APA DAH JADI.......
Bila menteri belia dan sukan ( masih anak dara trang tang tang) tiba-tiba muncul dirumah kecil bernama Akademi Fantasia. Kehadirannya tentulah mengundang seribu satu persoalan yang sukar untuk diungkap dan dijawab tetapi tidak salah rasanya kalau saya melontarkan persoalan ini kerana walaupun dihimpit seribu kemelut ekonomi period kerajaan Abdullah Ahmad Badawi tapi kita masih pembayar cukai setia seperti bagi membiayai gaji dan elaun mereka bernama menteri.
Beli rokok kena cukai, minum kopi tarik di Starbugs tetap ada cukai mesti dijelaskan.(Samada mereka bayar pada jabatan kastam dan jabatan cukai itu kena tanya ketua pengarah jabatan tersebut), begitu juga bila naik kereta, tetap ada cukai perlu dilunaskan. Ada cukai jalan, ada tol dan macam-macam cukai. Setiap hari kita dengan rela dalam keterpaksaan tetap membayar cukai. Nasib baik tidak kena cukai kepala seperti di New York pasca Don Corliano menjadi ketua Mafia.
Berbalik cerita menteri belia Azalina bertandang ke rumah kecil Akademi Fantasia maka kita pun tertanya-tanya, penting sangatkah seorang menteri menghabiskan masa bersama anak-anak muda yang melakari impian untuk menjadi “superstar” atau artis tersohor ala Mawi dan Siti Nurhaliza (sekadar mengambil contoh...)? Apakah kehadirannya di rumah kecil Akademi Fantasia itu atas jemputan syarikat Astro yang mengaut ratusan juta ringgit melalui cukai perkhidmatan yang di kenakan kepada setiap pelangannya satelah kerajaan menghapuskan cukai lesen radio dan TV. Atau suka-suka dia sengaja nak datang.
Untuk bertandang kerumah akademi fatnasia tentulah Azalina kena naik kereta resmi, ada pengawal peribadi, pemandu serta orang keliling dan suku sakat yang gajinya dibayar oleh kerajaan . Apa manafaat diperolehi oleh rakyat yang tekun membayar gaji menteri melalui pendapatan cukai hasil kunjungan menteri belia anak dara trang tang-tang ke akademi fantasia?
Atau mungkin memang Azalina terpanggil untuk bertandang ke akademi fantasia kerana ramai cek mek molek dan anak muda menawan kalbu terhimpun disitu? Apakah mereka yang berada di akademi fantasia sahaja merupakan sasaran Azalina untuk kempen daftar pengundi atau sekadar suka-suka mengisi masa terluangnya.
Atau mungkin juga nak tumpang cari “glamour” kalau-kalau ada hasrat kerajaan menukar sistem pengundian memilih wakil rakyat menggunakan sistem SMS atau internet? Seharusnya waktu begitu lebih baik digunakan untuk mencari ilham dan idea baru bagaimana menyelesaikan persoalan mat rempit, gadis bohsia, imej sukan negara yang semakin merudum kemampanannya dan lain-lain kerja penting.
Kalau inilah mentaliti atau petak fikiran jemaah menteri sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi tidak hairanlah kalau rakyat semakin kuat bersungut membebel setiap hari bila merasakan wang cukai yang digunakan untuk membayar gaji menteri tidak kena pada tempatnya.
Menteri penerangan Zainuddin Maidin tak perlulah naik angin terhadap teman-teman blogers lantas mahu meminda seribu satu macam undang-undang untuk mengongkong laman web seperti yang dilakukan terhadap akta media serta akta mesin cetak.
Zam (panggilan mesra dikalangan teman wartawan satu ketika dahulu... itu dulu....! sekarang sudah tidak mesra lagi) perlu lihat sendiri apakah perlu potret wajah menteri digunakan dalam poster besar di Jalan Tun Ismail , Kuala Lumpur sebagai poster menarik minat pelancong datang ke Malaysia.
Fikir-fikirkanlah sendiri apa manafaat dan faedahnya potret menteri pelancongan sebegitu besar terpampang sebagai upaya kerajaan menjayakan kempen tahun melawat Malaysia? Seharusnya poster tersebut menggambarkan keindahan dan uniknya Malaysia punya bangunan hebat seni reka bentuk, keindahan pantai dan pulau-pulau menarik, buah-buhan tropika pelbagai jenis , flora bunga-bungaan atau kalau sudah tiada idea sangat ambil saja gambar berok dan monyet dari pelbagai spesis termasuk , lotong, orang utang,cikah dan banyak lagi unggas yang terdapat dinegara ini daripada wajah menteri yang tersenggih tidak menentu. Nasib baik menteri pelancongan tidak lagi disandang oleh Datu Kadir Sheikh Fadzir....Kalau tidak mungkin biul pelancong jadinya memikirkan benarkah mereka berada di Malaysia atau di India.
Sudah ditapiskah sehalus-halusnya kesan serta manafaat poster yang menelan belanja ratusan ribu ringgit diambil dari tabung kantung wang rakyat ? Lembaga penapis filem rasanya boleh bagi pandangan kerana mereka pakar menyaring juga menapis pelbagai elemen dianggap boleh memudaratkan keadaan seperti terpotong dan terbekunya beberapa buah filem Melayu atas alasan melanggar perundangan negara.
Semasa “membelek” lipatan surat khabar lama tiba-tiba terbaca al kisah musim awal Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri dalam usaha membuktikan “Pak Lah berjiwa rakyat” telah turun padang melawat kambing dan lembu sebagai satu acara resmi Perdana Menteri... lebih menarik lagi gambarnya bersama kambing dan beberapa orang kampong terpampang dalam akhabar tersebut.
“Hadhari” sungguh kepimpinan Abdullah sanggup turun padang bersama rakyat melawat kambing dan lembu mencanai minda mencari iltizam baru dalam usaha memertabatkan industri pertanian moden. Hebat... cukup hebat.
Lebih “hadhari” lagi bila tersiar pula wajah senyum kambing Abdullah Ahmad Badawi menghadiri majlis kesyukuran berjayanya pesta Monsoon cup di Kuala Trengganu sambil tangan mongelnya mesra menyapa bahu model tersohor Michel Yeoh. Sungguh mesra dan cukup mengasyikkan.
Perdana Menteri melawat kambing dan lembu sebenarnya untuk kepentingan rakyat, Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa sebegitu lama di Bukit Bintang adalah bagi mempastikan tahap kesihatan negara benar-benar berada di kedudukan paling “glokal”. Rakyat seharusnya tidak boleh mempertikaikan nya kerana inilah cara sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi memimpin negara.
Oleh itu tidak hairanlah kalau menteri sains dan teknologi Jamaluddin Jarjis boleh menghiris hati pelajar Malaysia di Amerika seperti yang tersiar di Malaysia Today hingga kesan psikologi yang dialami oleh pelajar tersebut sampai hari ini masih belum dapat disembuhkan serta merasa cukup terhina. (Kenalah baca dalam laman web Malaysia Today).
Bagaimana Jamaluddin Jarjis boleh terlepas cakap sebegitu rupa? Tidak sedarkah dirinya seorang menteri? Cakap menteri bukan cakap kedai kopi, bukan juga siri sembang-sembang dalam internet, bukan gebang tok-tok bilal sementara menanti waktu sembahyang diserambi mesjid dan bukan juga labun Mat Skodeng sementara menunggu arahan Menteri Jabatan Agama Islam melakukan kerja-kerja merakam kisah pasangan khalwat.
Apa dah jadi dengan menteri Abdullah Ahmad Badawi? Mungkin sudah banyak tertelan pil-pil khayal dari Pulau Temasik yang mahu “mengangkangkan” seluas-luasnya Wilayah Pembangunan Iskandar. Renung-renungkanlah situasi ini. Nak diharapkan Anwar Ibrahim mereformasikan minda Melayu pun nampak gayanya sudah jadi macam sambal tempoyak kering, baru masuk gelanggang satelah terkurung di Sungai Buluh asyik berdangdut pula dengan Nallakarupan.
Apa nak jadi? Raja Petra pula semakin sesak nafas bila rakyat terus menuntut agar kebenaran diterjemahkan secara jelas bagaimana rumah mewah bernilai puluhan juta di Australia yang didakwa milik Perdana Menteri sebenarnya milik siapa? Rakyat mahu tahu bagaimana rumah tersebut dibeli, adakah ianya sebahagian dari hasil keuntungan menganjurkan pesta monsoon cup bernilai 450 juta ringgit anugerah kerajaan Abdullah Ahmad Badawi setiap tahun kepada “al ustaz Patric Lim”?
Apa akan terjadi kalau Zam diberi kuasa menutup laman web internett yang menjadi medan sembang-sembang blogers serta mengklasikasikan ada laman yang baik dilayari dan ada pula dianggap tidak baik dan boleh dihadapkan dimahkamah melalui pelbagai akta seperti akta hasutan, akta percetaakan dan akta itu ini yang dia seorang sahaja yang tahu...
KAMAL AMIR
No comments:
Post a Comment