Tuesday, 8 May 2007

"MAHATHIR" ADA HUTANG YANG BELUM SELESAI



SEBAGAI negarawan terbilang mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad tidak seharusnya membenarkan musim persaraannya berserabut dengan agenda “membedal” dan “membelasah” penggantinya pada setiap pertemuan atau majlis diskusi politik.

Situasi tersebut tentulah dilihat kurang manis dan boleh mengundang persepsi rakyat beranggapan dirinya “gila talak” atau masih bercita-cita untuk kembali memegang tampok pemerintahan. Tidak kurang juga merasakan beliau mengalami “sindrom sepi” kesan kehilangan kuasa seperti yang pernah dikatakan oleh Musa Hitam satu ketika dahulu.

Rakyat merasakan Mahathir seperti ada hutang yang belum tertebus serta dicengkam dilema melihat legasi wawasannya cuba dihapuskan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Atau mungkin ada dendam di hati yang masih terbuku tidak terlangsai. Pelbagai tanggapan dan pertanyaan menerpa di petak fikiran bila mentafsir beberapa siri ucapannya di majlis-majlis ceramah atau forum politik.

Apakah tindakan tersebut sebagai melampiaskan amarah serta keducitaannya terhadap tindakan Abdullah Ahmad Badawi membebaskan Anwar Ibrahim dari tahanan Sungai Buloh yang dirasakan bakal menyusahkan diri Dr. Mahathir secara peribadi mahupun keluarganya. Dendam Anwar Ibrahim amat membara atas keyakinan dirinya menjadi mangsa “konsiprasi tertinggi” hingga terhumban kepenjara Sungai Buloh serta “dibunuh peribadi” melalui pendedahan 50 dalil.

Masih belum reda lagikah kemarahan serta perbalahan antaranya dengan mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang dikatakan menghancur luluhkan hatinya kerana ada dakwaan perbalahan tersebut tercetus di saat kegawatan ekonomi negara merudum lantas melumpuhkan tempat anak-anaknya “mencari makan”?

Semua tahu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi merupakan pilihan Mahathir yang diangkat selepas Anwar Ibrahim dibelasah dalam sel Bukit Aman serta terpenjara di Sungai Buloh. Bukankah Abdullah diyakini sebagai “Mr. Clean” atau orang bersih dan dikira paling sesuai untuk membersihkan setiap lumpur-lumpur period penguasaannya di Seri Perdana.

Abdullah Ahmad Badawi seringkali ditatang sebagai pengganti mampu menyelamatkan bangsa Melayu untuk tidak dijajah oleh kuasa asing lebih-lebih lagi Singapura kerana cukup bersih. Hingga saat ini pun beliau tidak pula bersikap “kurang sopan” menyanggah “boss” lamanya.

Atau adakah Dr. Mahathir sememangnya mahu Abdullah Ahmad Badawi menjadi sebagai pengganti supaya mudah “dibelasah” dan “dibalun” semahu mungkin kerana sebagai cucu ulamak yang ariff dalam soal halal haram serta tidak akan melawan “taukeh” disamping lebih suka berdiam diri untuk mengadun mimpi dalam tidur lena tanpa mahu memikirkan sebarang bentuk perbalahan.

Ada juga mengatakan di saat mahu meninggalkan Seri Perdana Dr. Mahathir telah dipaksa oleh kalangan teman-teman terdekat dan orang kepercayaannya supaya segera berundur serta menyerahkan kuasa tersebut kepada Abdullah Ahmad Badawi. Dalam keterpaksaan dirinya disingkir secara terhormat menjadikan ada dendam di hati negarawan terbilang itu.

Biar apa pun yang pasti Dr. Mahathir tetap merasakan “ada agenda yang belum selesai” kerana dia cukup yakin “Melayu mudah lupa” dan di sebalik penggundurannya penghujung tahun 2003 beliau menyedari ujud “dilema” mencengkam parti UMNO payung terpenting melindungi bangsa Melayu.

Dirinya sedar sejak menerajui parti keramat itu “parisit politik” dan “anai-anai” sudah lama bersarang hingga tidak termampu untuk mengubah budaya paling jelik sedang memerangkap parti tersebut berada di ambang kehancuran.

Budaya korupsi, ampu mengampu, caci mencaci, baling batu sembunyi tangan, cakap tidak serupa bikin, politik wang dan pelbagai penipuan dalam pertandingan merebut jawatan telah lama bersarang. Lebih malang lagi bila terdapat kalangan pemimpin sanggup menjadi petualang bangsa serta pengkhianat negara bagai “jembalang hantu raya tidak bertuan”.

UMNO di ibaratkan seperti sebuah peti emas disaluti permata berlian telah dipenuhi pekong, nanah, kala jengking, biawak dan najis cukup busuk lagi membusukkan (meminjam ungkapan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad lewat buku Shit) perlu segera dibersihkan agar ketulinan mutu nilainya tetap unggul. Impian Wira Dunia Ketiga itu adalah melakukan pembersihan secara total supaya setiap yang busuk lagi membusukkan dapat segera dinyah keluar dari rumah keramat UMNO.

Mungkin itulah yang sedang dilakukan oleh Dr. Mahthir Mohamad kerana menurut petua bijak pandai jika mahu mencuci tong najis seseorang itu perlu berada di luar kerana kalau masuk kedalam tong itu pasti najis dan kekotoran yang terdapat di dalamnya akan terpalit kepada tubuh badan.

Seandainya Dr. Mahathir mahu melakukan pembersihan dalam operasi menyelamatkan rumah UMNO demi ketuanan bangsa Melayu sememangnya calon paling sesuai menggantikan diri nya sebagai Presiden dan Perdana Menteri adalah Abdullah Ahmad Badawi kerana dikenali sebagai “Mr. Clean” atau orang bersih yang mudah dibersihkan.

Sejauh mana benar hasrat tersebut agak sukar untuk ditafsir. Namun tidak mungkinkah Dr. Mahathir membelasah dan membalun kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi kerana merasa telah dikhianati oleh Daim Zainuddin yang lebih selesa serta sering berada disisi Perdana Menteri Abdullah sebagai penasihat ekonomi? Atau cemburu melihat setia Daim terhadap Abdullah Ahmad Badawi melebihi dirinya bergelar pemimpin agung.

Period Dr. Mahathir menyaksikan Daim Zainuddin sekadar Menteri Kewangan dan kapitan orang koprat, sementara itu pasca pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi kedudukan empayar Daim lebih kukuh dan semakin bersih dari menanggung beban hutang berbillion ringgit. Situasi tersebut mengundang rasa cemburu dan amarahnya semakin menjadi-jadi lantas “membalun” Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi semahu-mahunya.

Tanda tanya menjelma lagi bila tindakan membalun oleh Dr. Mahathir dikatakan berpunca kehadiran Musa Hitam sebagai penasihat pembangunan Wilayah Iskandar yang dilihat seperti mahu menyaingi kehebatan legasi Putrajaya.

Musa Hitam merupakan musuh paling utama era kepimpinannya kerana sering “membuat kacau” melepaskan ayam tambatan bernama Shahrir Abdul Samad yang mengkritik dan menghayun pelbagai karenah cukup memeningkan fikirannya. Malahan gara-gara perbalahan dengan Musa mengakibatkan Tengku Razaleigh Hamzah berani mencabarnya hingga berada di tahap “nyawa-nyawa ikan” mengelupur mencari nafas.

Karenah Musa Hitam terlalu sukar dikawal kerana anak Pak Hitam dari negeri Johor itu tidak seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang boleh diperkotak katikkan olehnya. Walaupun Putera Istana Kelantan itu cukup berpengaruh dan mampu menumbangkannya tetapi “budaya istana” menjadikannya lebih mudah diajak berunding untuk digula-gulakan.

Ekoran dari itulah Dr. Mahathir sejak akhir-akhir ini lebih banyak meluangkan masa berbicara di pentas politik sambil sesekali mengundang Tengku Razalegih Hamzah berada di sisi untuk terus membelasah Abdullah Ahmad Badawi. Kalangan terdekat kedua-dua pemimpin tersohor itu merasakan seperti ada hutang yang belum dilangsaikan olehnya terhadap anak raja Kelantan negeri “Serambi kota Mekah”.

Mengimbau perjalanan politiknya sebelum dilantik oleh Allahyarham Tun Hussien Onn dahulu Tengku Razaleigh Hamzah merupakan orang kuat dan penyokongnya supaya dipilih sebagai calon Timbalan Perdana Menteri mengakibatkan Tan Sri Ghazali Shafie tersingkir serta merajuknya Tun Gahafar Baba lantas meletak jawatan dari kabinet Hussien Onn.

Terdapat cakap-cakap mengatakan ada perjanjian telah dikhianati oleh Dr. Mahathir hingga meminggirkan Tengku Razaleigh Hamzah dari teraju kepimpinan UMNO selama lebih 20 tahun. Tidak kurang juga mengatakan musim pertandingan jawatan Presiden UMNO 1987 ujud unsur “silap mata” oleh juak-juak Dr. Mahathir hingga parti tersebut diharamkan mahkamah mengekalkan dirinya sebagai pemimpin nombor wahid menerajui UMNO tanpa sebarang ganggu gugat dari Tengku Razaleigh.

Sejauh mana benar persoalan tersebut sukar untuk dijawab. Hanya Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang menyimpan seribu rahsia sesama mereka. Kerana itulah sudah sampai masanya Dr. Mahathir menebus dosa silamnya terhadap Tengku Razaleigh Hamzah sekali gus membersihkan rumah UMNO untuk tidak lagi dihuni oleh kalangan parasit dan anai-anai politik.

Keyakinan kalangan penganalisa politik berhubung persoalan tersebut diperkukuhkan dengan bukti nyata di mana sepanjang musim pemerintahan Dr. Mahathir seringkali orang nombor dua selaku Timbalannya berhadapan pelbagai masalah dan berakhir dengan sengketa.

Kerana “ketulahan” melanggar janji terhadap Putera Istana mengakibatkan kesemua Timbalan Dr. Mahathir berhadapan seribu satu macam masalah. Bermula dari Musa Hitam yang dilihat begitu intim menerajui Negara atas nama kerajaan 2M berakhir dengan perbalahan dan sengketa berpanjangan.

Ranum kemesraan persahabatan Mahathir-Musa bertukar menjadi kusut masai serta kusam tanpa ada lagi rasa hormat antara satu sama lain sedangkan umum mengetahui Musa Hitam merupakan pilihannya diangkat sebagai orang nombor dua.

Allahyarham Tun Ghafar yang dibawa masuk oleh Dr. Mahathir pada tahun 1986 menggantikan tempat Musa Hitam yang merajuk membawa lara hati ke Davos walau pun kurang memeningkan fikirannya namun “pemimpin dari desa” yang pernah memungut bola golf kaum penjajah terus kempunan jawatan Perdana Menteri dan berjauh hati terhadap sikap Dr. Mahathir menjadikan Anwar Ibrahim sebagai “anak emas”.

Gerhana politik di perkampungan UMNO tercetus bila seorang insan jujur berlatar belakangkan “pemimpin desa” tersingkir dari jawatan Timbalan Presiden gara-gara keghairahan anak emas untuk segera mendaki tangga ke Seri Perdana. Tun Ghafar mengalami nasib malang berundur kerana terpaksa setelah tidak dipertahankan oleh Dr. Mahathir untuk berlagu sepi “bagai melukut ditepi gantang, dipanggil datang dinyah pergi, ada tidak menambah segantang tiada pula tidak mengurangkan”. Begitulah yang terjadi.

Menambah yakin ujudnya “ketulahan” mengkhianati perjanjian dan menyinggung “daulat” anak Raja Kelantan menyaksikan gelora ganas melanda bahtera Umno apabila mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tersingkir dalam keadaan cukup mengaibkan.

Sudahlah dikeronyok sehingga lebam sebelah mata, malahan dunia turut terpempan bila tercetus berita pemimpin Melayu yang beragama Islam dituduh melakukan hubungan seksual di luar tabie atau melakukan “homoseksual”. Cukup memalukan dan teramat sukar dipercayai.

Turun naik tilam dan cadar dari Tivolli Villa kemahkamah agung begitu melucukan tapi amat mengaibkan. Seorang gadis bernama Mastura berasal dari Kuala Terengganu diburu resah dalam suram senja gelisah melihat pemimpin “idolanya” menghadapi tuduhan melakukan liwat dan dibelasah sedemikian rupa. Satu ketika dahulu dirinya menaruh pengaharapan sebegitu tinggi serta “kecintaan mendalam”terhadap pemimpin pujaan hati terhukum sebegitu rupa.

Sengketa Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir menjadikan seluruh dunia tertumpu penuh minat unuk mengetahui bagaimanakah akhirnya pertarungan antara seorang bapa dengan “anak emasnya”.Rakyat turut terseret menaruh simpati terhadap kedua mereka. Kalangan penyokong Anwar lebih rela dibelasah kayu belantan serta semburan air pemedih mata demi perjuangan membela pemimpin idola melalui demonstrasi jalanan.

Berbakul-bakul sumpah seranah dihamburkan terhadap Dr. Mahathir teriring dalam deraian air mata simpati. Ramai juga terpaksa berehat dan bercuti panjang di Universiti Kemunting, tidak kurang terpaksa “angkat bungkus” lari keluar negara diburu ketakutan disiasat serta terhumban di sebalik tabir jeriji besi.

Situasi gawat menangani pemecatan Anwar Ibrahim menjadi semakin parah bila ekonomi negara terus merudum mengakibatkan hampir sahaja Dr. Mahathir berputus asa untuk meneruskan keyakinan “menghadapi cabaran”. Tambah menusuk sanubarinya bila dia melihat wajah sebenar “musang berbulu ayam” dan “gunting dalam lipatan” berada di sekelilingnya.

Barulah dia sedar dan menerima hakikat adanya “teman sebantal mimpinya lain-lain”. Barulah diinsafi rupa-rupanya dalam percaturan politik “tiada teman dan musuh berkekalan”aduhai “terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak bicara padah nilainya.”

Namun falsafah ilmu kedoktoran tetap mempertahankan “selagi tubuh badan masih bernafas bererti kematian belum menjengah” menjadikan iltizamnya kukuh untuk berjuang serta menyempurnakan “agenda yang belum selesai”. Disamping itu rasa keinsafan sesat di hujung jalan kembali kepangkal jalan menjadikannya segera mencari pengganti, mahunya biarlah dikalangan “Orang Tanjung” dan punya latar belakang agama serta dilihat bersih. Sungguh sungguh bersih!

Turut menerima padah “ketulahan” kesan memperdaya anak raja adalah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang kini sedang menghadapi dilema cukup merungsingkan kerana jawatan sebagai Perdana Menteri kelihatan begitu goyah dan bercelaru dengan pelbagai isu.

Menambah gusar lagi bila persoalan Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib dikaitkan berhubung skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibu penuh misteri dan dikatakan ada hubung kait dengan “laba” keuntungan pembelian kapal selam Scorpine serta pesawat Sukoi.

Jika benar adanya usaha pembersihan dalam rumah Umno yang sedang dilakukan (kalau ada) oleh Dr.Mahathir seharusnya jawatan Timbalan Presiden perlulah ditiadakan lagi, khuatir “sumpahan ketulahan” atau “badi” akibat memperdaya anak raja akan terus berkekalan terhadap jawatan tersebut seperti lagenda “sumpahan Mahsuri” tujuh keturun. Kalau mahu diujudkan kembali biarlah selepas berakhirnya jumlah tujuh orang Timbalan Perdana Menteri bermula dari Musa Hitam. (kalau mungkin)

Mungkin secara kebetulan atau terancang kemelut politik Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah sepi dari peristiwa jatuh menjatuh antara satu sama lain. Bermula era Allahyarham Tunku Abdul Rahman lagi pada tahun 1967 dikatakan mula cuba dijatuhkan dari jawatan Perdana Menteri dan tersingkir pada tahun 1970 selepas peristiwa hitam 1969.

Sepuluh tahun kemudian sekitar 1977 gerhana politik Allahyarham Tun Hussien Onn hingga tersingkir dari kerusi Perdana Menteri bila Allahyarham Sulaiman Palastin mencabarnya serta ujud usaha mahu membebaskan Datuk Harun Idris dari penjara.

Pada tahun 1987 kira-kira sepuluh tahun kemudian tercetus pula perbalahan paling sengit antara Kumpulan A menentang Kumpulan B gandingan Musa Hitam dan Tengku Razaleigh mencabar Dr. Mahathir di mana kemenangan berpihak kepada pasukan A pimpinan Dr.Mahathir.

Begitu juga pada tahun 1997 selepas sepuluh tahun kemudian sengketa cukup mencabar tercetus antara Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim yang tersingkir dari jawatan Timbalan Perdana Menteri serta tersumbat ke penjara Sungai Buloh.

Hari ini setelah hampir sepuluh tahun dari peristiwa “lebam mata” Anwar Ibrahim tercetus pula “musim pembantaian” atau “siri membelasah” Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi oleh Dr. Mahathir Mohamad yang dilihat seperti sedang melakukan upaya agar “Mr.Clean” pemimpin Islam Hadhari segera “angkat bungkus” meninggalkan Seri Perdana.

Timbul cerita lawak penuh sindiran apakah sepuluh tahun akan datang 2017 Dr. Mahathir masih cuba berpolitik dengan para malaikat pula. Bagaimanapun dalam menganalisa hubungan sekejap baik sekejap renggang antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh.

Penganalisa dan aktivis politik Aspan Alias menyatakan walaupun tewas dalam pemilihan pada perhimpunan agung 1981 Tengku Razaleigh tetap berpengaruh kerana asasnya dalam UMNO sudah berurat dan berumbi. Peranan beliau mengetuai usaha mengambil-alih kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1978 memperkuatkan lagi terasnya dalam UMNO dan Kelantan.

Selepas itu meskipun tewas dalam pemilihan 1981 beliau terus memimpin UMNO Kelantan sebagai pengerusi perhubungan, serta berhadapan pelbagai rencam oleh pihak yang berkonspirasi untuk memecahkan-belahkan UMNO Kelantan.

Tengku Razaleigh yang masih berjawatan Menteri Kewangan tetap menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin dari bahagian-bahagian serta pemimpin-pemimpin masyarakat seluruh negara seperti keadaan sebelumnya menjadikan Musa tidak begitu senang dengan tindakan Dr Mahathir mengekalkannya.

Dr. Mahathir tidak berupaya berbuat apa-apa kerana pengekalan itu adalah kehendak perwakilan pada perhimpunan agung yang mahukan Tengku Razaleigh dikekalkan bagi menjaga perpaduan parti. Banyak bahagian-bahagian masih tidak dapat menerima kekalahannya sebagai Timbalan Presiden pada tahun 1984.

Disamping itu Tengku Razaleigh sudah mula merasakan bahawa pentadbiran Dr Mahathir tidak lagi menumpukan kepada dasar-dasar yang telah diputuskan oleh kabinet sebelumnya di mana kerajaan berusaha melihat ramai jutawan Melayu tetapi kecenderungan membentuk hanya segelintir ‘multibillionaire’ dirasakan membawa bencana kepada niat dan matlamat UMNO membesarkan jumlah rakyat kelas menengah.

Kecenderungan pemimpin membuat kekayaan peribadi mula berputik dan ramai berpendapat Tengku Razaleigh sudah mula merasa kekecewaan sedikit demi sedikit lantas menerima pencalonan dan berlakulah pertandingan jawatan Timbalan Presiden kali kedua pada tahun 1984.

Sekali lagi Tengku Razaleigh menerima kekalahan kerana Presiden memihak kepada Musa selaku penyandang, bagiamana pun Tengku Razaleigh dikekalkan dalam kabinet sebagai Menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian sementara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan diambil-alih oleh Dato Mohamad Yaacob. Pengekalan Tengku Razaleigh dalam kabinet dilihat oleh Musa sebagai tindakan politik halus Dr Mahathir mengimbangi pengaruhnya.

Tugasnya di Kementerian Kewangan di ambil alih oleh Daim Zainudin, seorang peguam dan ahli perniagaan yang belum berjaya. Perniagaan beliau hanya mula menampakkan kejayaan setelah menjadi Menteri Kewangan.

Bermulalah buat pertama kali seorang Menteri Kewangan dipegang oleh ‘non-parliamentarian’ dan peristiwa ini merupakan kejadian agak aneh kerana di mana-mana Negara yang mengamalkan demokrasi, Menteri Kewangan mestilah dipilih dikalangan Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Penganalisa politik merasa yakin Dr Mahathir tidak mahu bertimbalankan Tengku Razaleigh kerana beliau takut kepimpinannya akan dibayangi oleh teknokrat Melayu kerana baginya melalui satu kenyataan beliau lebih rela bekerja dengan “syaitan yang beliau kenal dari bekerja dengan malaikat yang tidak dikenali.”

Bercakap tentang “balun membalun” yang dilakukan oleh Dr. Mahathir terhadap kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi terkadang ada kewajarannya apabila terdapat sebahagian besar kalangan anggota jemaah Menteri gagal bersikap sebagai pemimpin kerana masing-masing saling berusaha untuk menonjolkan diri serta membena populariti tanpa batas.
Menteri hari ini sudah jauh kesasar. Hanya kerana mahu mencari “glamour” mereka terlup kedudukan eksklusif seorang pemimpin yang seharusnya terhindar dari pendedahan di khalayak secara terbuka.

Ada Menteri suka melepak di “coffee house” sambil memperagakan kehebatan diri menyedut asap curutu bernilai ratusan ringgit di kelilingi gadis mongel lagi comel bersama kapitan Cina bercakap tentang projek mega ratusan juta ringgit. Terdapat juga yang melabun sampai jam tiga pagi di bilik “karaoke” melalak di tengah subuh buta.

Akibat berjaga sehingga ke subuh keesokan hari nya dengan mata kuyu dan menggantuk mereka menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting lantas berlakulah pelbagai keputusan yang silap untuk dijadikan dasar negara.

Tidak kurang juga adanya Menteri yang menumpang “glamour” untuk turut memaparkan gambar wajahnya di papan iklan sempena “Tahun Melawat Malaysia”. Seharusnya “poster” atau “banner” tersebut menggambarkan tempat-tempat menarik atau bersejarah bagi memikat hati pelancong datang ke Malaysia.

Malangnya bukan gambar keindahan pantai, kehijauan bukit bukau serta keunikan senibena dan tingginya menara berkembar yang dipaparkan di poster “Tahun Melawat Malaysia” tetapi gambar Menteri yang tersengeh diambil kira sebagai bahan tarikan.

Persoalannya apakah wajah Menteri Malaysia mampu menarik dan menambah bilangan kehadiran para pelancong berkunjung ke negara ini? Kacak dan bergaya sangatkah Menteri tersebut untuk dijadikan model utama menarik pelancung? Cuba kita fikirkan apa akan terjadi kalau waktu itu Menteri pelancongan masih disandang oleh Datuk Kadir Sheikh Fadzir dan wajahnya digunakan sebagai model poster Tahun Melawat Malaysia? Fikir-fikirkanlah.

Tidak cukup sekadar itu. Rakyat turut merasa janggal bila melihat tayangan “video clips” isteri Menteri berduet menyanyi dengan penyanyi Mawi . Di mana mahu diletakkan muka kita jika ada pelancong berkunjung ke Negara ini membeli “video clips” tersebut sambil menyifatkan Menteri Negara ini ramai beristerikan artis dan penghibur. (tidak hairanlah kenapa ramai pemimpin mempunyai skandal dengan artis dan orang popular).

Memang Malaysia cukup hebat, Malaysia sememangnya boleh! Punya Menteri “anak dara trang tang-tang”. Ada Menteri boleh dijadikan model untuk menarik pelancong, ada Menteri tukang cuci parit, ada Menteri menebeng menghulurkan risalah di pusat pungutan tol (macam apek tua menjual kertas keputusan nombor ekor mapiau di Bukit Bintang), ada Menteri jaga kambing dan lebih memukau bila Timbalan Perdana Menteri di undang merasmikan Jamban.

Masyallah!! Kenapa boleh terjadi sedemikian rupa? Apakah para pegawai yang mengelilingi Menteri buat? Tidak mampukah mereka melihat kesan psikologi serta persepsi rakyat bila Timbalan Perdana Menteri boleh dibawa turun padang merasmikan tandas? Soal ia sebagai satu kempen kebersihan atau kehebatan Malaysia mempunyai tandas berhawa dingin bukan menjadi perkiraan penting tapi kalau dah turun merasmikan jamban rasanya tidak kena pada tempatnya.

Tugas Menteri membuat dasar! Mencari iltizam dan mencanai wawasan. Soal merasmikan tandas bukan kerja Menteri!! Para pegawai perlu sensitif dan memikirkan secara serious apakah kesan jika Menteri dibawa turun padang hanya untuk merasmikan jamban.

Kempen kebersihan dan menjaga tandas supaya sentiasa bersih memanglah satu dasar baik dijadikan amalan tetapi perlukah seorang Timbalan Perdana Menteri diseret melakukan tugas tersebut? Kenapa tidak diminta Datuk Bandar atau Ketua Pengarah hal ehwal parit longkang yang melakukan majlis perasmiannya? Kenapa perlu melibatkan TPM. Fikir-fikirkan lah secara rasional.

Waktu yang dimiliki oleh seorang Menteri cukup terhad. Masalah terlalu banyak memerlukan Menteri memikirkan dasar penyelesaiannya. Menteri perlu menemui rakyat di desa-desa, harus juga menghadiri pelbagai mesyuarat jawatan kuasa penting selain dari sehari suntuk melangsaikan mesyuarat kabinet dan post- kabinet. Menteri juga ada menerima kedatangan tamu dari luar Negeri masakan waktu sebegitu terhad boleh dibazirkan bagi merasmikan jamban?

Tidak salah kalau Dr. Mahathir merasa marah dan terkilan dengan tindak tanduk Menteri-Menteri serta Perdana Menteri yang dirasakan sudah kesasar dari landasan sebagai orang terpenting bagi Negara sehebat Malaysia.

Mampukah rakyat merasa yakin jika Perdana Menteri yang diharapkan menjadi ketua kerajaan boleh diperdaya untuk merasmikan kandang kambing dan lembu? Kalau pun mahu menggambarkan keperhatinan pemimpin benar-benar berjiwa rakyat bukan itu caranya. Malu dan cukup mengaibkan bila akhbar tempatan memaparkan wajah Perdana Menteri tersengeh berdiri disisi kambing dan lembu.

Hanya sekadar memenuhi jemputan sahabat karib tidak elok rasanya Perdana Menteri dibawa ke tepi kolam melawat ikan-ikan koi peliharaan. Penting sangatkah industri memelihara ikan perhiasan kolam sebagai menjana ekonomi negara? Terlalu ramai rakyat marhain di desa-desa yang hidup melarat papa kedana (seperti yang dipaparkan melalui rancangan bersama mu diTV ) mengharapkan kedatangan pemimpin untuk memikirkan untung nasib mereka.

Kalau benar pun mahu memaparkan imej hadhari seorang Perdana Menteri yang perihatin berjuang membela nasib bangsanya masih terlalu banyak rumah condong beratap rumbia dan petani duka di kampung-kampung. Kalau pun tidak termampu membawa mereka keluar dari kemelut kemiskinan lebih dari cukup rasanya jika ada Menteri mampu meluangkan masa melawat mereka. Paling tidak dapatlah mengubat duka hati dihimpit nasib malang menjadi papa kedana serta merempat di bumi sendiri.

Sebagai seorang Menteri mereka perlu insaf setiap tindak tanduk mereka sentiasa menjadi perhatian rakyat. Kalau Menteri asyik melepak di coffee house, dilihat keluar dari bilik karaoke dengan hilai tawa bersama gadis montel, cuci longkang, jadi mat skodeng, tukang hulur kertas kempen keselamatan jalan raya macam mat jual mapiau, rasmi kandang lembu atau kambing itu gambaran tidak baik.
Setiap Kementerian ada Ketua Setiausaha, ada Ketua Pengarah ada beratus-ratus pegawai di peringkat federal dan Negeri. Lebih molek jika mereka ini digunakan untuk tujuan seperti itu sementara Bapak Menteri terus mencanai minda mencari ilham bagaimana membuat dasar yang baik untuk rakyat agar tidak nanti timbul pula cakap-cakap “idea menteri itu bodoh dan tidak relevan”.

Wibawa seorang Menteri perlu dipertahankan, mesti dijaga serapi mungkin. Jawatan Menteri bukan jawatan main-main. Tidak pula merupakan jawatan seperti mat rempit untuk bersiar dengan motorsikal besar di dada jalan sambil mengibarkan bendera. Tidak juga terpekik terlolong di hari penamaan calon lagak seorang samseng yang asyik menyingsing lengan untuk diajak bertumbuk.

Kalau pun kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda apakah wajar seorang Menteri dilihat di khalayak menjerit terpekik terlolong sambil menggengam tangan lagak “mat samseng”. Tidak sewajarnya Menteri terbawa-bawa mengikut emosi semasa. Terlalu banyak agenda perjuangan yang belum beres. Sekadar mengiringi calon di hari penamaan calon itu tindakan wajar.

Tetapi jika berdiri terpekik terlolong macam orang hilang akal itu bukan budaya dan gambaran peribadi yang baik untuk seorang menteri. Banyak cara lain harus dilakukan dalam usaha membina wibawa dan gambaran perjuangan.

Satu ketika dahulu menteri berdiri menghunus keris pusaka bangsa. Tidak cukup sekadar itu sanggup pula mencabut keris menghunus dan menjerit seperti seorang panglima/lanun bersedia untuk menusukkan keris ke dada lawan. Seharusnya beliau sedar negara kita memiliki rakyat berbilang kaum. Bukankah keris juga digazzetkan zaman Musa Hitam menjadi Menteri Dalam Negeri sebagai senjata terlarang?

Ironisnya di pentas yang lain Menteri yang sama mengajak para pelajar supaya tekun menimba ilmu, berhemah mulia, bersikap jujur dan sabar serta tidak terjebak mengikut perasaan. Tetapi bila Menteri sudah boleh menghunus keris jangan terperanjat jika kaki “samseng” kian bertambah dan kegiatan “buli membuli” di sekolah-sekolah .

Seorang penulis Haniza Ahmad menyatakan setiap hari, ada saja ketempangan dan kecetekkan pemikiran pemimpin pemerintah didedahkan bukan sebab pembangkang yang membongkarnya tetapi pemimpin sendiri yang secara natural membuka pekung di dada. . Namun, rakyat dari kalangan ahli korporat, bijak pandai dan tidak kurang juga yang tidak cerdik, tetap menyokong, tindakan pemimpin mereka.

Pemimpin-pemimpin akar umbi sudah tiada alasan dan hujah untuk mempertahankan sikap dan pendirian pemimpin yang bertentangan dengan dhomir/suara hati (consience) mereka. Namun, tetap menyokongnya, walaupun ia bertentangan dengan dhomir (conscience) mereka.Dulu rakyat begitu menyanjungi dan mempertahankan segala tindakan Dr. Mahathir, beliaulah Negarawan yang banyak berjasa, beliaulah yang telah meletakkan Negara di peta dunia tetapi kini, apa sudah jadi kepada Negara?Setelah Mahathir bersara dan tidak lagi memegang kuasa, beliau kini dilihat sebagai bertanggungjawab ke atas masalah-masalah yang timbul, dalam ekonomi, rasuah dalam agensi kerajaan, penswastaan yang gagal, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang mengalami kerugian dan bermacam-macam lagi. Mengapa rakyat tidak bertindak lebih awal sebelum melata kerosakan dan kemusnahan? Kalau rakyat menyalahkan Mahathir pun, ia sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur tetapi kini mereka mempertahankan pemerintahan Abdullah pula.

Sejak Abdullah mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Dr Mahathir, tidak banyak yang boleh dibanggakan, malah memalukan. Tetapi ada, ahli-ahli Umno bermati-matian mempertahankan tindakan Abdullah walau juga pun (meminjam kata MB Pahang – men ‘jahanam’ kan kehidupan mereka)

Penyokong sebegini, penyokong yang ta’asub kerana mereka terus menyokong dan membela pemimpin walau pun sudah ternyata silap dan salah. Itulah yang dikatakan taat yang membabi buta tanpa menggunakan aqal dan kebijaksanaan.

Lihat kes kediaman penduduk Batu 7 Gombak tahun lalu yang telah diruntuhkan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana kononnya penduduk tersebut menduduki tanah milik MPS, dimana ada kumpulan lebih awal sudah menyerahkan tanah mereka untuk diberikan kepada pemaju dan kini mereka tinggal bersesak-sesak dalam kontena.

Melihat keadaan kontena tersebut, sungguh memilukan. Keluarga yang mempunyai sekurang-kurangnya lima orang anak dan ramai yang sudah remaja, tinggal dalam kontena sempit, betul-betul macam binatang.

Mereka sanggup berikan rumah yang mereka huni sebelum ini kerana pemimpin arahkan untuk diambilalih oleh pemaju. Rakyat Negara ini memang tidak serik dan tidak belajar daripada kesilapan lalu. Sudah berkali-kali mereka diperkudakan oleh pemimpin yang tidak jujur dan ikhlas. Selagi mentaliti ta’asub tidak dibuang, bagaimana mungkin rakyat yang berfikiran begini mampu menjadi masyarakat mentaliti kelas pertama.
Tidak hairanlah mengapa pemimpin begitu cemburu mengawal dan mengepong penyokong yang mereka “bela” daripada mendapat pendidikan lebih baik dan berfikiran terbuka. Melayu kononnya mendapat pembelaan daripada pemimpin terus terbiar.
Jika rakyat berfikiran terbuka dan bermentaliti kelas dunia atau kelas pertama, sudah tentu pemimpin hari ini akan menjadi bahan dalam muzium. Tiada yang mahu mendengar cerita dongengan mereka dan cakap yang tidak masuk aqal. Dalam peristiwa ahli Parlimen BN tidak boleh menyokong usul yang dibawa oleh pembangkang walau pun ia bagi mempertahankan hak rakyat dan menjaga kepentingan orang ramai menimbulkan polimik dangkal.

Dengan alasan “Semua ahli-ahli parti mempunyai peraturan yang perlu difahami dan dipatuhi. Setiap ahli ada disiplin... tiada kebebasan untuk melakukan sesuka hati mereka,” Abdullah dipetik berkata demikian. Ketua Kelab ahli-ahli BN (BNBBC), Datuk Shahrir Abdul Samad (spesis yang kian pupus dalam UMNO) telah menyokong usul ketua pembangkang, Lim Kit Siang mahu ahli Parlimen Jasin yang campurtangan dalam tugas Jabatan Kastam Melaka dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, telah tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahli kelab lain.

Kekecewaan Shahrir jelas tergambar apabila beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai ketua BNBBC. Bagi menutup malunya dengan perletakkan jawatan sebagai ketua BNBBC, Abdullah memberitahu bahawa parti memang mahu menggantikan Shahrir, Abdullah mendakwa Shahrir sudah jangka dia akan digugurkan, dengan itu dia meletakkan jawatan lebih awal sebagai ketua BNBBC. Abdullah juga berkata bahawa Shahrir tidak perlu didisiplinkan kerana menyokong usul pembangkang kerana Shahrir sudah pun mengambil langkah awal dengan meletakkan jawatan.
Semakin Abdullah cuba jelaskan keadaan yang ada, semakin beliau kelihatan tidak cerdik dan kenyataan-kenyataannya berbunyi kosong sahaja. Negara Malaysia sebuah Negara yang banyak potensi, begitu juga rakyatnya. Ramai juga warga Malaysia yang pandai-pandai tetapi mengapa kita membiarkan Negara diperintah oleh seorang yang lemah dan malap. Apa sudah jadi kepada rakyat negara ini? Di manakah bijak pandai Negara ini? Bangkitlah seluruh bijak pandai, Negara perlukanmu, selamatkan Negara daripada kehancuran dan kemusnahan!

Sekadar renungan kita bersama:


Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.:Mengapa aku melihat kau berubah muka?” Jawabnya: “Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya.”
Lalu nabi s.a.w. bersabda: “Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.”

Jawabnya: “Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api.
Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.”
Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?” Jawabnya: Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.” (nota kefahaman: iaitu yg lebihbawah lebih panas)
Tanya Rasulullah s.a.w.: “Siapakah penduduk masing-masing pintu?” Jawab Jibrail:

“Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir’aun sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, Pintu ketiga tempat orang shobi’in bernama Saqar.Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah. Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa’eir.”
Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya:
“Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?”
Jawabnya: “Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat.”
Maka nabi s.a.w. jatuh pingsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar nabi saw bersabda: “Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?” Jawabnya: “Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.”
Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab “Peringatan Bagi Yg Lalai”)

No comments: