah tidak mampu membezakan antara putar belit, pembohongan dan penipuan. Minda mereka dikelirukan untuk melihat ketiga-tiga perlakuan tersebut sebagai seni percaturan dan satu perjuangan berselindungkan kepentingan bangsa agar dicanai menjadi rangsangan politik kacau bilau.

Dari sudut kefahaman masyarakat Melayu “putar belit” membawa maksud tindakan tidak jujur atau ikhlas. Seseorang itu selalunya memesongkan fakta untuk diterjemahkan menurut hasrat kehendak hatinya disamping licik memperdaya dan seringkali ia berpaksi kepada pembohongan yang terlalu sukar dikesan.

Sementara pembohongan adalah lontaran kata-kata tidak benar diadun dengan pelbagai pemalsuan fakta. Agama Islam amat menentang terhadap pembohongan dan menyifatkan perlakuan tersebut lebih mirip kepada sikap munafik yang boleh mengakibatkan pendengarnya terperangkap untuk ditipu serta diperdaya.

Penipuan pula merupakan tindakan memesong fikiran agar setiap gerak dan hasrat sebenar tidak dapat dilihat serta sukar diketahui motif sebenar secara jelas. Untuk menipu seseorang itu terpaksa melakukan putar belit yang dijalin dengan cerita bohong. Lazimnya tindakan menipu bertolak dari tujuan mencapai matlamat.

Kalau seorang pemimpin itu berbohong selalunya kesan kepada pendengarnya sekadar mempercayai cerita tidak benar dan bila mereka melakukan putar belit mengakibatkan rakyat pimpinannya terpedaya oleh liciknya melontarkan kata-kata tetapi bila dia menjadi penipu maka pastilah orang bawahan diperbodohkan menjadi tolol.

Sejak merdeka terdapat kalangan pemimpin Melayu yang tidak pernah menipu tetapi seringkali pula tertipu. Ada juga bersikap tidak mahu menipu dan enggan untuk menipu. Tetapi amat bahaya bila hadirnya pemimpim penipu terus melakukan penipuan tetapi tidak tahu untuk menipu .Tidak kurang pula pemimpin kaki penipu dan bijak menipu.

Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan juga Tengku Razaleigh Hamzah sebagai contoh merupakan pemimpin yang tidak suka menipu tetapi malangnya kerana terlalu jujur serta tidak pandai menipu menjadikan diri mereka tertipu. Sementara allahyarham Tun Hussien Onn pula tidak tahu untuk menipu tetapi tidak menipu.

Era Dr. Mahathir Mohamad pula dikatakan pandai dan licik dalam ilmu menipu tetapi tidak suka kepada penipuan. Amat malang bila ramai pemimpin period kepimpinan dan selepasnya cukup kuat menipu tetapi tidak tahu untuk menipu. Tidak kurang juga kaki penipu serta pandai menipu. Situasi begini seringkali mengundang masalah bila rakyat melihat sandiwara penipuan mereka terdedah satu demi satu.

Sebagai pemimpin ada kalanya mereka dibolehkan menipu tetapi bukanlah untuk menjadi penipu kerana jika mereka bersikap terlalu jujur boleh mengakibatkan menjadi “bendul” membuta tuli dan terperangkap lantas diperdaya oleh orang lain.

Malangnya hari ini kalangan pemimpin Melayu terlalu banyak bersikap suka menipu tetapi tidak tahu menipu. Rakyat diperdaya dengan pelbagai retorik politik dalam menagih sokongan sebaliknya percaturan mereka adalah untuk menipu. Tanpa ada batasan penipuan dilakukan satu demi satu tetapi kerana tidak pandai dengan ilmu penipuan maka putar belit dan pembohongan mereka terserlah serta menghakiskan yakin rakyat.

Di pentas politik mereka melontarkan pelbagai ungkapan kata-kata cukup bersemangat berselindungkan kesyumulan Islam sebagai retorik dan menyemarakkan iltizam perjuangan bangsa tetapi tindak tanduk serta perlakuannya amat bertentangan dengan naluri Islam jauh sekali melaksanakan perjuangan tersebut. Rakyat diperbodohkan melalui pelbagai putar belit tipu helah bersulamkan cerita bohong tanpa batasan. Matlamat bagi mereka tetap menghalalkan cara biarpun terkadang dilihat bagai lelucon serba melucukan .

Terdapat juga kalangan pemimpin kaki penipu yang bijak menipu. Gerak percaturan politiknya licik mengamit yakin serta sokongan atas nama perjuangan sedang realitinya jauh dari kebenaran. Strategi diatur memerangkap minda untuk dilihat hebat, berketerampilan dan menjadi jaguh dalam penonjolan diri sebagai reformis pembela rakyat sebaliknya sejarah silam jua hala caranya sekadar mencari tempat dalam pencak penipuan demi penipuan.

Rakyat diperdaya dan merasakan merekalah harapan unggul memperjuangkan untung nasib marhain tetapi bila diberikan kuasa, impian dan harapan tinggal janji manis yang kosong hampa. Bangsa Melayu sekadar dijadikan alat bagi memenuhi nafsu serakahnya. Lebih malang bila adu domba disemarakan untuk Melayu berpecah belah saling curiga mencurigai antara satu sama lain melalui budaya “pecah dan perintah”.

Bercakap tentang “Melayu Hilang Dunianya” pengkritik dan penganalisa politik saudara Zaharin Mohd Yassin menyatakan situasi tersebut pasti berlaku bila pemimpin Melayu menodai kesucian dan kesyumulan perjuangan bangsanya untuk dihakis dan hidup “membangsat” di bumi sendiri.

“Melayu tetap tidak akan hilang di dunia seperti lafaz wira Hang Tuah. Selagi ada usia abad dunia bangsa Melayu tetap akan ujud kerana fitrah manusia tetap beranak pinak dari satu generasi ke satu generasi. Bangsa Melayu akan terus kekal dan ujud.

“Tetapi dunia Melayu akan hilang. Sebagai contoh bila bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa mutlak di negaranya sendiri mana mungkin dunia Melayu dapat dipertahankan?. Saudara lihat sendiri bagaimana penghakisan bahasa Melayu diperlakukan untuk tidak subur lagi. Bahasa yang telah dinobatkan sebagai bahasa resmi melalui perlembagaan tidak lagi kukuh sebagai bahasa ilmu.

“Lebih malang bahasa Melayu sudah tidak lagi menjadi bahasa komersial dan orang Melayu merasa kurang bangga jika bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Pemimpin lebih seronok berucap dalam bahasa penjajah untuk dilihat hebat serta berilmu. Lihatlah bagaimana pemimpin Rusia, Arab, China, Taiwan dan Jepun, mereka tetap bangga dan berucap dalam bahasa ibunda mereka di hadapan khalayak. “ ujar saudara Zaharin penuh beremosi.

Sejak merdeka menurutnya lagi para pemimpin Melayu telah berjuang dengan jiwa dan raga mempertahankan bahasa Melayu. Malangnya kini ia seakan mahu dihakiskan melalui pelbagai tindak tanduk pemimpinnya memperkecilkan bahasa Melayu untuk tidak dilihat mempunyai “standard”, nilai komersial serta bahasa komunikasi peringkat global.

Tiada lagi usaha bersepadu dan berterusan bagi menjamin martabat bahasa Melayu kekal sebagai bahasa komersial di dunia Melayu. Media massa arus perdana tidak lagi peka mempertahankan maruah bahasa Melayu malahan merelakan pencemaran bahasa serta penafian hak bahasa Melayu itu sendiri di bumi Melayu.

Satu ketika dahulu dunia Melayu dilihat cukup hebat. Siapa dapat menafikan kehebatan bangsa Melayu bergelar pedagang besar menguasai bidang maritim sebagai pelaut berilmu dan perkasa. Dunia Melayu tidak sekadar tanah semenanjung di hujung lautan pasifik tetapi merangkumi keseluruhan tanah dan pulau- pulau menjadi sebuah empayar hebat.

Meminjam ungkapan Allahyarham Presiden Sukarno dari Indonesia beliau menyatakan “di setiap negeri di mana pantainya terdapat lambaian pohon kelapa maka di situlah ujudnya saudara sebangsa dengan ku bernama Melayu. Itulah duniaku dunia Melayu yang gagah perkasa di seluruh nusantara.

“Bangsaku bangsa Melayu biarpun terpisah oleh gagasan percaturan politik penjajah namun garapan kash sayang sesama sebangsa tetap subur kerana seluruhnya terhimpun dalam sebuah empayar besar bernama dunia Melayu.”..

Hari ini bahasa Melayu sudah tidak lagi dituturkan dan menjadi bahasa komunikasi di Singapura walaupun ia terletak dalam gugusan kepulauan Melayu. Identiti warganya juga bukan sebagai sebuah bangsa berpaksi kepada latar belakang bumi Melayu sebaliknya bahasa penjajah Inggeris menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian mereka. Singapura merupakan contoh paling tepat melihat “Melayu Hilang Dunianya” tetapi bangsa Melayu tetap ujud.

Legasi biadap mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew berjaya menghancurkan bahasa Melayu untuk dilihat daif dan terhakis sama sekali di bumi Melayu. Apakah tidak mungkin satu ketika nanti generasi Melayu akan merasa tidak selesa bertutur dalam bahasa Melayu? Bila pemimpin Melayu tidak lagi peka mempertahankan kedaulatan bahasanya sendiri, siapa harus dipersalahkan jika Melayu kehilangan dunianya.

Dewan Bahasa yang kini sudah bertukar wajah bangunannya sebagai antara pencakar langit apakah harus dibiarkan kalangan pemimpinnya untuk terus berpolimik dan bersengketa sesama sendiri? Terlalu banyak wang rakyat dibelanjakan, tetapi kenapa harus upaya memertabatkan bahasa Melayu dibiarkan masih lagi berada di takuk lama? Kurang sedarkah Datuk Johan Jaafar dan Datuk Profesor Firdaus kehadiran mereka di puncak kuasa di Dewan Bahasa bukan untuk saling berbalah dan mencari pengaruh atau sekadar pemanas kerusi empok mengaut keuntungan?

Masih belum insaf lagikah mereka bagaimana kedaulatan bahasa Melayu sudah semakin terjajah, terhakis dan menjadi picisan? Bukankah kita punya akta serta kuasa dalam memelihara martabat Bahasa Melayu? Kenapa tidak dilaksanakan setiap akta yang terdapat dalam perlembagaan? Inilah yang terjadi bila pemimpin punya kuasa tetapi tidak tahu menggunakan kuasa.

Allahyarham Datuk Azman Attar satu ketika dahulu pernah menyatakan “ if you have a power make sure you are powerful, other wise you are bloodyful” yang membawa maksud bila kita mempunyai kuasa dan berkuasa tetapi tidak tahu mengunakan kuasa samalah seperti orang bodoh.

Sementara itu penulis Sayuti Omar melalui blok internetnya halaman “Antara Kita” telah mengulas bagaimana percaturan politik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi menyentuh persoalan membabitkan ekonomi negara. Menurutnya pertanyaan beliau di media massa “apa lagi yang rakyat hendak?” yang dilemparkan olehnya kepada 26 juta rakyat Malaysia menerusi sidang akhbar sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO amat memeranjatkan. Baik yang mendengar secara langsung maupun membaca pertanyaan itu akan mentafsirkan seolah-olah Perdana Menteri sudah dapat memenuhi kehendak semua lapisan masyarakat walaupun baru menjadi Perdana Menteri selama tiga tahun.

Atau dalam pengertian lain, pertanyaan itu boleh disabitkan Abdullah sebagai telah memenuhi dan mematuhi apa-apa saja kehendak dan aspirasi rakyat yang tidak boleh ditakwilkan apa-apa lagi. Beliau melontarkan persoalan tersebut ekoran perkembangan ekonomi negara yang dikatakan berada dalam keadaan baik dan stabil.

Menurutnya lagi apa yang berlaku, bukan rekaan tetapi berlandaskan kepada fakta perkembangan semasa yang benar, tidak juga bertujuan mengabui mata rakyat.Sementara landasan ekonomi negara stabil menurut Abdullah berpandukan kepada tiga petunjuk. Pertama, pelaburan asing dan domestik mencecah RM40 bilion, kedua, kenaikan indeks Bursa Malaysia dan, ketiga kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.Namun realitinya Bursa Malaysia turun sehingga angka 1,170 mata. Memang tidak ada niat kerajaan untuk mengabui mata rakyat, namun jika diteliti kepada beberapa aspek pengakuan beliau boleh dipertikaikan. Contohnya apabila Abdullah mengambil kira kenaikan indek Bursa Saham Malaysia sebagai petunjuk apakah ia masih relevan dalam menentukan kestabilan atau tidak kedudukan semasa ekonomi negara.

Kita bukan mahu menafikan akan kenaikan Bursa Malaysia pada setiap awal tahun dan menjelang Tahun Baru China kerana ia merupakan kelaziman biasa, Bursa Saham Malaysia mengalami perubahan positif. Tetapi apa yang hendak dipersoalkan ialah berpandukan kepada pengalaman-pengalaman sebelum ini peranan dan tanggapan terhadap bursa berkenaan ada dolak-daliknya.

Satu masa dahulu ketika indeks bursa turun sehingga ke paras terendah kira-kira 600 mata, ada pihak mengatakan ia ada hubungkait dengan perkembangan atau aliran ekonomi negara, kerajaan cepat-cepat menafikannya sementara pakar-pakar ekonomi yang menjadi ‘kilang buih mulut’ cepat menafikan bahawa kedudukan bursa itu tidak ada kena-mengena dengan ekonomi negara. Kenyataan yang sama disambut pula oleh para Menteri khususnya Menteri Kewangan.

Untuk itu kalau mahu berpandukan kepada pegangan kerajaan jelas menekankan petunjuk tersebut tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras atau indikator situasi ekonomi negara, apakah hal atau sikap yang sama juga boleh dipakai oleh rakyat untuk tidak mempercayai dan menerima ekonomi negara baik walaupun bursa naik mencanak?

Kalau rakyat mengambil sikap sama dengan sikap kerajaan seharusnya Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi tidak boleh marah sekiranya rakyat beranggapan kedudukan Bursa Malaysia itu tidak semestinya menandakan ekonomi baik, dan secara automatik pula rakyat berhak tidak percaya kepada dakwaan beliau berasaskan indeks di Bursa Saham Malaysia.

Mungkin kerana bimbang hakikat tersebut malahan Perdana Menteri turut mengaitkan persoalan nilai asing dan domestik berjumlah RM40 bilion. Memang angka itu besar, tetapi suatu hakikat yang dilupakan atau terlupa bahawa angka itu termasuk dalam peruntukan domestik menerusi RMK-9? Bukan bermakna kita tidak mempercayainya tetapi apa yang difahamkan bolehkah projek di bawah RMK-9 itu berjalan pada tahun 2007 kerana tempohnya selama lima tahun?

Sekiranya sebahagian dari jumlah RM40 bilion itu termasuk angka dalam RMK-9, ia tidak boleh dijumlahkan sebagai nilai projek tahun 2007 kerana ia diperuntukan untuk tiga atau empat tahun lagi. Tanpa prejudis kita menerima angka dan dakwaan itu semua! Tetapi apa yang menjadi persoalan ialah kenapa dan untuk apa Abdullah menegaskan angka-angka yang disebutkan itu bukan rekaan? Kalau Perdana Menteri sendiri meragui kepercayaan umum kepada apa yang dijelaskan beliau tidak perlu menekan perkara tersebut.Bagaimanapun soal kestabilan ekonomi negara dan peningkatannya, semua orang suka kerana semua pihak akan mendapat nikmat daripadanya. Namun apa yang harus difahamkan paling mustahak bagi rakyat, bukan angka atau kesan di atas kertas tetapi menjadi impian mereka adalah kenyataanya. Tidak perlu beliau menyebut ekonomi negara naik berlipat ganda sejak menjadi PM tetapi kesan langsungnya kepada rakyat tidak ada.

Rakyat tidak boleh berhibur dengan angka-angka tetapi mereka akan gembira dengan apa yang dikecapinya. Misalnya Perdana Menteri menyebut kerajaan dapat menangani kenaikan harga minyak (petrol dan disel) sehingga tidak membebankan. Rakyat bersyukur di atas kebijaksanaan itu. Namun, rakyat akan merasakan kebijaksanaan tersebut hanya setakat itu saja apabila penurunan semula harga minyak yang dinaikkan gagal walaupun harga minyak dunia sudah jatuh ke US 50 setong berbanding US 75 setong sebelum ini.

Apabila nilai minyak dunia turun rakyat mengharapkan harga petrol dan disel tempatan turut diturunkan kerana kadar kenaikannnya mengikut kadar kenaikan harga minyak dunia. Di mana logiknya, kalau minyak dunia turun kerajaan enggan menurunkan kadar minyak di dalam negeri?

Sedangkan menurut seorang pakar ekonomi dan juga ahli politik, penunjuk sebenar kepada kestabilan atau pengembangan ekonomi bukan kepada indeks di Bursa Malaysia atau nilai pelabur yang disebut oleh Perdana Menteri semata-mata, tetapi tertakluk kepada beberapa petunjuk lain yang berikutan daripada itu. Salah satu yang penting menurutnya jika ekonomi negara stabil pasti banyak pelabur asing masuk ke negara ini diikuti dengan penglibatan mereka dalam berbagai industri, perkilangan, pembangunan, kewangan (bank), insuran dan lain-lain.

Apakah tanda-tanda itu ada dalam tempoh terdekat? Kalau ianya tidak wujud maka jelas dakwaan tersebut kosong. Selain itu juga tambahnya kesan ekonomi baik akan membuka peluang perniagaan yang banyak di negara ini. Lantas itu kadar pengangguran akan berkurangan. Justeru itu kemampuan mengeluarkan “figure” atau angka-angka berpandukan kepada beberapa petunjuk yang setengah tidak relevan seperti indeks di bursa, tidak boleh diterima bagi mengatakan ekonomi kita stabil dan berkembang. Paling penting rakyat ingin menikmati bukan mendengar dan melihat angka-angka yang mereka tidak faham.

Demikian juga penjelasan Perdana Menteri Abdullah berhubung tindakan kerajaan membenarkan beberapa syarikat besar bergabung sebagai merancakkan perkembangan ekonomi juga boleh dipertikaikan. Pada prinsipnya memang ia boleh diterima, tetapi apakah tindakan tersebut untuk mengembangkan ekonomi ataupun kerana ada kepentingan bersifat “ada udang di sebalik batu” bagi individu-individu berkaitan, menerusi polisi atau pendekatan berkenaan.

Dalam konteks ini apakah rakyat melihat Perdana Menteri kurang memahami selok belok berhubung percaturan ekonomi atau adanya unsur-unsur putar belit hingga menjadikan rakyat merasa tertipu dan diperdayakan? Hanya mutu mengenal manikam.

Sementara itu seorang penganalisa politik melahirkan keraguannya terhadap kepimpinan hari ini apabila cerita dongeng atau “fallacy” boleh memperdaya Perdana Menteri. Menurutnya terdapat beberapa insiden yang terlalu sukar dipercayai tercetus sejak pilihanraya umum 2004 di mana kemenangan besar kerajaan Barisan Nasional dilihat sebagai padu serta hebatnya keyakinan rakyat terhadap Abdullah Ahmad Badawi.

Peristiwa “ketuk ketampi” dalam lokap polis yang dikhabarkan melibatkan wanita dari negara China cukup memalukan bila Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu Datuk Azmi Khalid telah diutuskan untuk memohon maaf daripada kerajaan China sedangkan mangsa tersebut adalah rakyat tempatan.

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi adalah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di mana pasukan polis Di Raja Malaysia berada di bawah kementeriannya masakan gagal memperolehi laporan sebenar daripada pihak keselamatan berhubung kejadian tersebut? Apakah pihak polis berbohong atau Perdana Menteri gagal menyiasat sepenuhnya secara lebih efektif?

Apa akan terjadi kepada keselamatan negara jika fakta sebenar gagal diperolehi oleh seorang Perdana Menteri sehingga kesilapan seperti itu boleh terjadi. Di mana mahu diletakkan muka kita atas kesilapan cukup megaibkan sedemikian. Begitu juga berhubung kenyataan beliau kemampuan kerajaan melangsaikan sebarang bayaran kontrak dalam tempoh dua minggu.

Sehingga saat rencana ini ditulis belum terdapat bukti tanda efisyennya bahagian perbendaharaan di kementerian-kementerian melaksanakan tempoh dua minggu kontraktor memperolehi bayaran, malahan persoalan tersebut masih menjadi dilema dikalangan usahawan bumiputera .

Lebih malang lagi bila beliau diyakini hebatnya daya fikir serta kemampuan menantunya sebagai anak muda yang boleh menyaingi karisma seperti “Anwar Ibrahim” untuk diberikan tempat sebagai pakar rujuk dalam mencorakkan polisi serta wacana kerajaan. Malahan beliau gagal melihat kesan kehadiran anak muda bernama Khairy Jamaluddin telah menghakiskan keyakinan rakyat terhadapnya.

Jika wibawa Anwar Ibrahim dilihat terhakis di kalangan penyokong dan rakyat berpunca dari terlalu kasih dan sayangnya kepada anak muda bernama Azmin Ali hingga menjadikan teman rapatnya menjauhkan diri begitu jugalah di alami oleh Abdullah Ahmad Badawi sejak Khairy Jamaluddin diangkat sebagai penasihat.

Bukan rakyat membenci Abdullah tidak juga mereka kurang menghormati Khairy Jamaluddin tetapi kesan hubungan rapat serta keyakinan yang begitu hebat terhadap kebijaksanaan menantunya itulah menjadikan rakyat melihat adanya percaturan politik “putar belit”.

Gara-gara intim dan terlalu percaya Perdana Menteri terhadap Khairy Jamaluddin mengakibatkan rakyat merasakan mungkin ada “ilmu guna-guna” atau “bomoh” berperanan menautkan kasih dan rasa percaya beliau walaupun hakikat sebenar tidak sebegitu tetapi jelas bagai ada sesuatu tidak kena dalam pentadbiran kerajaan masa kini.

Sewaktu pertemuan antara kumpulan sahabat ( kalangan penyokong paling rapat dengan Abdullah Ahmad Badawi) yang pernah sama-sama susah dan jerih mengharungi getir politik di saat kejatuhannya setelah tewas dalam pertandingan jawatan Naib Presiden UMNO 1987 dahulu banyak persoalan dibangkitkan oleh mereka behubung istimewanya Khairy Jamaluddin di hati Perdana Menteri.

Antara kumpulan Sahabat itu termasuklah Datuk Ahmad Zahidi dari Perlis, Saudara Roslan Latif (Perak) Shahul Hamid (Pulau Pinang) Zawawi Zain, Talha dan beberapa kalangan teman rapat Abdullah Ahmad Badawi meragui kemungkinan kehadiran Khairy Jamaluddin dalam percaturan politik UMNO boleh menimbulkan masaalah kepada diri Perdana Menteri. Biarpun beberapa isu dibangkitkan namun Perdana Menteri tetap mempertahankan kebijaksanaan “anak muda keris berjulung” menantu kesayangannya.

Walaupun kenyataan Abdullah Ahmad Badawi menjadikan kalangan sahabat merasa kecewa serta tawar hati namun beliau bersedia menerima risiko untuk kehilangan sahabat dari membenarkan cakap-cakap atau lontaran rasa kurang senang hati mereka terhadap Khairy Jamaluddin. Wallahualam.

Satu ketika dahulu Raja Petra Kamaruddin pengendali laman web “Malaysian Today” pernah menyentuh isu “makanan untuk minyak” atau “oil for food” melibatkan anak sulung Perdana Menteri dan keluarga Setiauasaha Bangsa-Bangsa Bersatu Koffi Anan di mana masyarakat dunia menyifatkannya sebagai satu skandal.

Mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dalam beberapa ceramah politiknya turut mendedahkan penglibatan Abdullah Ahmad Badawi bagi membolehkan syarikat milik anaknya membekalkan ubat serta makanan kepada rakyat Iraq yang menderita kesan peperangan dengan tentera Amerika. Menurut ceritanya kesengsaraan mangsa perang Iraq dijadikan kesempatan untuk syarikat tersebut mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit sehingga dicela oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sikap membisu Abdullah Ahmad Badawi samada mahu menyanggah atau menangkis tohmahan tersebut sehingga saat ini masih menjadi misteri yang tidak terjawab. Begitu juga persoalan bekalan alat “centri fuse” untuk kerja-kerja pengkayaan tenaga nuklear melibatkan syarikat perkongsian Kamaluddin Abdullah dan B.N Tahir bersama syarikat Timur Tengah terus sepi tanpa penjelasan umum.

Perlukah kita berbohong atau menutup isu tersebut melalui percaturan putar belit hingga dilihat seperti adanya penipuan untuk memperdaya rakyat? Penulis politik Yahya Ismail melalui dua buah bukunya satu daripadanya berjudul “Apa agenda Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaluddin” turut mempersoalkan skandal tersebut.

Sementara itu pengkritik dan aktibis Hishamuddin Rais melalui tulisan di halaman Malaysian Today turut memperkatakan beberapa isu berhubung persoalan tohmahan dan gossip rakyat terhadap pemimpin hari ini. Dalam tulisan tersebut beliau mengungkapkan rasa bosannya mendengar pelbagai macam cerita tentang Najib, bakal Perdana Menteri. Sebagai warga yang taat setia kepada Raja (bukan kepada Raja Gopal) dan Negara (bukan kepada Taman Negara) beliau hanya memasang telinga berhubung kisah-kisah yang semakin tersebar luas dan saban hari bertokok-tambah.

”Saya tidak yakin tentang kesahihan cerita-cerita ini. Macam cerita Hantu Kopek, kita tidak tahu hujung pangkalnya. Semuanya saya baca dari laman web. Tulisan-tulisan ini – lebih tepat lagi sumpah-seranah - ditulis sambung-menyambung ekor-mengekor tidak tahu hujung pangkal dan tidak diketahui hantu dan syaitan mana yang menulisnya.”Justeru, saya cukup bersimpati kepada bakal Perdana Menteri saya ini. Kalau saya ditahan di Guantanamo opps… maaf … di Kamunting dan diminta oleh pakar SB membuat pilihan diantara Najib dan Ibrahim Ali, sudah pasti saya akan memilih Najib. Bayangkan jika Ibrahim Ali menjadi Perdana Menteri negara ini, habis gigi kita semua di‘renovasi’nya.”Pada satu pagi minggu lalu yang cemerlang, terbilang dan gemilang, saya terbaca berita Najib lagi. Berita ini dari laporan akhbar arus perdana yang paling berwibawa di negara kita ini. Akhbar yang ‘mencanai’ minda Melayu ini telah mengeluarkan induk berita - NAJIB AKAN JAWAB SEMUA TOHAMAN - Hah! Hebat lagi menghebatkan. Gah lagi menggahkan. Barulah sasa bakal Perdana Menteri saya ini.

“Saya cukup bangga untuk terus bangga sebangga-bangganya apabila anak kelahiran Pekan ini bangun dengan berani berhadapan di hadapan ribuan penyokong-penyokong di Ijok. Para penyokong dari estet dan ladang Felda yang datang berpusu-pusu untuk mendapat nasi bungkus dan duit tambang wajib mendengar khutbah dari bakal PM saya terlebih dahulu” sindir Hishamuddin Rais.

Dalam tulisan tersebut beliau menambah ini belum lagi termasuk kira ratusan kontraktor-kontraktor Kelas F yang datang berebut-rebut untuk melobi projek membuat longkang dari Najib. Para penyokong ini menebeng dan melanggok mendengar penerangan dari Najib bakal Perdana Menteri.. Hebat lagi menghebatkan. Berbulan-bulan kita telah mendengar labon tentang Najib dan Altantuya. Macam-macam punya cerita. Pemandu teksi buka cerita. Pegawai kerajaan bercerita. Mak Cik warung buka cerita. Orang korporat pun bercerita. Seniman pun bercerita. Mak Cik Felda bercerita. Perempuan-perempuan bekas penuntut Kolej Tunku Khursiah (TKC) pun bercerita. Malah, Bangla dan Mamak pun tumpang semangkuk untuk bercerita.

Kepala bertambah pening apabila Jinjang Joe, Mat Kerinchi, Sally Cheras malah Mat Punk pun turut sama bercerita. Apa punya tuuur! Apa sudah jadi beeb! Saya tidak faham kenapa orang ramai terus berlabon tentang Najib dan Altantuya. Untuk pembaca yang belum tahu tentang kes ini biar saya terangkan. Begini kesahnya:

Altantuya ialah Siti Aminah binti Abdullah. Altantuya ini telah di Islamkan oleh Utusan Malaysia bukan oleh saya. Cik Mek Molek ini datang dari Mongolia. Apa Cik Mek Molek ini buat di Kuala Lumpur wallah hu a’lam bissawaab. Cik Mek Molek ini telah ditembak mati dan kemudian mayatnya telah diletupkan dengan bom jenis C4. Ini dilakukan dalam hutan waktu malam. Ini cerita biasalah.

Dipendekkan cerita, kerana Cik Mek Molek ini telah dibunuh, maka tiga orang Mamat telah ditahan. Syabas polis negara yang sedia berkhidmat dengan cemerlang lagi terbilang. Memang betul salah seorang dari Mamat yang ditahan ini bernama Razak Baginda. Si Razak ini melalui affadavit (untuk yang tidak tahu bahasa Latin, affadavit ialah surat bersumpah) telah mengakui bahawa dia pernah mempunyai hubungan dengan Cik Mek Molek ini.

Nampaknya tidak ada apa-apa kaitan diantara Razak Baginda dengan Najib Razak. Aduh, janganlah jadi bodoh. Hanya kerana nama RAZAK mereka berdua dikait-kaitkan. Najib Razak ini bukan anak Razak Baginda. Najib anak Razak yang lain. Razak Baginda pula anak si polan yang lain. Baginda itu nama glamournya dan tidak ada sangkut-paut dengan keluarga diraja atau Sultan Sulu.

Inilah perangai orang Melayu tidak mahu menggunakan Glokal. Dahulu, ketika saya melepak di Universiti Malaya banyak orang bertanya - Rafidah Aziz tu anak Ungku Aziz ke? Pening kepala menjawabnya. Saya hanya menjawab – Tidak. Tidak ada pertalian di antara mereka berdua. Begitu juga Razak Baginda dan Najib Razak, mereka tidak ada pertalian langsung.

Tambah membingungkan - kenapa si Anwar Ibrahim sibuk-sibuk sangat. Ini saya tidak faham. Kerana itu saya cukup tabik kepada bakal PM saya si Najib ini bila dia dilaporkan berkata yang dia akan menjawab semua tohmahan si Anwar. Inilah wira namanya bukan Proton Saga. Saya sendiri pun sudah bosan dengan cerita si Anwar Ibrahim ini. Saya pernah terbaca tentang Anwar berceramah di Pekan.

Bayangkan berani si Anwar ini berceramah di kampung tanah tumpah darah bakal PM saya. Ciss ini sudah lebih beeb… betul-betul cari nahas. Ceramah si Anwar ini bukan tentang cerita naik ke bulan ke, cerita cari petai ke , tentang bursa saham ke tetapi tentang Cik Mek Molek dari Mongolia. Apa punya tuuur! Apa punya ceramah! Yang pelik lagi menakjubkan ialah orang-orang dari Pekan yang datang berduyun-duyun sambil melopong, ternganga dan terus percaya dengan labon Anwar. Inilah yang memeningkan kepala saya, opps.. bukan kepala saya tetapi kepala Najib, bakal PM saya.Jadi, apabila bakal PM saya si Najib Razak ini berkata bahawa dia juga ada cerita-cerita’ hot’ tentang Anwar dan akan buka cerita ini tidak lama lagi, saya betul-betul naik stim. Macam kena stim basah campur stim kering. Inilah yang telah lama saya tunggu-tunggu. Memang telah lama saya hendak tahu cerita dalaman si Anwar yang ‘hot’ ini. Bakal PM saya ini mesti ada cerita yang lebih hebat dari cerita tilam buruk.

Dalam masa yang sama, saya sebagai warga yang setia (tetapi belum daftar mengundi), akan menunggu saban saat, saban minit, saban jam, saban hari untuk mendengar pekong Anwar Ibrahim yang akan dibuka oleh bakal PM saya. Biar padan muka si Anwar Ibrahim. Bakal PM saya ini pasti akan menyaman si Anwar ini kerana kalau tidak disaman pasti si Anwar akan naik tocang. Dia akan terus berceloteh tentang Cik Mek Molek, walhal rakyat dalam negara kita ini yang telah menerima saranan Najib untuk mengubah cara hidup.

Kes pembunuhan Altantuya gadis dari Mongolia ini hanya ada satu konspirasi sahaja. Konspirasi inilah yang seharusnya kita semua pecahkan bukan sahaja di Ijok, di Pekan tetapi untuk disampaikan kepada pengetahuan umum. Konspirasi yang saya maksudkan ialah kenapa seketul daging Aminah binti Abdullah a.k.a Altantuya Shaaribu telah dikebumikan dengan sembayang cara Buddha.

Ini konspirasi besar. Tidakkah seketul daging ini akan menggugat keIslaman kita semua? Bagaimana ini terjadi? Kenapa Jawi, Jais, Abim, Pkpim, Gamis dan badan-badan Islam yang lain tidak meloncat mengambur untuk merebut seketul daging Si Aminah binti Abdullah ini?. Seketul daging inilah konspirasinya bukan tentang anak Razak. Jika ini terbukti maka akan berlakulah perubahan seperti pengundi di Ijok yang sedang bersedia untuk mengubah cara hidup dengan menggunakan Glokal.

Rakyat se Malaysia juga telah siap-siaga dengan menyingsing tangan untuk menerima Glokal saranan dari bakal PM kita semua. Cerita-cerita Cik Mek Molek adalah percubaan untuk memesongkan nafsu orang ramai untuk menjauhi Glokal. (Untuk pembaca yang tidak arif tentang Glokal, ingin saya beritahu bahawa Glokal bukan bahasa Latin. Glokal ialah jenama sabun untuk orang-orang yang berkurap dan dihinggapi panau). Sayang sekali hanya Razak Baginda tersilap, dia menyangka Glokal ialah Gadis Mongol Untuk Di bunuh Jantan Lokal.

Di mana pula tersepitnya Altantuya? Dari awal lagi laman-laman blog telah menulis bahawa Altantuya ini adalah kekasih Razak Baginda. Saya pada awalnya menganggap ini tidak betul kerana Razak Baginda ini ialah penasihat Najib yang bakal menjadi Perdana Menteri. Justeru wajiblah perangai dan tingkahlaku ‘jurufikirnya’ mencerminkan ketrampilan bossnya. Anggapan saya ini meleset.

Tiba-tiba melalui affadavit, Razak sendiri telah mengakui bahawa dia pernah ‘bertogel’ dengan Altantuya. Lihat bagaimana sahihnya tulisan dan laporan dari blog. Saya terpaksa gulung tembakau Siam kerana hormat dengan penulis blog yang terbukti lebih cekap dari Johan Jaafar, Rejal Arbee, Nazri Abdullah atau Kadir Jasin. Dalam kes ini wartawan berbentuk Rehman Rashid dan Tengku Fraud Adnan tidak akan diambilkira.Kini kes Altantuya sudah jelas, seperti terberak di padang pasir. Semua rakyat Malaysia melihat bahawa dalam kes jual beli senjata ini Cik Mek Mongolia ini ada memainkan peranan. Setidak-tidaknya mengurut-urut batang tubuh Razak Baginda setelah Razak berbuih-buih mulut bertengkar tawar-menawar dengan peniaga komunis Rusia dan peniaga kafir Perancis yang tidak mahu menurunkan harga peluru.

Bayangkan jika tidak ada Altantuya ini siapakah agaknya yang akan mententeramkan Razak Baginda semasa tawar-menawar di Paris atau di Moscow. Inilah contoh yang di war-warkan oleh Najib sebagai Melayu Unggul dan Melayu Glokal. Pastilah ‘juru fikir’ yang bernama Razak Baginda ini lebih cekap lagi bijak dari jeneral-jeneral kita yang terdidik di Sandhurst atau di West Point. Kalau tidak pasti urus jual beli senjata akan dilakukan oleh para jeneral?

Di sini saya ingin mengingatkan orang Melayu yang mudah lupa tentang pertanyaan seorang Bengali yang bernama Karpal Singh di Parlimen. Bengali ini telah bertanya, kenapa Altantuya sesudah ditembak mati badannya dibom? Adakah ini untuk memusnahkan anak dalam kandungannya. Soalan Bengali tanpa serban ini agak masuk akal tetapi berita ini tidak pula diusik oleh media berlesen.

Labun bicara Hishamuddin Rais menjadi semakin menarik dalam mengupas kecelaruan pemimpin berhubung isu ekonomi dimana menurutnya untuk pertama kalinya jual-beli di Malaysia telah melintasi angka 1 trillion ringgit. Kita juga telah membaca bagaimana bursa saham kita telah meledak naik ke tahap yang paling tinggi semenjak 10 tahun ini. Semua ini kita baca, kita dengar dan kita tonton dari media arus perdana. Tetapi umum dan orang ramai TIDAK percaya dan TIDAK yakin terhadap data-data yang dipaparkan.Ketidakyakinan orang ramai ini telah memaksa Perdana Menteri berulang kali mengatakan bahawa angka-angka dan data pertumbuhan ekonomi ini semuanya sahih dan bukan direka-reka. Timbalan PM juga terpaksa mengeluarkan kenyataan yang berbunyi sama. Tidak cukup dengan ini sebuah akhbar mingguan Melayu telah menemubual Menteri Kewangan ke-2 untuk menegaskan kepada umum bahawa negara kita banyak duit dan angka-angka yang baru dikeluarkan itu adalah petunjuk bahawa negara kita dalam kemakmuran.

Rakyat bukan ingin melihat kesahihan angka dan data pertumbuhan ekonomi tersebut. tetapi untuk memahami kenapa orang ramai tidak yakin terhadap berita-berita tersebut. Politik sebenarnya adalah persepsi orang ramai terhadap apa yang sedang berlaku. Persepsi ialah pandangan dan pendapat orang ramai terhadap sesuatu kejadian. Politik bukan membawa hakikat kebenaran. Persepsi politik seseorang bergantung kepada kesedaaran sosial dan pengalaman yang lalu. Pengalaman adalah salah satu dari punca ilmu pengetahuan selain dari membaca dan membuat kajian ilmiah.

Kalau di zaman kerajaan Melaka si penyampai maklumat ialah tukang canang yang datang dari istana. Semua berita istana akan dicanangkan dan dihebohkan kepada orang kampung. Kemudian berita ini akan berjalan dari mulut ke mulut. Apabila tulisan muncul maka berita dan kenyataan rasmi dari pemerintah akan disampaikan melalui iklan atau papan tanda. Apabila modeniti sampai ianya membawa tukang canang baru – media –akhbar, radio atau tv.

Jika diperhatikan maka telah jelas kelihatan bahawa asas saluran berita dan maklumat – yang lama dan yang baru - telah sedia wujud dalam kerangka masyarakat kita. Dalam keadaan ceteris paribus (semuanya tidak berubah) maka kerajaan/raja/pemerintah tidak akan menghadapi masalah dalam menyampaikan maklumat atau berita kepada orang ramai/rakyat/orang bawahan atau sesiapa sahaja. Tetapi modeniti juga melahirkan hukum-hukum dan syarat-syarat baru.

Hukum dan syarat-syarat baru inilah yang telah menjerat kerajaan Malaysia hari ini. Saluran media dan berita yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kini telah tidak diyakini lagi. Ini sebenarnya satu krisis. Atau lebih tepat lagi satu barah yang sedang dihadapi oleh pentadbiran kerajaan Abdullah Badawi. Barah hilang keyakinan ini bukan datang dengan sekelip mata. “Barah” hilang keyakinan ini muncul kerana keadaan dan iklim media dalam negara.

Orang ramai tahu bahawa media – akhbar, radio dan tv – dalam negara kita ini dimiliki oleh kerajaan yang sedia ada. Jika pun ada akhbar yang cuba bergerak bebas hasilnya gagal kerana setahun sekali akhbar ini akan dipaksa memohon lesen sebelum dibenarkan mencetak. Stesen radio dan tv adalah mustahil untuk dimiliki oleh individu atau syarikat yang tidak rapat atau tidak menyokong kerajaan yang sedia ada.

Pekara ini telah berlaku begitu lama sekali. Sedikit demi sedikit orang ramai kian sedar bahawa apa yang mereka baca, dengar dan pandang hanyalah propaganda atau berita-berita yang telah ditapis, disaring dengan rapi sekali. Berita dan pandangan yang bercanggah, menyerang atau kritikal terhadap kerajaan yang sedia ada tidak akan mendapat liputan.

Untuk sekian lama hegemoni kerajaan ke atas berita/maklumat ini telah berlaku dan orang ramai terpaksa menerimanya tanpa ada pilihan. Ketidakpuasan hati orang ramai terhadap media tidak dapat diarahkan. Orang ramai memendam rasa kerana dipaksa menerima gula pahit yang mereka tahu tidak memiliki apa-apa nilai. Inilah iklim yang sedang dihadapi oleh media penyampai berita yang selama ini hanya menghebohkan satu pandangan sahaja.

Sebenarnya bukan semua laman internet dan blog yang mengeluarkan berita boleh dipertanggung jawabkan. Malah bukan semua mengeluarkan berita atau laporan yang sahih. Kalau diperhatikan dengan teliti maka kita akan membaca banyak blog dan laman-laman internet hanya memaparkan bebelan dan labon-labon kosong dari tuan empunya. Kebanyakan blog hanya memangkah kenyataan rasmi kerajaan tanpa memaparkan berita asli yang mereka munculkan dengan kaji selidik yang rapi.

Dengan keadaan yang sedemikian pun blog dan laman-laman internet masih lebih diyakini laporannya berbanding dengan laporan rasmi media arus perdana. Ini terjadi kerana kongkongan dan tekanan ke atas media kita telah menjadikan media arus perdana hilang kewibawaan. Hari ini tahap kredibiliti media arus perdana kita cukup rendah. Ini tidak pula dibantu pula oleh kualiti laporan dan kualiti tulisan yang kong kalikong.

Apabila Perdana Menteri bersuara “Apa lagi yang rakyat hendak?” ketika data-data pertumbuhan ekonomi negara terus tidak diyakini maka episod ini jelas menunjukkan barah hilang keyakinan warga terhadap laporan kerajaan telah merebak luas. Begitu juga dalam kes Ezam dan Azmin. Telah wujud persepsi. apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari Sungai Buloh, ramai ‘orang-orang kuat’ PKR yang ingin meletakkan diri mereka sedekat yang boleh dengan Anwar Ibrahim. Justeru, berduyun-duyun si Mamat-Mamat ini terbang ke Munich. Mereka ingin dikenali rapat oleh si Anwar Ibrahim.

Kita terlihat gambar-gambar pelbagai bentuk ‘orang-orang kuat’ PKR tercegat senyum menghadapi kamera di sebelah katil Anwar Ibrahim. Persepsi politik ketika itu ialah sesiapa yang telah sampai ke Munich akan dianggap sebagai ‘orang dalam’ yang dapat tiket untuk ‘parking’ kereta mereka sehampir mungkin dengan kereta sorong Anwar Ibrahim.Hari ini ramai ‘orang-orang kuat’ PKR yang telah pergi ke Munich itu telah pencen. Bukan kerana mereka salah ‘parking’ tetapi mereka salah baca politik. Dalam perhitungan mereka, apabila Anwar Ibrahim bebas dari Sungai Buloh, maka si Anwar Ibrahim ini akan menjadi Perdana Menteri. “

Biar saya nyatakan di sini ketika Anwar dalam penjara dahulu ada orang-orang kuat ini yang menyatakan kepada saya bahawa Anwar Ibrahim ini ada ‘magic politik’. Justeru apabila Anwar bebas, maka politik akan berubah. Ini bukan persepsi politik tapi sebuah cerita dongeng. Kesah ini diteruskan lagi. Bab kedua disambung apabila PKR telah bergabung dan mula mengenap untuk mantap.

Ketika ini timbul pula agenda untuk menjadi ‘pemimpin’. ramai ‘orang-orang kuat’ ini, entah dari pelusuk mana datangnya tup tup ingin hendak menjadi pemimpin. Dengan ‘parking’ di sebelah kereta sorong Anwar, pada persepsi mereka, mereka adalah pemimpin dan perlu menjadi YB. Kali ini timbul pula satu lagi kes ‘parking’. Ceritanya begini: Selalu kita dengar bahawa Anwar Ibrahim ini akan masuk kembali ke dalam United Malay National Organisations. Atau hanya dengan ‘rujuk’ kepada parti ini maka barulah peluang si Anwar untuk menjadi PM akan termakbul. Ini juga persepsi.Untuk meledakkan persepsi ini dan membuktikan kepada umum bahawa Anwar tidak gila talak maka Anwar wajib memimpin PKR dan bukan hanya menjadi penasihat. Bila ini hendak dilakukan maka banyak ‘kereta-kereta’ Mercedes, Jaguar, Volvo, Bently, Wira mula beralih-alih untuk ‘reparking’ sekali lagi. Kereta Kancil, Proton Saga, Kelisa perlu diketepikan sedikit. Cap chai, basikal dan pejalan kaki yang dahulunya barisan depan ketika berdemo wajib memberi laluan.

Maka dari sini timbullah kasus (istilah Mat Indon) Ezam dan Azmin. Kesnya ialah untuk mencari tempat parking kereta-kereta siapa yang lebih hampir dengan kereta sorong Anwar Ibrahim.Saya kenal baik dengan Ezam dan Azmin. Kalau tidak ada gerakan Reformasi tidak mungkin saya mengenali mereka berdua secara peribadi. Malah pertama kali saya mengenali Azmin ialah di rumah pasong Jalan Stadium. Kami ditangkap. Esoknya saya diberitahu ada gambar saya dan Azmin yang sedang bergari di muka hadapan Utusan Malaysia. Kami masuk lokap selama satu minggu atas tuduhan berkumpul di Masjid Negara apabila Anwar di racun.

Ketika perbicaraan kes Anwar diracun dijalankan, saya selalu bersembang dengan Azmin. Anak muda lulusan Ilmu Hisab dari Amerika ini cukup teratur gerak kerjanya. Dia memiliki gerak kerja yang rapi mungkin hasil latihan dalam disiplin ilmu matematik yang memerlukan pemikiran yang teratur. Pernah satu ketika dia mengambil alamat rumah saya dan beberapa bulan kemudian saya menerima kad selamat hari raya. Episod ini meyakinkan saya bahawa Azmin memiliki pendekatan kerja yang tersusun. Pengurusan Azmin rapi, untuk saya pengurusan rapi ini adalah satu jalur kekuatan berorganisasi.Ezam pula saya kenali kali pertama di Jelebu, di daerah kampung saya. Ketika itu dia berceramah di pekan Simpang Durian. Ini zaman awalan sebelum ombak Reformasi menggunung. Ketika itu Ezam baru pulang dari Indonesia. Saya hanya menebeng mendengar sebagai orang Jelebu tetapi selesai ceramah saya dijemput minum teh bersama rombongan Ezam.

Di Kamunting, saya mengenali lebih rapat manusia yang bernama Ezam Mat Nor. Jiwanya keras dan berani. Pidatonya lunak dan membakar semangat. Anak-anak muda para demonstran akan terpesona dengan pidato Ezam. Malah ketika disoal siasat di bawah ISA, cara pidato Ezam ini ditimbulkan kerana pidatonya dianggap ‘terlalu membakar’. Susuk anak muda Ezam dilihat sebagai pengkristelan gerakan rakyat di jalan raya yang saya amat senang sekali.

Ezam dan Azmin ini memiliki kekuatan dan ketrampilan yang berbeza-beza. Bayangkan jika kedua-dua susuk ini berganding dan saling isi mengisi pasti PKR akan menjadi lebih unggul. Maka di sinilah saya lihat mereka berdua ini kurang arif dalam bacaan politik. Untuk saya, mereka ini seperti gajah yang memiliki kekuataan tetapi kerana telinga terlalu besar maka si gajah gagal melihat badannya yang berkudrat. Lalu gajah-gajah ini bertandak ke hulu ke hilir sehinggakan rosak tanaman-tanaman subur yang baru membesar.

Saya berharap Ezam dan Azmin tidak memiliki persepsi bahawa esok atau lusa Anwar Ibrahim akan menjadi PM. Jika ini persepsi politik mereka atau persepsi sesiapa sahaja yang ingin ‘parking’ dekat kereta sorong Anwar Ibrahim, maka saya begitu yakin mereka akan mendapat rentapan elektrik yang mengejutkan. Pada ketika ini, dalam suasana struktur politik yang sedia wujud hari ini, dalam gelanggang pilihan raya yang wujud pada hari ini, adalah MUSTAHIL untuk sesiapa pun dapat mengalahkan Barisan Nasional.

Ini bukan persepsi. Ini hakikat politik. Magic politik yang dimilki oleh Anwar Ibrahim tidak akan mujarab jika PKR tidak tersusun seperti rapinya Azmin Ali menyusun dairi hariannya. Gerakan rakyat juga akan terbantut jika suara dan tenaga Ezam tidak di jalan raya tetapi sibuk menangkis tuduhan itu dan ini. Malah ada kemungkin jika gelagat ‘ parking dan reparking’ ini berterusan maka kerusi PKR yang satu di Permatang Pauh itu pun akan lenyap. Ini adalah persepsi orang ramai. Persepsi politik orang ramai ini penting kerana merekalah yang akan memangkah undi.

Siapa betul siapa salah tidak timbul dalam persepsi politik. Dalam kes Ezam dan Azmin ini, saya hanya berharap kebosanan rakyat untuk berparti tidak sampai ke tahap diri saya. ‘Kureng’ saya pada ketika ini telah sampai ke tangga bosan dan meluat dengan orang yang bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat tetapi TIDAK pernah menyusun rakyat.
Begitulah labun serta gambaran kecelaruan berpolitik di kalangan pemimpin Melayu yang berbohong serta melakukan putar belit dan penipuan.Bagaimanapun agak menarik juga dicatatkan di sini kegusaran Hishamuddin Rais berhubung usaha menghakiskan budaya serta menumudkan pemikiran Melayu.


Menurutnya ketika di sekolah rendah dahulu keluarganya melanggan sebuah akhbar harian Melayu dalam tulisan jawi. Pada masa itu penjajah British baru tiga tahun meninggalkan pentadbiran Tanah Melayu. Dunia ilmu pengetahun hanya berasaskan akhbar jawi dan menganggap akhbar sebagai pembuka fikrah terhadap dunia luar.Pernah tersiar di akhbar tersebut berita buah kelapa mengeluarkan suara. Kelapa bersuara ini berlaku di Mantin. Setiap hari akhbar jawi ini melaporkan berita ‘pelik’ buah kelapa boleh bersuara. Ketika itu usianya baru 8 tahun telah mengikuti setiap hari laporan tersebut dengan khusyuk. Lebih dari satu bulan berita kelapa bersuara ini digembar-gemburkan oleh akhbar ini. Sebagai anak kecil dia begitu yakin terhadap kejadian ini.

Malah cerita kelapa ada suara ini telah tersebar ke seluruh negara. Ianya menjadi bahan borak di kedai-kedai kopi atau ketika keramaian kenduri kahwin. Bila orang ramai bercerita ada sahaja tokok tambahnya. Ini kerana pada ketika itu akhbar jawi ini memiliki monopoli untuk para pembaca yang belum terdidik dalam tulisan rumi atau bahasa Inggeris.Pada satu hari tersiar berita kelapa ajaib itu telah terhempas dan pecah berderai maka tamatlah cerita buah kelapa ini. Tidak berapa lama kemudian timbul pula cerita baru dari akhbar harian yang sama. Kali ini ada seorang gembala lembu yang telah bertemu mata air ajaib di tepi landasan keretapi.

Berita dari akhbar ini telah membawa gempar ke seluruh tanah air. Orang ramai menjadi heboh. Mengikut laporan akhbar ini si gembala telah bermimpi tentang mata air. Melalui mimpinya si gembala telah ditunjukkan di mana akan ditemui mata air ajaib. Ketika itu, walaupun Hishamuddin Rais belum membaca Socrates, Plato atau Ibnu Rushd tetapi beliau telah mula merasa was-was tentang mata air ajaib itu.

Tetapi umum terus mempercayai berita ini. Malah saya pernah melihat gambar di akhbar yang menunjukkan orang ramai berbaris membawa botol dan baldi untuk mengambil air yang dikatakan boleh mengubati pelbagai jenis penyakit. Akhbar harian jawi ini setiap hari membawa laporan tentang mata air ajaib dari beberapa sudut kewartawanan. Orang ramai ditemubual. Ada laporan susulan. Ada berita orang yang telah sembuh penyakit hasil dari meminum air ini.

Hampir satu bulan lebih berita ini bermain di akhbar ini. Tiba-tiba pada satu petang beliau terbaca bahawa pihak Kereta Api Tanah Melayu telah melarang orang ramai dari datang ke tepi landasan ini. Keretapi yang lalu di kawasan itu telah terganggu oleh orang ramai malah ada kemungkinan akan berlaku kemalangan di landasan kereta api. Berita mata air keramat ini dengan serta-merta padam.

Kemudian dari akhbar yang sama tentang bagaimana seorang lelaki dari Kota Tinggi melalui mimpi telah berubah menjadi perempuan. Berita ini bermain di akhbar tersebut untuk beberapa minggu. Gambar purtan ( perempuan jantan) tersebut ada disiarkan di muka hadapan dalam keadaan agak menarik, malah pengarah Jamil Sulung telah tertarik hati untuk melamar si purtan ini untuk menjadi pelakon di Shaw Brothers.

Kali ini seorang doktor telah menawarkan diri untuk menemui si purtan. Apabila diselidiki maka didapati bahawa si purtan memiliki senjata lelaki sama seperti jantan-jantan lain. Malah ianya tidak pula bercabang untuk menjadi satu berita yang pelik. Bila suara doktor dilaporkan, berita purtan hilang dari laporan akhbar. Keadaan tersebut berlaku lebih dari 40 tahun dahulu.

Inilah dunia Melayu pada awal 50-an dan 60-an dahulu yang dirakamkan oleh media arus perdana Melayu yang memiliki ‘tagline’ sebagai penjana fikiran Melayu. Semua ini berita sahih yang masih boleh diselidiki di Arkib Negara jika kurang yakin dengan apa yang ditulis olehnya.

Persoalannya hari ini apakah dunia media Melayu telah berubah pada tahun 2007? Memang ia telah berubah jauh. Waspada, bukan berubah untuk menjadi lebih rasional, berilmu dan saintifik tetapi telah berubah untuk merosot. Kalau pada tahun 1959, berita buah kelapa boleh bercakap tahun 2007 pula memaparkan berita anak gadis di Melaka boleh mengeluarkan kaca permata dari ibu jari kakinya.

Tidak cukup dengan kaca dari kaki, timbul pula berita susulan bagaimana seorang gadis di Alor Star dapat meneran keluar dari lubung kemaluan belakangnya emas dan permata. Bila terbaca berita itu beliau terus memasuki laman web pasaran logam dunia untuk memerhatikan sama ada nilai intan berlian telah jatuh menjunam hasil dari teranan berak gadis dari Alor Star ini.

Dalam masa yang sama beliau menjadi gerun malah bersimpati terhadap gadis dari Alor Star yang boleh mengeluarkan intan dan berlian dari dalam perutnya. Takut jika gadis ini selalu meneran pasti berkilo-kilo intan akan keluar dan bakal menganggu pasaran intan dunia. Jika ini berlaku apakah mungkin De Beers pemilik perniagaan intan terbesar dalam dunia akan menghantar ejennya untuk memusnahkan “lubang” yang menjadi punca pengeluran intan di Alor Star ini.

Laporan berita-berita sebegini adalah kenyataan tentang bagaimana telah merosotnya fikrah Melayu. Kemerosotan fikrah ini sedang dijana pula oleh para wartawan Melayu yang tidak memiliki ilmu pengetahuan asas tentang etika kewartawanan. Apakah laporan yang mereka tulis itu ilmiah dan dapat dibuktikan di bilik makmal. Apakah kaca dari kaki gadis ini hanya nanah yang telah berketul seperti punat bisul. Jika betul ianya kaca apa pula kombinasi kimia kaca ini. Semua ini boleh dikaji selidik, malah fakulti sains Universiti Sintok pun berkeupayaan untuk membuat kajian.

Memang ada percubaan doktor untuk menyiasat tetapi gagal. Si gadis telah ditempatkan di hospital tetapi melarikan diri dari hospital. Tidak ada pula susulan laporan berita kenapa dia lari dari hospital. Tidak juga ada laporan pandangan pihak berwajib hospital tentang pesakitnya yang telah lari. Semua ini adalah asas etika kewartawanan yang semakin pupus dalam dunia media Melayu.

Sila ambil perhatian, berita-berita tahyul yang tidak berlandaskan di bumi yang nyata ini bukan laporan akhbar mingguan tabloid yang selalu menyiarkan berita – Artis Wanita Berkahwin Dengan Ular atau Pak Haji Nampak UFO. Semua laporan yang dibaca olehnya dari akhbar nasional Melayu dalam tulisan rumi. Akhbar-akhbar ini semuanya memiliki ‘tagline’ yang gah lagi menggerunkan - Ilmu dan Maklumat atau Meneruskan Perjuangan Membawa Harapan.

Pada hemat beliau kemerosotan fikrah Melayu ini sebahagiannya memang dirancang. Sebahagian lagi timbul akibat suasana budaya keilmuan yang semakin merosot. Perancangan ini dilakukan secara berencana untuk memesong fikrah Melayu agar terus bengap. Otak dan fikrah yang bengap pasti tidak akan berupaya untuk menilai dan membuat perhitungan tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Si pemilik otak yang bengap amat senang untuk di cucuk dan ditarik hidung mereka.

Perancangan untuk memalapkan fikrah Melayu ini dapat dibuktikan jika kita dengan teliti mengikuti berita-berita dari akhbar Melayu dan Cina. Kenapa tidak dilakukan satu kajian bagaimana dua pelajar sekolah menengah - Melayu dan Cina - kemudian mereka dikurung selama tiga bulan.

Pelajar Melayu hanya diberi akhbar Melayu dan pelajar Cina hanya disediakan akhbar Mandarin. Sesudah tiga bulan adalah diyakini pelajar Cina tersebut akan memiliki lebih ilmu pengetahun hasil dari membaca akhbar Mandarin berbanding dengan pelajar Melayu yang membaca akhbar Melayu.

Asas eksperimen yang diangankan olehnya hasil pengalaman ketika di Kamunting. Dalam tahanan untuk memalapkan fikrah dirinya hanya diberi Utusan Malaysia manakala Tian Chua mendapat akhbar Mandarin. Saban hari beliau membuat perbandingan antara akbar Melayu dan Cina melalui tajuk berita dan rencana-rencana yang ditulis. Jelas kelihatan akhbar Mandarin lebih luas ruang laporannya berbanding dengan akhbar Melayu.

Kegelapan fikrah Melayu yang bonsai ini rasanya akan berterusan kerana masih belum nampak akan munculnya pencerahan untuk menggilap fikrah Melayu. Malah beliau bertambah pesimis kerana di zaman kanak-kanaknya dahulu dahulu berita kelapa boleh bersuara menjadi berita penting dan setelah beralih alaf 2007 masih lagi tersiar berita kaca permata keluar dari ibu jari kaki dan emas intan berlian keluar dari punggung.

1 comment:

A Voice said...

Sedutan dari posting blog saya Cerita dan Mentera Semerah Padi: Seniman Agong dan Pelakun Palsu

Semasa memandu pulang malam tadi, hati tidak tenteram.

....Adakah antara mereka tahu menyesal seperti Aduka? Sanggupkah bertaubat dan merelakan hukuman? Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran dan jiwa ku.

Borek dengan kuncu-kuncunya sudah menghuru-harakan negara. Kita bertelanggah perkara remeh hingga lupa dan lalai ancaman yang sudah menjelma. Musuh sudah di dalam pagar!

Tanahair dilanggar "todak"! Dimanakah kau "Hang Nadim"? Sanggupkah anak muda kehadapan, walaupun kamu mungkin terkorban atas pengorbananmu?

Keluarlah "Mat Kilau" dari sembunyian! Berani lagikah "Tok Janggut", walaupun berakhir di tali gantung? "Si Bongkok", jangan semangat mu hanya ingatan dalam "tajuk"!

Radio kereta ku tidak memainkan lagu negeri ku untuk meredakan "fikiran terganggu" dan mengingatkan kesetiaan kepada raja dan negara. Semacam dirancang, "Mentera Semerah Padi" yang berkumandang. Ku kuatkan suaranya ...