Thursday, 13 December 2007

KENYATAAN BAHAYA KETUA POLIS NEGARA


CUKUP celaru jadinya, gementar, resah, gelisah dan paling mengerikan apabila mendengar kenyataan Ketua Polis Negara yang berkeyakinan Gerakan Pembela Masyarakat Hindu "HINDRAF" mempunyai kaitan serta menjalin hubungan dengan kumpulan pengganas Liberation Tamil Tigers "LTTE" di India.
Lebih menambah rasa ngeri dan gerun apabila Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail sewaktu berhujah agar 30 demonstran Hindraf tidak dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah supaya terus dipasung sehingga selesai perbicaraan turut menzahirkan keyakinannya bahawa kesemua tertuduh mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.
Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu terutama kepala polis dunia George Bush pernah menyenaraikan sejumlah 16 kumpulan pengganas dunia antaranya Al Qaeda, JI serta tidak terkecuali LTTE yang mesti diperangi untuk dihapuskan dari mukabumi ini dengan menggunakan apa cara sekalipun.
Malahan sekiranya terdapat bukti nyata gerakan kumpulan pengganas tersebut berselindung ataupun beroperasi maka badan perisikan CIA bagai diizinkan untuk campur tangan melakukan serangan mahupun apa saja bentuk tindakan atas nama keaman sejagat.Malahan mereka juga dibolehkan untuk menyerang sesabuah negara atas nama keamanan sejagat.
Kesan ledakan kenyataan beberapa pihak menuduh Sadam Husein memiliki senjata kimia yang disifatkan sebagai senjata pemusnah massa "Mass Destructions Weapons" serta adanya kaitan dengan kumpulan Al Qaeda pimpinan Ossama Bin Laden mengakibatkan seluruh dunia berpusu-pusu menghantar bala tentera untuk menjerumuskan bumi Iraq kedalam kancah peperangan.
Akhirnya seluruh bumi Iraq terjajah melalui cengkaman percaturan politik penuh kebinatangan dan seluruh rakyatnya hidup dalam penderitaan. Hingga hari ini Iraq terus diperkosa semahu mungkin oleh tentera bersekutu pimpinan badan polis dunia CIA.Apakah Malaysia tidak terkecuali mengalami nasib yang sama seandainya Amerika diyakini oleh kenyataan sedemikian untuk melakukan serangan seperti yang berlaku keatas bumi Afghanistan dan Iraq?
Seperti kata pepatah " sebab pulut santan binasa, kerana mulut badan merana" begitulah yang dikhuatiri seandainya pimpinan kerajaan masih terus mendengungkan kepada khalayak kononnya Hindraf mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di mana ia memberi ruang kepada agen perisikan Amerika untuk berada di negara ini atas nama keamanan sejagat.
Kalau benarlah Hindraf mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE seharusnya pertubuhan tersebut mesti dikuburkan keakar umbi kerana kesannya amat serious dan amat parah terhadap keselamatan serta kedaulatan negara yang pastinya terdedah untuk segera dijengah oleh pasukan badan perisikan CIA. Jika terbukti ujudnya gerakkan sedemikian, rakyat yang cinta damai pasti berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan dalam sebarang bentuk tindakannya.
Tetapi,bagaimana pula jika andaian tersebut sekadar usaha Abdullah mencari talian hayat politiknya? Hanya kerana mahu mengalihkan pandangan rakyat supaya terus menyokongnya maka dilontarkan kenyataan bahaya itu sebagai alasan bagi mengizinkan penangkapan keatas musuh-musuh politik Abdullah Ahmad Badawi, tentulah ia merupakan tindakan paling merbahaya terhadap kedaulatan negara.
Janganlah hanya kerana mahu menyelamatkan kedudukan politik Abdullah Ahmad Badawi maka Ketua Polis Negara serta Peguam Negara tergamak menjerumuskan bumi bertuah ini untuk dijengah oleh CIA yang memang mencari upaya melebarkan cengkamannya dirantau sebelah asia. Saya berdoa agar janganlah bumi tercinta ini menerima nasib malang seperti Iraq.
Iraq dihancurkan oleh Amerika kerana kekayaan hasil buminya. (Seluruh dunia tahu ) Pembohongan rekaan Bush begitu meyakinkan badan dunia kononnya terdapat senjata pemusnah massa serta adanya hubungan Al Qaeda dengan Sadam Husein mengakibatkan Iraq diserang dan meninggalkan kesengsaraan cukup parah terpaksa ditanggung oleh rakyatnya.
Bagaimanapula jadinya jika pimpinan MCA dan MIC serta Gerakan membuat kenyataan PAS mempunyai hubungan dengan Al Qaeda dan puak-puak pengganas seperti PALO di Selatan Thailand serta gerakkan MNLF di Filipina? Hanya kerana mahu menyauk pengaruh kalangan pengundi Cina dan India kesemua parti dibawah panji Barisan Nasional senada membuat kenyataan bohong sedemikian, tentulah parah jadinya kestabilan keselamatan negara.
Saya cukup khuatir bila mendengar lontaran kenyataan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara berhubung persoalan kumpulan pengganas LTTE di mana kesannya bukan sedikit, malahan ia pasti mengundang musibah lebih teruk lagi.
Kalaupun mahu mencari alasan untuk menangkap musuh politik Abdullah Ahmad Badawi, janganlah sampai hati menjerumuskan negara kekancah kalut tidak menentu serta membuka ruang menyebabkan berlakunya campurtangan Amerika di bumi Malaysia.
Para perancang strategik politik Abdullah Ahmad Badawi seharusnya meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi mereka. Kalaupun politik menghalalkan cara, namun tidak semestinya percaturan marahkan nyamuk kelambu di bakar.
Tanganilah percaturan politik secara berhemah dan benar-benar sebagai anak jantan. Jangan diizinkan tragedi si Kitol di bumi Melaka kembali berulang..... fikir-fikirkanlah.
Mereka yang berada ditampuk kuasa seharusnya lebih berhati-hati jika mahu melontarkan sebarang kenyataan. Fikirkanlah kesannya terlebih dahulu sebelum ia dijadikan alasan.

Monday, 10 December 2007

TANGKAPAN DISANA SINI

LAPAN orang dari lebih 100 orang pejalan kaki keamanan sempena hari Hak Asasi Manusia sedunia akhirnya direhatkan dirumah pasung. Empat dari mereka adalah pengamal undang-undang (peguam) termasuk encik Demon selaku Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi manusia majlis peguam Malaysia.
Ahmad Sabu (Naib Presiden Pas), Tian Chua ( Naib Presiden Keadilan), Dua mangsa yang terkena tembakan polis di Batu Buruk Kuala Trengganu, Ezril dari parti Keadilan diberitakan turut berehat dirumah pasung.(Lokap Polis) menanti untuk dibiacarakan.
Jeff Ooi dari laman Malaysia kini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk siasatan polis berhubung kenyatannya di stesen Tv Al Jazeera. Menurut Datuk Ruhanie Ahmad (Blog Kuda Kepang) empat lagi penulis blog sudah tersenarai untuk berehat dirumah pasung.
11 Disember 2007 nanti siapa pula akan dipasung apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetuai perarakan di bangunan Parlimen sebagai tanda sokongan terhadap cubaan Ahli Parlimen Pokok Sena Salahuddin Ayub membawa usul membantah penyambungan khidmat Tan Sri Rashid sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya.
31 pemuda Hindraf yang melakukan demosterasi di Batu Caves dan Jalan Ampang dua minggu lalu gagal memperolehi ikat jamin untuk dibebaskan sementara menanti hari perbicaraan apabila Peguam Negara terpaksa turun sendiri ke mahkamah seksyen Shah Alam meminta agar mereka tidak diberi jaminan kerana tuduhan keatas mereka adalah cubaan membunuh serta dikhuatiri mempunyai hubungan dengan pertubuhan penganas di India LTTE. (Namun begitu andaian tersebut telah dipadamkan oleh hakim).
Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa pihaknya tidak akan bertoleransi dengan sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang. Dengan nada tegas beliau menyatakan bakal memberkas dan memasung mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Kita sokong, kita terima dengan hati terbuka saranan tersebut. Tetapi bukanlah hanya tertumpu kepada demonstran sahaja. Bagi mereka yang menyalah gunakan kuasa, melakukan rasuah serta merampok harta rakyat juga adalah melanggar undang-undang dan perlu dipasung supaya dapat menjadi tauladan kepada warga cinta damai.
Amat tidak berhemah rasanya kalau Perdana Menteri sekadar mahu tindakan diambil keatas mereka yang disifatkan melanggar undang-undang kerana berhimpun secara aman untuk menyuarakan suara hati sedangkan penjenayah dibiarkan bebas.
Sebagai warga cinta damai dan pembayar cukai , kita menuntut agar Abdullah Ahmad Badawi mengotakan cakapnya untuk memasungkan siapa sahaja yang melakukan pencabulan terhadap undang-undang. Untuk itu segeralah siasat menteri yang dikatakan melakukan rasuah tersohor seperti terdapat dalam laporan GREAK.
Disamping itu pihak berkuasa juga haruslah segera menyiasat kekayaan mengejut beberapa orang kelaling Abdullah seperti Rezal Marican, Norza Zakaria, Khir Toyo, Khairy Jamaluddin, Kalimullah Hassan dan ramai lagi kalangan mereka bernama pemimpin. Dari mana mereka memperolehi kekayaan tersebut sedangkan gajinya baru lima enam ribu tetapi mampu memiliki rumah mewah bernilai jutaan ringgit. Cakap mesti serupa bikin Dolah hoi!!!!
Semasa menatap gambar iklan Unibersiti Terbuka berhubung perlantikan Jaene Danker (isteri Abdullah Ahmad Badawi) dengan pakaian resmi unibersiti tersebut tergambar ditangannya memakai jam jenama chopard dianggarkan bernilai lebih RM 150,000.00. Dan kitapun ingin bertanya masakan gaji sebagai "battler" di Seri Perdana mampu untuknya memiliki permata tersebut? Kalaulah itu merupakan hadiah perkahwinannya dari mana pula Perdana Menteri memperolehi wang sejumlah itu? Kaya sungguhkah Abdullah Ahmad Badawi?

Thursday, 6 December 2007

PEMBANTU RUMAH JADI CHANSELOR UNIBERSITI

SABTU ini bakal dimasyorkan isteri Abdullah Ahmad Badawi bernama Jaene Danker sebagai Chanselor Unibersiti terbuka Malaysia menggantikan Allahyarhamah Datin Seri Hendon.
Permasyoran tersebut bakal diadakan sempena majlis konvokesyen Unibersiti tersebut bertempat di Putra Dagang Duinia Putra (PWTC). Demikian menurut Naib Chanselor Tan Sri Anwar.
Begitulah hebatnya rencam kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang sentiasa dikelilingi oleh kalangan pengampu, pembodek dan penjilat Perdana Menteri untuk kekal menjadi sebahagian dari golongan masyarakat Elit.
Kerana itu usahlah dihairankan kenapa tahap mutu pengajian unibersiti serta pusat pengajian tinggi di negara ini semakin susut kebelakang berbanding dengan dunia luar.
Sekadar lontaran fikiran kita ingin bertanya kepada para penjawat jawatan penting di Pusat Pengajian Tinggi,apakah kriteria untuk sesaorang itu boleh dilantik sebagai Chanselor?
Khabarnya sebelum bernikah dengan Abdullah semasa dia masih menjadi isteri ipar Perdana Menteri , Jaene Danker turut terlibat membuka perniagaan restoran pub yang turut menjual arak. Selepas kedai arak itu tutup Jaene dilantik pula menjadi ketua pembantu rumah "battler" di kediaman Timbalan Perdana Menteri oleh Datin Seri Hendon.
Tidak diketahui dari Unibersiti mana Jaene memperolehi kelulusan dalam pengajiannya. Kalau dia tidak mempunyai latar belakang akademik serba memberangsangkan bagaimana boleh di lantik sebagai Chanselor bagi sesabuah unibersiti?
Sementara itu pada 11 Disember 2007 pula persidangan Dewan Rakyat bakal membentangkan pindaan akta suruhanjaya pilihanraya untuk bacaan kali kedua berhubung perlantikan Pengerusi suruhanjaya tersebut yang mahu dipinda supaya penjawat jawatan tersebut boleh dilantik sehingga berusia 66 tahun.
Pengerusi suruhanjaya pilihanraya sekarang Tan Sri Abdul Rashid bakal tamat tempoh memegang jawatan tersebut pada 31 Disember 2007 selaras dengan peruntukan perlembagaan dan akta suruhanjaya pilihanraya menghadkan usia pengerusinya setakat 65 tahun sahaja.
Apakah kerana mahu mempertahankan supaya Tan Sri Rashid boleh terus kekal walaupun untuk tempoh satu tahun lagi maka kemulian Parlimen sebagai pembuat dasar dipergunakan bagi memenuhi hasrat serta impian Abdullah Ahmad Badawi?
Ironisnya, bacaan kali kedua akan dilakukan pada 11 Disember selepas itu ia perlu dibawa kepersidangan Dewan Negara (senat) sebelum dimasyhorkan sebagai pindaan akta untuk ditandatangani oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
Seandainya Baginda Agong berkenan maka sebelum dakwat kering, kedudukan Tan Sri Rashid terjamin untuk tempoh satu tahun lagi. Bagaimana pula jika kebawah Duli Agung tidak berkenan? Walaupun pindaan perlembagaan sejak tahun 1987 memutuskan jika sesuatu pindaan tidak mendapat perkenan ia tetap menjadi undang-undang selepas tempoh tiga puluh hari.
Jika keadaan ini berlaku apakah wajar Tan Sri Rashid meneruskan khidmatnya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya kerana sebelum pindaan akta tersebut diperakui beliau telahpun melewati tempoh had yang dibenarkan oleh undang-undang.
Dalam waktu yang sama ia membawa maksud bermula dari 31 Disember 2007 Suruhanjaya pilihanraya mengalami kekosongan Pengerusinya dan jika akta tersebut diterima pakai saat itu kedudukan Tan Sri Abdul Rashid sudahpun melewati musim persaraannya. Fikir-fikirkanlah.
Alahai Abdullah Ahmad Badawi, terlalu banyak rencam dan onak sempang peranang denai politiknya. Kerana itulah amat wajar untuknya memikirkan jalan keluar dengan mengundurkan diri segera dari Seri Perdeana agar rakyat berkesempatan memperolehi pimpinan yang baru sebagai usaha menyelamatkan situasi serba merencam ini.
Kalau benar-benar mahu menjadi seorang muslim yang baik eloklah Abdullah Ahmad Badawi berpekerti baik kerana rakyat semakin lantang menyuarakan kata-kata "jaga baik-baik dirimu duhai Abdullah...."

Tuesday, 4 December 2007

MUNAFIK !!! MUNAFIK !!! MUNAFIK !!!

BILA Abdullah Ahmad Badawi menyatakkan dirinya seorang muslim yang baik menjadikan rakyat jelata ketawa terbahak-bahak. Malahan ada juga tersedak sewaktu makan "apam buluh". Hebat sungguh lakonan seorang Perdana Menteri untuk meraih simpati dari rakyat yang kian bercelaru.
Sebelum itu Abdullah Ahmad Badawi bersuara garang menyatakan dia "Pantang di Cabar", dan apabila lebih 100,000 rakyat menyahut cabarannya berkumpul di Dataran Merdeka dia benar-benar terkedu serta tergamam menyedari hari-hari terakhirnya kian hampir.
Kerana itu jugalah Abdullah Ahmad Badawi melontarkan kenyataan bahawa dia benar-benar marah serta amat marah terhadap kumpulan Hindraf. Namun begitu disebalik kemarahannya dia berlapang dada bersedia pula menerima kedatangan hindraf jika mahu berbincang.
Biar apapun, lebih memeranjatkan masyarakat Islam apabila mendengar kenyataan Abdullah bahawa dia juga memberi wang kepada masyrakat Hindu untuk membena kuil.
Di saat seluruh umat Islam bertumpu ke kota suci Mekah kerana berlangsungnya perhimpunan jutaan umat manusia menunaikan ibadat haji perdana menteri memberitahu bahawa dia seorang muslim yang baik.
Sebagai bukti tanda dia seorang muslim yang baik maka pihaknya turut membiayai pembenaan kuil. Biarpun kenyataan tersebut boleh melunturkan aqidah serta pegangan umat Islam itu semua tidak penting baginya. Persoalan undi serta upaya meraih kuasa lebih diutamakan olehnya.
Sebagai seorang mukmin saya meminta agar Abdullah Ahmad Badawi segera beristighfar banyak-banyak atas keterlanjuran baghalnya sebagai pemimpin imam hadhari menghebahkan dia memberi wang untuk membena kuil hindu. Kalau benarpun dia mahu membuktikan tolerasinya terhadap kebebasan beragama janganlah sampai boleh memerangkap seluruh umat Islam menjadi goyah pendiriannya terhadap kesyumulan serta kesucian agama Islam.
Sebahagian daripada terjemahan ayat suci Al Quraan surah "Kulya Aiyuhal Kafirun" maha agung Allah telahpun memperjelaskan secara terang dan nyata bahawa " agama mu agama mu dan agama ku adalah agama ku" membawa maksud tidak ada sebarang kompromi terhadap pegangan.
Bagaimana boleh seorang muslim yang baik menghebahkan bahawa dia turut memberi wang untuk membena kuil sedangkan nabi Allah Ibrahim terkenal meruntuhkan patung-patung Latta dan Uzza di kota Mekah? Dalam konteks yang sama juga baginda Rasulullah juga tidak pernah mengaku dirinya baik meskipun baginda diperakui sebagai maksum oleh Allah.
Tidakah Abdullah Ahmad Badawi pernah terbaca kenyataan Saidina Abu Bakar sewaktu dilantik sebagai Khalifah Islam yang pertama selepas wafatnya Rasulullah antara lain baginda berkata " sesungguhnya aku bukanlah yang terbaik diantara kamu, namun demi kesucian Islam hukumlah aku dan turunkan aku dari takhta ini jika aku menyeleweng..." Aduhai Dolah oh Dollah, sudah semakin jelas kemunafikkannya.
Beberapa orang teman menghantar kiriman sms berhubung kenyataan Abdullah Ahmad Badawi mengatakan dirinya adalah seorang muslim yang baik. Antaranya mencatatkan :-
"Muslim yang baik tidak eksploit mak bapk untuk kepentingan politik, tidak membohongi sesama muslim, tidak membenarkan anak menantu,ipar duai kaut harta orang ramai dengan menggunakan tipu helah media, amanah kuasa dan pengaruh yang diberikan.Muslim yang baik takut pada tuhan,pelihara maruah Islam, tidak mengaku wara' atau mahu ditanggapi sebagai wara' , tawaduk,ikhlas. Muslim yang baik cukup takut memiliki sifat syirik,kufur dan nifa' (munafiq) tidak tahulah pula ada orang menggunakan Al Quraan untuk kepentingan dirinya. Jagalah diri mu dan keluarga mu dari api neraka. Muslim yang baik tidak memikirkan seluruh kahazanah negara adalah untuk keluarganya...." catatan seorang teman menggunakan singkatan DAN.
"Saya boleh disogok, saya boleh digosok, saya cuma tak boleh nak buat apa-apa sebab saya nak tidur. Sebab itulah saya seorang muslim yang baik sebab saya seorang yang beriman, saya seorang yang bersih, saya seorang role model Malaysia, saya seorang yang punya telinga besar dan boleh mendengar... ya saya dengar... saya dengar cuma tapinya sekarang saya tengah marah." kiriman abdjin.k
"Yang mahu dicari bukan 'good muslim' sebagai perdana menteri, yang dicari adalah pemimpin muslim yang efektif.Abdullah otak gred D, cukup untuk dirinya sahaja..." kiriman Jadawi Badawi.
"Pak Lah tak senyap, cuma bengap.Telinga lebar macam gajah, bukan pekak badak, otak saja slow..Dia kata telinga dia besar, tetapi telinga gajah lagi lebar cuma otaknya saja kecil untuk kerja tarik kayu balak..." Jatt
"Menurut Mohamad Abas,Presiden rakyat Palastin, beliau berhasrat mahu menjadi seorang muslim yang baik...Mahmud Ahmadenejad (Presiden Iran) berkata kami mahu berusaha kearah menjadi musilm yang baik. Namun begitu Abdullah Ahmad Badawi pula berkata dia seorang muslim yang baik....." DIA Jebat.
"Abdullah kata dia seorang muslim yang baik tapi sebenarnya dia lembab. Sabda Rasulullah s.a.w Muslim yang baik dan kuat adalah lebih baik daripada muslim baik yang lembab. Orang jahatpun tuhan soal juga bila di akhirat nanti,masaalahnya bolehkah Abdullah menjawab beberapa soalan yang belum terjawab olehnya dengan rakyat...." DHM pimpinan kelate.
Demikianlah beberapa posting sms yang dihantar kepada saya melalui kiriman sms. Biar apapun diucapkan terima kasih kepada Abdullah Ahmad Badawi kerana memberikan saya ilham menghasilkan sajak bertajuk :- Saya seorang ,muslim yang baik.


SAYA SEORANG MUSLIM YANG BAIK

Tengok kanan pandang kiri
mari kita sauk apa yang ada
ajaran hadhari tidak boleh tunggu sampai dinihari
nanti dikatakan takut bini...

hubaya-hubaya semua
dengar .... dengar... dan dengar
saya seorang muslim yang baik
mampu tidur seranjang bersama jin
tuhan pun menganugerahkan kepada saya
seorang cucu bergelar malaikat Jibrail

Saya seorang muslim yang baik
bena kuil hindu dan pungut hasil judi
keliling saya ramai taukeh arak
macai rumah urut dan sarang pelacurpun ada
semua tunduk takut kepada saya
kerana saya seorang muslim yang baik

Saya tidak kumpul harta berjuta
jangan marah pula pada anak menantu saya
kerna mereka bukan peminta sedekah
otaknya bergeliga seperti Hang Nadim
punya ijazah dari luar negeri
boleh jadi calon Perdana Menteri

Ayuh mari kita sapu apa yang ada
tembolok rakyat usah dihiraukan
harga minyak naik bukan kerana saya
itu angkara politik Amerika
Tol naik bukan kerja saya
cuma Sammy Vellu terlupa nak kira
harga barang naik bukan masaalah saya
kerana Shafie tak bijak membedal
jenayah bertambah bukan kerja saya
pasukan keselamatan dan polis semuanya handal
kerana saya adalah seorang muslim yang baik.

Usah gusar dan jangan marah
setiap keluhan rakyat saya dengar
telinga saya terbuka lebar lebar
bukanlah saya pekak badak
cuma sesekali terlelap
bila menatap laporan gerak
banyak cakap tapi tiada bukti
tunggulah... nantilah saya tetap bertindak
sebab saya seorang muslim yang baik.


Kamal Amir
Restoran Makbul
Taman Tun Dr.Ismail

Friday, 30 November 2007

MAAFKAN AKU TUAH

Tuah!!!
maafkan aku saat ini
untuk tidak bersama mu lagi
bukan kerna bujukan berahi
janji bulan madu diperaduan mimpi

Tuah!!!
sumpah setia yang kita ukir
di lereng bukit seguntang
saat menanti turunnya Demang Daun Lebar
memeterai ikar seribu janji bersama Sang Sapurba
tiada upaya ku pertahankan lagi
maafkan aku.... maafkan aku Tuah!!!!!

Warisan bahtera merdeka kita
layarnya kian robek
badai angin selatan semakin ganas
dan saat sebegini
yakin ku cuma Jebat
benar Tuah
cuma Jebat punya upaya
menyongsong taufan halilintar berpuaka

Aku tidak punya pilihan lain Tuah
Si Kitol bersama mamak mandaliar
onarnya tiada sempadan lagi
kelmarin.....
kepok padi kita hangus terbakar
harum kasturi budi
calar dan layu
pudar serinya

Lihat Tuah
buka mata mu...buka telinga
dengar dan perhatikan onar si kitol bersama mandaliar
mengadu domba setiap pedagang
memasang lukah di air yang keruh
pintar berseloka gurindam beracun
gelojoh membaham ulam raja

Kata mu
tak kan Melayu hilang di dunia
patang anak bumi menderhaka
kerja raja dijunjung
kerja rakyat digelek
hati kuman sama dicecah
hati gajah sama di lapah
masih ku ingat pesan mu Tuah

Senja tadi bersama lembayung kuning
Jebat meminta ku
segera mengusap jampi serapah
besi kursani diasah limau
lima loknya ku asap kemiyan
bersama mentera adi satria
berpatah sayap bertongkatkan paruh
namun ku daki ku daki jua

Maafkan aku sekali lagi Tuah
menjejak Jebat terbilang
demi pertiwi ini
sekali melangkah berpaling tidak
akan ku pulas telinga si nadim
nakalnya keterlaluan amat
mengundang si kitol bertamu di ladang
ubun-ubun masih lembut
mahu berpencak di tengah gelangang

Usah kau kesali untung nasib ini
akan ku pertahan setia kita
Melayu tak kan hilang di dunia
izinkan Jebat membuka langkah
raja adil raja di sembah
raja zalim raja disanggah
maafkan aku Tuah!!!!!!

Wednesday, 28 November 2007

HINDRAF JANGAN MAIN KASAR



SIMPATI terhadap himpunan Gerakan Hak Asasi Masyarakat Hindu @ HINDRAF yang gagal memperolehi permit untuk menganjurkan perhimpunan aman dalam usaha menghantar memorandum kepada Persuruhjaya Tinggi British di Jalan Ampang Ahad lalu (25 November 2007) tiba-tiba sahaja bertukar menjadi gelodak amarah.
Penangkapan ke atas tiga orang pimpinan Hindraf dikepalai oleh peguambela Utayyah mengamit rasa kasihan kerana tidak seharusnya begitu caranya menangani sebarang himpunan aman tiba-tiba bertukar jadi marah.
Sebaik sahaja terbaca tuntutan yang diukirkan oleh Hindraf saya merasa cukup terkilan dan tertipu oleh percaturan licik pimpinan Hindraf kerana mengambil kesempatan atas kebangkitan rakyat untuk melakukan demonstrasi apabila tuntutan mereka amat sadis serta cukup racis dan perkauman.
Kenapa harus begitu jadinya? Siapakah dalang disebalik tuntutan tersebut? Dan saya cukup berkeyakinan seluruh masyarakat India yang sanggup datang berbondong-bondong untuk menyertai himpunan tersebut pasti merasa tertipu oleh percaturan sengkek, keparat,racis,jijik oleh pimpinan Hindraf.
Petang tadi seorang pemuda bernama Silva dari Rawang menghubungi saya, nombor telefonnya tertera 0360281678 dan beliau menyatakan seperti ada percaturan politik yang sengaja dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan usaha himpunan melalui beberapa siri provokasi.
Beliau yang turut menyertai himpunan tersebut menyatakan tidak benar kalangan demonstran melakukan tindakan ganas merosakkan kuil di Batu Caves. Malahan kehadiran mereka adalah atas kerelaan untuk melihat aroma demokrasi benar-benar dipulihkan dibumi tercinta ini.
Menurut Silva lagi, tidak pula diketahui adanya tuntutan yang cukup berbau perkauman secara menuduh orang Melayu melakukan penghapusan etnik serta membunuh setiap hujung minggu.
"Itu tidak benar, kami datang beramai-ramai dengan tekad seperti juga himpunan bersih untuk menyatakan kepada pimpinan hari ini peritnya kehidupan rakyat bawahan. Kami merasa cukup tertekan oleh beban kenaikkan harga barang dan untuk hidup terasa cukup sukar. Tidak pula kami berhasrat mahu bertelagah dengan orang Melayu." ujarnya lagi.
Sesungguhnya apabila menatap pernyataan Hindraf yang dihantar kepada Suruhanjaya British melalui fax yang menuntut agar baginda Queen di England campur tangan terhadap perlakuan pembersihan etnik {Etchnic cleansing} dan terdapatnya kejadian pembunuhan setiap minggu, rasanya itu sudah cukup melampau.
Disamping itu dari rakaman gambar-gambar yang diambil oleh teman-teman foto journalis menggambarkan beberapa demonstran mempamirkan gambar Mahathma Gandhi rasanya itu sudah melangkaui batas. Bagaimana boleh seorang warga negara Malaysia lebih mengagungkan pemimpin dari luar?
Apa perasaan mereka jika berlaku pula perarakan orang Melayu membawa gambar Bung Karno dan Si Pitung yang mengusir penjajah dengan buluh runcing? Atau ada pula beberapa orang masyarakat keturunan Portugis membawa gambar Eduardo Puncet atau Guacera.
Tentulah tidak patut seandainya ada pula kalangan pimpinan masyrakat China membawa gambar mendiang Chia Kai Sekh atau mendiang Chow Eng Lai mahupun gambar Maharja Hirohito. Tindakan sedemikian pastilah dilihat melangar batas-batas ketertiban.
Persoalan yang diutarakan adalah bagaimana rakyat marhain mahu mengangkat persoalan hidup serba memeritkan dalam rejim kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kita warga cinta damai di bumi merdeka ini seharusnya tetap setiap terhadap tanah air kita, bukan mengangungkan pimpinan dari luar.
Hairannya Perwira Mat Lela Gila yang selama ini begitu hebat melontarkan retorik politiknya kenapa boleh diam membisu? Malahan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang mewarisi darah pahlawan Turki yang seringkali mengucup keris lok lima kenapa terdiam seribu bahasa.
Tindakan hindraf sudah melampau, tuntutan hindraf juga harus dilihat sebagai kebiadapan terhadap murninya umat Melayu untuk sentiasa bertoleransi menghadapi sesuatu isu, bukan menangani secara "membabi buta".
Hindraf tidak boleh mendakwa masyrakat India terpinggir, Hindraf tidak juga boleh sebegitu celupar menuduh orang Melayu beragama Islam melakukan penindasan serta membunuh. Itu sudah lebih...... Tuduhan sedemikian amat bahaya. Janganlah dicarik-carik hati umat Melayu yang sentiasa reda menerima kehidupan bermasyrakat majmuk.
Kalau benar bangsa Melayu menindas G.S Gilla, Kishu ataupun Ananda Krishnan tidak akan jadi orang terkaya di bumi ini. Kalau Melayu menindas tentunya Samy Vellu tidak akan punya kesempatan membuncitkan perutnya dan tembolok kaum kerabat untuk hidup serba mewah. Malahan kalau Melayu melakukan pembunuhan setiap minggu V.K Lingam tidak mungkin punya kesempatan untuk bercuti dengan hakim Melayu.
Sejarah di bumi merdeka ini tidak pernah bertindak sebegitu kejam terhadap masyrakat India. Yang melakukan perobohan kuil bukan semua Melayu, malahan surau umat Islam di Kampong Berembangpun ranap dilanda jentolak oleh kerajaan Khir Toyo. Setingan Melayu turut dihalau bagaikan anjing kurap.Tapi orang Melayu tidak pula mengatakan ujudnya pembersihan etnik.
Usahlah keterlaluan dalam membuat tuntutan yang bukan - bukan. Soal Hindraf mahu kerajaan Inggeris membayar empat trillion dollar kepada masyarakat India itu anda punya urusan. Orang Melayu tidak akan menyaman kerajaan Inggeris kerana mensyarakatan adanya perjanjian Josulai hingga sanggup menjadikan orang asing sebagai warga negara.
Sudah-sudahlah mengadu domba. Kita perlu hidup dibumi ini secara bermasyrakat. Saling hormat menghormati antara satu sama lain. Ikutlah bidalan Melayu, di mana bumi di pijak disitu langit sama-sama kita junjung. Padah jangan diundang.
Dalam konteks ini saya juga teringat tingkah laku Samy Vellu yang menyatakan bahawa dia tidak mahu menyambut hari Deepavali dengan mengadakan rumah terbuka kerana sedih apabila sebuah kuil Hindu dirobohkan oleh kerajaan Selangor.
Dan semasa perbahasan di Dewan Rakyat siang tadi,Ahli Parlimen dari Cmaneron Highlans, Swany telah melontarkan kenyataan cukup menghiris hati apabila dia menuduh berlakunya penindasan terhadap masyarakat India.
Bagaimana boleh terjadi ahli Parlimen dari Barisan Nasional membelasah kerajaan yang diwakilinya? Adalah lebih "gentleman" jika dia memilih meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dari terus bersikap bagai duri dalam daging.
Inilah gambaran sebenar kalangan sidang pengampu Abdullah Ahmad Badawi yang berada dalam kelompok kerajaan campuran Barisan Nasional. Dan ini juga merupakan gambaran bahawa mereka juga turut terhakis kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Saturday, 24 November 2007

PERTANYAAN BUAT GABENOR BANK NEGARA



SELASA (2 Oktober 2007) Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bercakap lagi tentang pembangunan koridor di tiga buah kawasan meliputi Pembangunan Wilayah Iskandar, Pembangunan Koridor Utara dan Pembangunan Koridor Pantai Timur tidak termasuk bagi negeri Sabah dan Sarawak .

Dengan penuh semangat Abdullah menyatakan dari sejumlah empat puluh billion ringgit yang bakal digunakan seawall hujung tahun ini dalam usaha memulakan program serba mega itu, kerajaan dbakal menanggung sebanyak empat billion ringgit sementara selebihnya datang dari pelaburan asing (Fif).

Dalam erti kata lain suka atau tidak kerajaan kena keluar belanja dahulu sebelum kedatangan para pelabur samada dari kalangan masyarakat arab, Yahudi atau siapa sahaja termasuk dari Singapura seperti yang diwar-warkan sebelum ini hingga memaksa terbentuknya satu jawatan kuasa peringkat menteri antara Malaysia dan Singapura.

Kerajaan harus keluar belanja besar terlebih dahulu yang tentunya datang dari kantung hasil wang rakyat sebelum kemasukkan dana pelaburan asing.Berjaya atau tidak, yakin mahupun sebaliknya para pelabur luar itu bukan soal utama, bagi Abdullah Ahmad Badawi, pembangunan tersebut mesti diteruskan.

Terkadang bila melihat cara boros Abdullah Ahmad Badawi berbelanja terasa “serun” juga di hati kecil kita sambil berfikir jika berterusan keadaannya mampukah khazanah menampung semua itu? Ikut suka dia sahaja lagaknya Abdullah berbelanja.

Untuk menyebut dua tiga ratus ribu ringgit bagaikan terasa cukup malu baginya, bak kata bahasa pasar jumlah lima enam ratus ribu ringgit sekadar celah gigi sahaja. Untuk seorang Perdana Menteri bernama Abdullah, setiap kali membuka mulut, jumlahnya mesti ratusan juta atau billion ringgit, dan kalau boleh terselit juga perkataan trillion ringgit, itu baru hebat namanya.

Kalangan pengampu dan pembodek Abdullah Ahmad Badawi cukup megah jika dapat menjaja kehebatan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan pembangunan dengan jumlah besar-besar. Paling tidak biar orang kampong terlopong sambil “biul” mengira jumlah wang sebegitu banyak.

Lagi besar jumlahnya lagi hebatlah kononnya pimpinan Abdullah Ahmad Badawi sebagai peneraju utama kerajaan Malaysia. Samada ia cerita benar, dongeng atau sekadar angan-angan Mat Jenin, itu bukan persoalan utama. Paling penting minda orang kampong mesti dikelabui tentang kehebatan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Tahun lalu sahaja untuk menarik hati ahli Umno supaya memuji kehebatannya, semasa menutup perhimpunan Agung parti tersebut Abdullah mengumumkan peruntukan sejumlah enam ratus juta ringgit dibahagi-bahagikan sama rata, sama banyak dikalangan ketua-ketua Umno Bahagian.Macam cerita penyamun Tarbus, “satu untuk engkau, satu untuk aku….!”

Kerja memfaraid harta rakyat oleh Abdullah Ahmad Badawi ternyata cukup menjijikkan bila kalangan wakil rakyat atau pimpinan parti politik di Sarawak tidak memperolehi sebarang peruntukan dari jumlah tersebut. Ia hanya untuk pimpinan Umno. Persoalan samada boleh dilakukan sedemikian dari tuntutan perlembagaan menyangkut urus tadbir negara bukan penting baginya.

Abdullah Ahmad Badawi mesti dilihat hebat, mesti dipuja oleh ahli-ahli Umno sebagai “santa claus” yang mampu menjelmakan setiap mimpi dan harapan rakyat. Terkadang gambaran serta imej cuba dibentuk oleh kalangan pengampu dan pembodeknya seolah-olah beliau mempunyai lampu ajaib sehebat Aladdin. Kerana itu setiap ahli parti mesti menyokongnya.

Belum pernah sebelum ini seorang teraju utama parti Umno berani mencabar atau membelakangkan persoalan etika urus tadbir negara. Malahan zaman Allahyarham Tun Razak sendiri tidak berkeupayaan mendahului keputusan Menteri Kewangan untuk membena sebuah kolam renang dirumahnya apabila cadangan tersebut dibatalkan kerana kantung poket negara masih kempis.

Bertanyalah dengan mereka yang pernah berkhidmat sezaman dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein Onn mahupun Tun Dr. Mahathir Mohamed. Setiap mereka begitu berhemah berbelanja wang dari kantung negara kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah merupakan wang rakyat. Malahan Gabenor Bank Negara seharusnya dibincang dan dimaklumkan terlebih dahulu jika mahu membelanjakan wang tersebut.

Bercakap tentang Gabenor Bank Negara Tan Sri Ezaity Abd. Aziz, kita cukup berkeyakinan terhadap intergeritinya kerana selain dari perwatakannya sebagai wanita yang seringkali tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha merobek intergeriti peribadinya, beliau juga datang dari sebuah keluarga elit Melayu (Profesor Di Raja Ungku Aziz) dan ibunya terkenal sebagai wanita berwibawa ketimuran Puan Sri Azah Aziz “Kak Azah Aziz”.

Setiap graduan Unibersiti Malaya yang berkesempatan bernaung dibawahnya memuja Pak Ungku sebagai Melayu paling berintergeriti, Kak Azah juga dikalangan masyrakat penulis melihatnya sebagai “journalis berintergriti” dan Ezaity sendiri satu-satunya anak tunggal bagi pasangan elit Melayu ini juga sebelum menjawat jawatan tertinggi di khazanah negara cukup hebat latar belakang pengajian serta cara bekerjanya.

Dengan latar belakang intergeriti serta pengetahuan sebegitu meluas, Seharusnya seluruh rakyat bertanya kepada Ezaity, sejauh mana mampannya upaya negara dalam mencanai dan merealisasikan “mimpi mega “ Abdullah Ahmad Badawi yang bakal menelan belanja ratusan billion ringgit itu?.

Bolehkah Ezaity memperjelaskan kemampuan sebenar kita menjana wang sebegitu besar.? Kita tidak mahu mendengar jawapan “kemungkinan kehadiran pelabur asing” kerana sesuatu yang mungkin adalah tidak pasti. Dasar ekonomi negara tidak seharusnya berada dalam samara-samar. Jika sesabuah keluarga memiliki ketua merancang ekonominya setiap hari berteraskan situasi ekonomi samar – samar tentu bakal mengundang padah dan pasti akan ada anak kebuluran jadinya..

Dan untuk itu kita ingin penjelasan sejujurnya dari Ezaity, kantung wang negara tinggal berapa, simpanan kita jumlahnya berapa banyak? samada di dalam mahupun di luar negeri. Dan paling penting bolehkah direalisasikan “mimpi siang hari” Abdullah terhadap ketiga-tiga pembangunan koridor utara Timur dan Selatan itu?

Ezaity perlu insaf bahawa setiap lafaz pernyataannya tidak hanya dituntut oleh rakyat, sebaliknya ia turut akan menjadi sebahagian daripada kontens utama perbicaraan di Padang Masyhar, bagaimana anda menguruskan keyakinan serta amanah rakyat. Dan bertolak dari kenyataan inilah saya amat yakin Ezaity pastinya bakal menyatakan “kantung kocek negara tidak berkemampuan menjadi dana utama pembangunan ketiga-tiga koridor” atau secara berterus terang beliau mungkin juga bakal menyatakan “ projek tersebut hanya mampu dilakukan dalam bentuk sederhana……..

Namun begitu kita juga ingin bertanya dengan Ezaity, sebenarnya sejak menjadi Perdana Menteri berapa banyakah wang rakyat telah dibazirkan oleh Abdullah Ahmad Badawi bersama sidang wazirnya. Dan rakyat menuntut Ezaity bercakap sejujurnya berapa pula jumlahnya bakal disauk oleh suku sakatnya lagi….!!!! Bercakaplah sejujurnya duhai isan terbilang pujaan seluruh rakyat Malaysia Tan Sri Ezaity Abd Aziz.