Sunday 22 July 2007

KERTAS PUTIH MALAYAN UNION

13 PERKARA

DILULUSKAN OLEH

PARLIMEN DI LONDON

PADA 22HB JANUARI 1946



PERKARA SATU


Bahawa adalah Negeri-Negeri yang berkenaan di dalam kenyataan ini yang mengandungi yang pertamanya Colony Negeri-Negeri Selat iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka di dalam Semenanjung Tanah Melalyu, Labuan di pantai Utara Borneo dan Pulau-Pulau Cocos – keliling di sebelah Sumatera, yang kedua Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan ketiga Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis di dalam Semenanjung Tanah Melayu juga.

Jajahan Negeri-Negeri Selat sebelum diduduki Jepun, adalah tepat di bawah pentadbiran British. Adapun di dalam Negeri-Negeri Melayu, kuasa British terletak di dalam perjanjian-perjanjian yang diadakan dengan raja-raja Melayu yang dengannya tiap-tiap seorang raja itu kekal tarafnya sebagai raja di dalam Negerinya, sekalipun tiap-tiap seorang daripada mereka itu terwajib menerima nasihat British di dalam segala perkara, kecuali di dalam perkara-perkara agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Tentang menyatukan pentadbiran antara satu dengan lainnya telah dijalankan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat di dalam sifatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi (High Commissioner) bagi Negeri-Negeri Melayu. Sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat ia memegang terus pentadbiran tanah-tanah jajahan (colony) itu.

Tetapi atas perkara-perkara yang berkenaan dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, sebagai Pesuruhjaya Tinggi, ia menjalankan kerja-kerja menerusi British Resident di dalam tiap-tiap sebuah daripada empat Negeri itu dan menerusi Federal Secretary di ibu pejabat kerajaan Bersekutu (Kuala Lumpur); di atas urusan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, dengan sifatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi juga ia menjalankan kerja-kerjanya menerusi seorang Penasihat di dalam tiap-tiap sebuah negeri itu.

Tetapi kerja menyatakan ini telah dijalankan menerusi beberapa Majlis Undangan dan Pentadbiran. Undang-Undang di dalam Colony, telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Undangan Negeri-Negeri Selat. Undang-Undang di dalam Negeri-Negeri Melayu oleh Federal Council (Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Bersekutu) dan oleh tiap-tiap sebuah Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing dan Majlis Mesyuarat Undangan di dalam tiap-tiap sebuah Negeri di dalam Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu oleh Majlis Mesyuarat Negeri di dalam tiap-tiap sebuah Negeri. Persamaan Undang-Undang di dalam Negeri-Negeri Melayu adalah dikehendaki kerja berasing-asing, sekurang-kurangnya oleh enam dan pada sesetengah perkara oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan.

PERKARA DUA

Keadaan yang berbagai-bagai dan berasing-asing yang demikian ini di dalam sesebuah negeri yang tidak berapa besar daripada Negeri-Negeri England itu dahulunya tidak begitu dikehendaki dan dalilnya nampak ternyata bahawa keadaan demikian ialah suatu peringkat yang berfaedah dan mustahak bagi kemajuan beberapa Negeri.

Tetapi percampuran yang bertambah banyak daripada kemajuan-kemajuan moden daripada pentadbiran ekonomi dan masyarakat, yang menuntut diadakan suatu cara kerajaan yang lebih mudah dan lebih-lebih lengkap bagi perkhidmatan-perkhidmatan am yang besar yang biasa diadakan dan menjadikanya lebih sempurna dan berfaedah bagi masa dan tenaga. Balik kepada lama itu nyata benar berlawanan dengan muslihat faedah Negeri-Negeri itu dan penduduknya di dalam dunia yang telah berubah lepas perang, dengan kesukaran-kesukarannya yang timbul disebabkan oleh peperangan dan di dalam Semenanjung Tanah Melayu soal-soal yang khas telah timbul disebabkan oleh pendudukan Jepun, suatu peringkat telah sampai sekarang manakala satu cara kerajaan mesti dimudahkan dan diubah dengan perubahan yang membaiki.

Perhubungan di antara bangsa-bangsa dan juga keselamatan dan lain-lain muslihat bagi Commonwealth British adalah berkehendakkan supaya Semenanjung Tanah Melayu boleh menjalankan suatu pengaruh sebagai sebuah Negeri yang bersatu dan maju iaitu berpadanan dengannya yang penting di dalam bahagian ekonomi dan bahagian ketenteraan (strategy).

Dengan pandangan yang jauh juga peraturan sebelum perang itu tiada boleh membawa kepada keadaan perubahan politik yang seperti itu iaitu perubahan yang akan memberi jalan dan harapan menerusi pembentukan-pembentukan yang berasas luas yang di dalamnya semua penduduk Negeri boleh mengambil bahagian bagi memajukan kebolehan Melayu itu menuju kepada berkerajaan sendiri (self government) yang bertanggungjawab.

Di dalam perubahan kemajuan, sekalian orang yang menjadikan Negeri ini Negeri tumpah darah dan tempat tinggal, mereka patut mendapat peluang dengan suatu bahagian yang patut bagi mereka di dalam pembentukan-pembentukan politik dan kebudayaan Negeri ini. Oleh sebab itu dan oleh kerana meraikan kemajuan fikiran cara demokratik sekarang, patut dimudahkan, diubah dan dibaiki kaedah-kaedah susunan pemerintahan Negeri ini.

PERKARA TIGA

Baginda King, Pemerintah Negeri British mestilah menjadi tali wasitah pertambatan yang akan menjadi serangkai dan bersatu akan segala puak-puak bangsa yang berlain-lainan di Negeri Tanah Melayu serta menggalakkan perasaan mempunyai hak-hak faedah yang satu dan bersamaan di antara mereka itu dan juga menggalakkan kemajuan tubuh-tubuh bentukan yang dipunyai bersama-sama. Tetapi jika mnegikut kedudukan cara lama itu, Yang Maha Mulia Baginda King tidaklah ada memegang kekuasaan apa-apa, di dalam Negeri-Negeri Melayu itu.

Sungguhpun di dalam syarat surat-surat persetiaan sekalian Raja Melayu mestilah menerima nasihat British (kecuali di dalam hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu). Tujuan polisi yang baharu ini menghendaki bahawa Baginda King mestilah ada memegang kekuasaan di dalam Negeri-Negeri Melayu itu supaya ia boleh membuat undang-undang yang sama serupa di dalam semua Negeri mengikut ‘Kanun undang-undang kekuasaan di Negeri asing (Foreign Jurisdiction Act)’.

Oleh yang demikian Sir Harold Mac Michael sebagai wakil khas daripada kerajaan Yang Maha Mulia Baginda King telah bekerja jadi utusan ke Negeri-Negeri Melayu dan telah berjaya membuat suatu perjanjian dengan tiap-tiap seorang daripada raja-raja Melayu itu setelah berunding dengan mereka secara persahabatan dan berbaik-baik. Perjanjian yang telah diperbuatnya itu ialah sebagai suatu tambahan kepada surat-surat persetiaan yang telah sedia daripada dahulu dan adalah memberi kekuasaan yang penuh di dalam tiap-tiap Negeri itu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda King.

PERKARA EMPAT

Adalah dicadangkan bahawa Negeri-Negeri Selat sekarang iaitu Pulau Pinang,
Melaka dan Singapura di dalam suatu pembentukan siasah (pemerintahan) itu patut diubah menurut garis-ragis yang tersebut di bawah ini:-


a. Negeri Singapura patut menjadi sebuah jajahan (colony) yang berasingan dan


b. Negeri-Negeri Pulau Pinang dan Melaka patut diperintah bersama-sama dengan Negeri-Negeri Melayu di dalam Malayan Union.


Berkenaan dengan Negeri-Negeri Melayu itu, cadangan-cadangan ini akan dijalankan mengikut undang-undang kekuasaan di Negeri-Negeri asing (Foreign Jurisdiction Act 1809) dan berkenaan dengan Negeri-Negeri Selat akan dijalankan mengikut undang-undang yang sekarang ditimbangkan di dalam Parlimen iaitu Rang Undang-Undang Pindaan Negeri-Negeri Selat.


PERKARA LIMA

Pada menimbangkan kewajipan mesti mempersatukan pemerintahan yang rapat di Semenanjung Tanah Melayu, kerajaan Baginda King memikirkan bahasa sekurang-kurangnya bagi sementara ini, Singapura patut diasingkan. Singapura adalah pusat perniagaan yang amat besar dan ada mempunyai muslihat-muslihat Semenanjung. Tetapi adalah diakui bahawa telah dan akan ada ikatan-ikatan yang rapat di antara Singapura dengan Semenanjung dan kerajaan Baginda King kemudian kelak tiada pula akan menahan tujuan menyatukan Singapura dengan Malayan Union menjadi sebuah Kesatuan yang lebih luas pada suatu masa hadapan kelak sekiranya yang demikian itu difikirkan dikehendaki.

PERKARA ENAM

Seperti yang disebutkan, Negeri Singapura yang termasuk di dalamnya Pulau-Pulau Cocos, Killing dan Pulau Christmas akan dijadikan jajahan takluk (colony) Singapura diperintahkan oleh seorang gabenor dengan sebuah Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Council) dan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council).

Didalam pemindahan di antara tamatnya pentadbiran tentera sekarang dengan mula terdirinya perlembangan baharu itu, gabenor akan diberi kuasa membuat undang-undang dengan bantuan sebuah Majlis Penasihat yang ia akan diperintahkan memiihnya menurut suatu dasar perwakilan yang luas sebagaimana yang diluluskan oleh keadaan pada masa itu.

Di dalam masa perantaraan itu ia akan diperintahkan supaya menimbang dengan halus dan cermat siapakah orangnya yang akan menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerja (Execuitve Council) dan bagaimana hendak mengangkat dan memilih orang-orang yang akan menjadi ahli Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council) bagi menentukan Majlis-Majlis Mesyuarat itu mengandungi wakil-wakil yang cekap dan layak betul daripada segala peringkat dan puak rakyat di dalam Negeri.

Kerana maksud menjalankan pemerintahan tempatan, Municipality Singapura, Harbour Board dan Singapura Improvement Trust, akan dilembagakan semula dengan seberapa segera. Di dalam masa pemindahan yang disebutkan, gabenor akan diperintahkan supaya menimbang dengan cermat tentang hendak meluaskan lagi lingkungan kuasa-kuasa Lembaga Municipality dan dasar mengambil wakil-wakil rakyat ke dalamnya.

PERKARA TUJUH

Pertubuhan Malayan Union akan mempunyai sebuah pemerintahan yang mengandungi seorang gabenor dengan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan. Di dalam tiap-tiap sebuah Negeri akan diadakan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri yang akan mempunyai kuasa mentadbir dan kuasa membuat undang-undang tambahan yang diwakilkan kepadanya oleh kuasa pusat iaitu mana-mana yang patut menurut kehendak-kehendak kerajaan di dalam Negeri itu.

Majlis-Majlis ini iaitu Majlis Pusat dan Majlis-Majlis Negeri itu akan mengandungi ahli-ahli rasmi (official) dan bukan rasmi (unofficial). Pada masa permulaan iaitu lepas tamat pentadbiran tentera sekarang dan sebelum Perlembagaan baharu itu dikuatkuasakan gabenor akan diberi kuasa membuat undang-undang yang mustahak dengan bantuan sebuah Majlis Penasihat yang ia akan diperintah melantiknya daripada segala peringkat penduduk Negeri itu seberapa luasnya yang dapat mengikut kadar yang dibolehkan oleh keadaan pada masa ini.

Di dalam masa yang tersebut ini, gabenor akan diperintah menyempurnakan perundingan-perundingan dengan orang ramai negeri itu bagi menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Council) dan Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council) dengan seberapa segera perubahan-perubahan ini di dalam peraturan membuat undang-undang ini tiadalah akan mengganggu dasar kerajaan berkenaan dengan dasar tanah di dalam Negeri-Negeri Melayu. Dasar tanah reserve Melayu (Malay Lands Reservation) khas akan dikekalkan seperti dahulu juga.

PERKARA LAPAN

Kerajaan Bagindan King sedia ingat akan kedudukan khas Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Oleh yang demikian adalah dimaksudkan bahawa Raja bagi tiap-tiap sebuah Negeri akan mengetahui sebuah ‘Majlis Penasihat Melayu’ (Malay Advisory Council) yang ahli-ahlinya akan dilantik dengan persetujuan gabenor.

Kerja-kerja Majlis Penasihat Melayu itu yang mustahak ialah perkara-perkara yang berkenaan dengan agama Islam tetapi Majlis-Majlis itu boleh menasihatkan Raja-Raja di dalam lain-lain perkara yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya Tempatan (Resident Commissiner) yang menjalankan perkara itu dengan persetujuan gabenor.

Atas perkara-perkara yang berkenaan dengan agama Islam, kecuali tentang memungut zakat dan fitrah, tiap-tiap seorang Raja, dengan bantuan Majlis-Majlisnya mempunyai kuasa-kuasa boleh membuat undang-undang di dalam Negerinya. Undang-undang yang seperti itu berkehendakkan persetujuan gabenor dan bagi maksud ini ia akan dibantu oleh sebuah Majlis Penasihat Pusat (Central Advisory Council) daripada Raja-Raja Melayu dengan dipengerusikan oleh gabenor.

Selain daripada menimbang segala undang-undang mengenai agama Islam, Majlis Penasihat Pusat boleh merundingkan lain perkara sama ada dengan kemahuan gabenor ataupun kemahuan salah seorang daripada Raja-Raja dengan persetujuan gabenor.

Dengan peraturan-peraturan ini adalah ditentukan bahawa tiap-tiap seorang daripada Raja-Raja itu boleh mengambil bahagiannya bukan hanya di dalam perkara-perkara yang berkenaan dengan negerinya sendiri bahkan juga di dalam perkara kemajuan yang akan datang bagi Tanah Melayu amnya. Tiap-tiap seorang Raja tidak syak lagi akan mendapat bayaran pencen yang berpatutan dengan taraf kebesarannya.

PERKARA SEMBILAN

Di dalam perkara perniagaan adalah sangat dikehendaki bagi mengadakan perhubungan yang baik dan berfaedah bagi kedua-dua pihak di antara Malayan Union dengan Singapura. Perkara yang sama mustahak mengenai seluruh Malaya yang berkehendakkan satu tujuan yang serupa bagi seluruh Malaya ialah seperti pelajaran tinggi, imigresen, matawang, cukai-cukai pendapatan, perjalanan kapalterbang, simpanan pos dan telegraf, dan kapal-kapal. Perkara ini akan diadakan peraturannya yang sama di antara Malayan Union dengan koloni. Perkara matawang akan berjalan terus dikelolakan mengikut perjanjian bagi seluruh Negeri Tanah Melayu.


PERKARA SEPULUH

Dasar kerajaan Baginda King ialah menggalakkan suatu taraf kerakyatan yang luar, yang akan termasuk, dengan tidak ada perbezaan bangsa dan agama, iaitu sekalian orang yang boleh mendakwa menjadi orang negeri ini dengan sebab ia diperanakkan di sini atau dengan sebab ia telah duduk di sini selama suatu masa yang patut, bolehlah ia menjadi rakyat, oleh itu adalah dicadangkan hendak mengadakan dengan kuatkuasa perintah di dalam Mesyuarat akan suatu taraf kerakyatan yang dinamakan ‘Kerakyatan Malayan Union’. Orang-orang yang tersebut di bawah ini akan mendapat kerakyataan Malayan Union iaitu:-

a. Orang-orang yang diperanakkan di dalam Negeri-Negeri Kesatuan (Union) atau di dalam koloni Singapura.

b. Orang-orang yang pada tarikh perintah di dalam Mesyuarat berjalan kuatkuasanya telah tinggal di dalam Negeri-Negeri itu selama sepuluh tahun daripada limabelas tahun yang lalu (di dalam hitungan 15 tahun itu, masa pendudukan Jepun tiada dikira).

Boleh juga bagi orang-orang mendapat hak rakyat Malayan Union setelah tinggal lima tahun di dalam Malayan Union atau Singapura. Rakyat-rakyat British yang dapat menjadi rakyat Malayan Union dengannya tidaklah hilang daripada mereka taraf rakyat British itu. Orang-orang yang bukan rakyat Malayan Union tiadalah sekali-kali boleh menjawat jawatan di dalam pejabat kerajaan atau menjadi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Pusat atau Majlis Mesyuarat sebuah negeri, kecuali dengan persetujuan gabenor. Orang-orang yang berkehendak kepada kerakyataan Malayan Union, kecuali yang diperanakkan di sini akan dikehendaki mengangkat sumpah setia kepada Malayan Union.

PERKARA SEBELAS

Bagi Malayan Union akan diadakan sebuah Mahkamah Tinggi dan sebuah Mahkamah Tinggi bagi Singapura. Tiap-tiap sebuah mempunyai seorang Hakim Besar (Chief Justice) mengetuainya. Tiap-tiap sebuah Mahkamah Tinggi itu mengandungi sebuah Mahkamah Tinggi biasa dan sebuah Mahkamah Ulangbicara. Hakim-Hakim Besar dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Malayan Union dan Singapura akan jadi hakim juga di dalam Negeri yang lain. Kedua-dua Mahkamah Ulangbicara itu boleh juga meminta ulang bicara kepada Privy Council.

PERKARA DUABELAS

Peraturan-peraturan akan dibuat bagi memindahkan dengan sedikit-sedikit kecualinya, harta-harta kepunyaan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) kepada Malayan Union.


PERKARA TIGABELAS

Bagi kehendak kepada kerja menyatukan dan mengarah di antara dasar-dasar kerajaan Malayan Union dan Singapura, adalah dicadangkan bahawa perkara ini sayogialah menjadi satu daripada kerja Gabenor General yang ada di dalam cadangan-cadangan kerajaan Baginda King melantiknya bagi kawasan ini. Daerah yang tetap yang bersabit dengan urusan Gabenor General dan kawasan pergerakannya belum lagi habis ditetapkan.

Selain daripada Malayan Union dan Singapura, daerah itu akan termasuk Labuan dan Brunei. Manakala Sarawak dan North Borneo akan termasuk juga. Raja Vyner Brooke telah bersetuju menyerahkan Sarawak kepada kuasa Gabenor General yang tidak akan menjalankan sebarang pentadbiran yang tetap tetapi ia akan mempunyai kuasa menyatukan kerja dan mengarahnya dan kuasa mengadakan persidangan-persidangan atas sebarang perkara. Persidangan-persidangan ini akan dihadiri oleh gabenor-gabenor British dan lain-lain wakil British yang di dalam lingkungan kuasanya.

No comments: