Sunday, 22 July 2007

SESAK NAFAS RAKYAT

KAMAL AMIR MENULIS


SEORANG ibu mencangkung dihadapan Pasaraya Jalan Hock Ann, Chow Kit Kuala Lumpur. Matanya berkaca melontarkan pandangan sayu. Setiap warga kota yang mundar mandir tiada menyapanya.

“Kakak mahu tunggu teksi ke?” saya mengajukan soalan, kerana melihat agak lama dia duduk mencangkung di situ.

“Tidak, akak tengah binggung.” Jawabnya dalam nada perlahan.

“Kenapa pula? Kakak tinggal di mana? Mungkin ada masaalah?” saya mengajukan soalan dalam bengit bahang Kuala Lumpur begitu menyesakkan oleh asap mobil yang lalu lalang.

“Akak tinggal di Keramat, tengah dok fikir, tadi anak akak minta ayam goreng, anak yang nombor dua teringin buah durian, tadi akak ke pasar ikan, harganya tuhan saja yang tahu. Suami akak bagi lima puluh ringgit buat belanja pasar, apalah yang dapat akak beli dengan wang sejumlah itu, duit simpanan akak ada tiga puluh, kesemuanya lapan puluh ringgit.” Dia diam seketika sambil anak matanya menjeling kepapan tanda pasaraya.

“Kakak datang naik apa? “ tanya saya lagi.

“Tadi naik teksi, tambang teksi mahal, nak balik nanti tentu kena bayar sepuluh ringgit, ayam dalam lima belas ringgit, ikan dan sayur tiga puluh ringgit, kalau beli buah durian sepuluh ringgit, habis macam mana akak nak beli beras dan bawang. Ini yang tengah pening akak fikirkan.

“Beginilah kak, ambil lima puluh ringgit dari saya, angaplah sedekah ikhlas dan belilah apa yang boleh untuk anak dan kirim salam pada suami kakak” ujar saya sambil berlalu.

Sepanjang memandu kereta menghala ke Bangsar Shoping Centre untuk bertemu saudara Aspan Alias (teman yang tabah mengharungi denai politik negara) fikiran diterpa persoalan, apakah begini nasibnya masyarakat marhain kesan kenaikan barang yang bagaikan tidak termampudi kawal oleh penguasa dan kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Semasa negara di bawah pimpinan Tun Razak dan Tun Husein Onn dahulu gaji masayarakat wartawan sekitar lima ratus ringgit sebulan, tapi rasanya jika punya wang sebanyak lima puluh ringgit itu sudah cukup mewah. Harga semangkuk sup kambing di Benteng empat puluh sen, roti canai Harun di Chow Kit hanya dua puluh sen, kopi tarik kedai Yusuf Suria di Jalan Hock Ann baru lima puluh sen.

Tambang bas Seri Jaya dari Perhentian Kelang menghala ke Angkasapuri lima belas sen. Nasi kandar Ibrahim Shah di Selangor Mansion satu ringgit dua puluh sen cukup mengenyangkan. Malahan boleh kepit tangan kekasih menonton filem Bobby sambil beli kacang dan kauci, duduk di kerusi kelas satu belanjanya tidak sampai lima ringgit.

Itu dulu.....! dulu.....! Era Dr. Mahathirpun tidak banyak bezanya. Belanja tiga ringgit boleh beli ayam kentucky “it’s finger licking good”.Bawa lima puluh ringgit boleh beli ikan, sayur, udang, ayam dan tempe....

Hairannya hari ini wang di tangan kalau sekadar satu ratus ringgit ke pasaraya tidak cukup berbelanja untuk satu minggu.(masyallah). Sebut apa sahaja barang keperluan, segala-galanya naik mendadak.

Menurut saudara L.Mankadir Shamsi bekas wartawan dan pernah menjadi pelakon filem “Man Laksa” terkadang dirinya merasa pelik dan cukup pelik. Untuk tidak lagi menjadi warga kota dia membuka kedai runcit di Bentong Pahang. Semasa menteri mengumumkan harga siling barangan terkawal seperti tepong dia diterpa persoalan apakah menteri tersebut tahu dan faham tentang apa yang dicakapkan.

“You tau, menteri kata harga siling dan harga runcit tepung satu ringgit tiga puluh lima sen sekilo. Sedangkan harga dari pembekal sahaja sudah RM 1.30. Mana mungkin pekedai boleh menjual dengan harga yang ditetapkan oleh pak menteri. Ini betul-betul baghal punya menteriiii...” gerutunya.

“Yang pak lah pun satu hal, siang hari siang malam minta supaya pekedai jangan naikkan harga barang, tahu ke dia harga ini semua naik melambung kerana dasar Pak Lah sendiri yang menaikkan harga minyak. Bila minyak naik semua naik. Gajahpun kalau naik minyak habis bercempera kebun pisang dikerjakan.

“Pak Lah ni tahu buat kerja ke? Jangan asyik nak bagi syarahan itu ini sahaja, fikirkan cara terbaik dan saya lihat kalau minyak turun tentulah barangan akan turun. Ini tidak, dulu saya isi kereta kacil cukup tiga puluh ringgit penuh tangki tapi sekarang kena lapan puluh, apa punya Perdana Menteri ...” gerutu Man Kadir lagi.

Lantaran itu teringat tulisan Sayuti Omar yang mempersoalkan kenapa rakyat mahu menurunkan Abdullah Ahmad Badawi dan siapa harus digantikan. Malahan dalam tulisannya lewat bicara “sesama kita” saudara Sayuti bertanya apakah kesalahan besar yang dilakukan oleh Pak Lah hingga memaksa dia segera diturunkan.

Sewaktu menunggu kedatangan saudara Aspan Alias sambil menghirup secangkir kopi di warung Dome, Pasaraya Bangsar terlihat kelibat seorang isteri menteri turun dari sebuah kereta mewah diiringi pengawal peribadi. Hebat cukup menghebatkan. Dalam tempoh tidak sampai setengah jam sudah kembali ke kereta menjinjing barangan serba mewah.

“Tu tengok isteri mentori kita, alahai cukup bergaya, berbelanja sakan bagai nak rak.” Tiba-tiba Aspan menyapa sambil menghulur salam. “Tu hah tengok tu, ada tiga buah mobil mewah jenama Brabus, sebuah mobil pasti harganya mencocah hampir satu juta ringgit. Itu semua milik anak buah budak-budak tingkat empat.” Sambungnya.

“Apa maksud saudara? “ saya bertanya sambil menyambut salamnya.

“Yang isteri mentori sibuk bergayo, shoping bagai nak rak, tahu ke dio rakyat di Pilah tengah sosak mencari belanja untuk bayar yuran dan biaya buku anak sekolah. Dan tu hah yang pakai kereta mewah Brabus, semua tu kekawan Perwira Mat Lela Gila seperti yang ekau tulis minggu lalu tu lah.

“Macam mana boleh jadi begitu ya? “ tanya saya lagi.

“Jangan polik, zaman Pak Lah semua boleh jadi, budak baru berusia dua puluh lima tahun dah boleh pakai Brabus harganya dokek satu juta. Kau tengok barang kemas isteri menteri tu, dari hujung kaki sampai ke telinganya dihias barang kemas ratusan ribu. Semuo tu ado insuran, kalau nampak mat rompit losappp . Itulah hebatnya. Macam mana mereka boleh kumpul wang sebegitu banyak jangan tanya, nanti kau kena pecat dari jadi ahli Umno . Ini era Islam Hadhari....” ujarnya lagi.

“Tadi Datuk Shafie Afdal menteri hal ehwal pengguna minta CEO pasaraya Tesco agar mempastikan harga di pasaraya tersebut sentiasa terkawal dan tidak dinaikkan secara sembrono. Apa pandangan you Pan?” saya melontarkan pertanyaan kepadanya.

“Itu lagi hampeh, Tesco tu ada di Pilah ke? Ada di Cheruk Tok Kun , Ada di Gua Musang , Kudat, Baling, Simpang Rengam, Sarikei atau mana-mana kawasan pedalaman? Apa punyo mentori? Apakah dia Cuma jaga orang Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar saja kah? Isunya bukan soal harga di pasaraya, tapi kawalan di kedai-kedai runcit. Para pekedai terpaksa menaikkan harga barang kerana kos pengangkutan sudah melambung. Selagi harga minyak naik dan terus naik selagi itulah rakyat akan di cengkam penderitaan.” Tegasnya sambil memasan secawan teh tarik.

“Bagaimana pandangan you tentang kes perbicaraan Altantuyya?” saya cuba memancing.

“Hei brother, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dongar-dongar. Ini kes bosar. Tapi zaman Pak Lah semua boleh runding. You jangan cakap I bagi tahu... inilah akibatnya kalau pemimpin itu korup, kaki rasuah, menyamun dan merompak harta rakyat, macam-macam bencana boleh menimpa negara.

“Maksud you ada kong kali kong dalam kes Altantiyya?

“Jangan tanya den, itu kena tanya AG Tan Sri Ghani Patail, den cumo tengok karenah orang politik yang dah jadi mentori, jauh bezanya dengan menteri dulu-dulu. Mentori hari ini asyik mengaut dan mengumpul harta. Rasuah tak usah cakaplah.... selagi boleh sebat mereka sebat. Berbeza dengan zaman Tengku Razaleigh Hamzah jadi menteri kewangan dahulu, kaum kerabat Tengku tidak berpeluang nak sebat projek juta-juta. Tengku tak bagi.

“Masa zaman Tengku Razaleigh dahulu beliau tidak kebas duit rakyat, masa mengasaskan Petronas dulu ada juga agen-agen orang Inggeris datang melobi untuk memberi rasuah kepadanya, tapi semua melopong kena tolak bulat-bulat. Sebab itu dia teruk kena fitnah sebab Tengku Razaleigh tidak termasuk dalam kumpulan yang melakukan rasuah. “ tegasnya sambil menghirup teh tarik yang masih berasap.

“maksud kau Tangku Razaleigh tidak mengamalkan rasuah atau kroni?

“Usahkan kroni, nak dapek projek dari Tengku kalau tidak betul-betul lebur. Tengku Razaleigh tidak mengamalkan rasuah sebab dia sendiri dah kayoooo! Pergi siasat tanah tempat bangunan Umno yang tersergam itu asalnya milik siapo? Tanah untuk tapak Pernas sapo yang punya? Tengku tidak kebas tapi dia menghulur. Fikir-fikirkanlah......” tambahnya lagi.

“Bagaimana pandangan you antara Ku Li dan Pak Lah? “ saya cuba memancing.

“Jauh....satu pemimpin Islam yang menjadikan Islam sebagai way of life, yang satu baru nak cipta Islam baru Islam Hadhari. Satu banyak memberi dari menerima yang satu lagi kebas sana sini untuk kaum kerabat. Ahhhh mari kita sembang cerita Altanttuya lagi seronok. Nak cerita pasal Pak Lah bertambah sosak nafas den.. “ ujarnya.

KERTAS PUTIH MALAYAN UNION

13 PERKARA

DILULUSKAN OLEH

PARLIMEN DI LONDON

PADA 22HB JANUARI 1946



PERKARA SATU


Bahawa adalah Negeri-Negeri yang berkenaan di dalam kenyataan ini yang mengandungi yang pertamanya Colony Negeri-Negeri Selat iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka di dalam Semenanjung Tanah Melalyu, Labuan di pantai Utara Borneo dan Pulau-Pulau Cocos – keliling di sebelah Sumatera, yang kedua Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan ketiga Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis di dalam Semenanjung Tanah Melayu juga.

Jajahan Negeri-Negeri Selat sebelum diduduki Jepun, adalah tepat di bawah pentadbiran British. Adapun di dalam Negeri-Negeri Melayu, kuasa British terletak di dalam perjanjian-perjanjian yang diadakan dengan raja-raja Melayu yang dengannya tiap-tiap seorang raja itu kekal tarafnya sebagai raja di dalam Negerinya, sekalipun tiap-tiap seorang daripada mereka itu terwajib menerima nasihat British di dalam segala perkara, kecuali di dalam perkara-perkara agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Tentang menyatukan pentadbiran antara satu dengan lainnya telah dijalankan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat di dalam sifatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi (High Commissioner) bagi Negeri-Negeri Melayu. Sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat ia memegang terus pentadbiran tanah-tanah jajahan (colony) itu.

Tetapi atas perkara-perkara yang berkenaan dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, sebagai Pesuruhjaya Tinggi, ia menjalankan kerja-kerja menerusi British Resident di dalam tiap-tiap sebuah daripada empat Negeri itu dan menerusi Federal Secretary di ibu pejabat kerajaan Bersekutu (Kuala Lumpur); di atas urusan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, dengan sifatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi juga ia menjalankan kerja-kerjanya menerusi seorang Penasihat di dalam tiap-tiap sebuah negeri itu.

Tetapi kerja menyatakan ini telah dijalankan menerusi beberapa Majlis Undangan dan Pentadbiran. Undang-Undang di dalam Colony, telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Undangan Negeri-Negeri Selat. Undang-Undang di dalam Negeri-Negeri Melayu oleh Federal Council (Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Bersekutu) dan oleh tiap-tiap sebuah Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing dan Majlis Mesyuarat Undangan di dalam tiap-tiap sebuah Negeri di dalam Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu oleh Majlis Mesyuarat Negeri di dalam tiap-tiap sebuah Negeri. Persamaan Undang-Undang di dalam Negeri-Negeri Melayu adalah dikehendaki kerja berasing-asing, sekurang-kurangnya oleh enam dan pada sesetengah perkara oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan.

PERKARA DUA

Keadaan yang berbagai-bagai dan berasing-asing yang demikian ini di dalam sesebuah negeri yang tidak berapa besar daripada Negeri-Negeri England itu dahulunya tidak begitu dikehendaki dan dalilnya nampak ternyata bahawa keadaan demikian ialah suatu peringkat yang berfaedah dan mustahak bagi kemajuan beberapa Negeri.

Tetapi percampuran yang bertambah banyak daripada kemajuan-kemajuan moden daripada pentadbiran ekonomi dan masyarakat, yang menuntut diadakan suatu cara kerajaan yang lebih mudah dan lebih-lebih lengkap bagi perkhidmatan-perkhidmatan am yang besar yang biasa diadakan dan menjadikanya lebih sempurna dan berfaedah bagi masa dan tenaga. Balik kepada lama itu nyata benar berlawanan dengan muslihat faedah Negeri-Negeri itu dan penduduknya di dalam dunia yang telah berubah lepas perang, dengan kesukaran-kesukarannya yang timbul disebabkan oleh peperangan dan di dalam Semenanjung Tanah Melayu soal-soal yang khas telah timbul disebabkan oleh pendudukan Jepun, suatu peringkat telah sampai sekarang manakala satu cara kerajaan mesti dimudahkan dan diubah dengan perubahan yang membaiki.

Perhubungan di antara bangsa-bangsa dan juga keselamatan dan lain-lain muslihat bagi Commonwealth British adalah berkehendakkan supaya Semenanjung Tanah Melayu boleh menjalankan suatu pengaruh sebagai sebuah Negeri yang bersatu dan maju iaitu berpadanan dengannya yang penting di dalam bahagian ekonomi dan bahagian ketenteraan (strategy).

Dengan pandangan yang jauh juga peraturan sebelum perang itu tiada boleh membawa kepada keadaan perubahan politik yang seperti itu iaitu perubahan yang akan memberi jalan dan harapan menerusi pembentukan-pembentukan yang berasas luas yang di dalamnya semua penduduk Negeri boleh mengambil bahagian bagi memajukan kebolehan Melayu itu menuju kepada berkerajaan sendiri (self government) yang bertanggungjawab.

Di dalam perubahan kemajuan, sekalian orang yang menjadikan Negeri ini Negeri tumpah darah dan tempat tinggal, mereka patut mendapat peluang dengan suatu bahagian yang patut bagi mereka di dalam pembentukan-pembentukan politik dan kebudayaan Negeri ini. Oleh sebab itu dan oleh kerana meraikan kemajuan fikiran cara demokratik sekarang, patut dimudahkan, diubah dan dibaiki kaedah-kaedah susunan pemerintahan Negeri ini.

PERKARA TIGA

Baginda King, Pemerintah Negeri British mestilah menjadi tali wasitah pertambatan yang akan menjadi serangkai dan bersatu akan segala puak-puak bangsa yang berlain-lainan di Negeri Tanah Melayu serta menggalakkan perasaan mempunyai hak-hak faedah yang satu dan bersamaan di antara mereka itu dan juga menggalakkan kemajuan tubuh-tubuh bentukan yang dipunyai bersama-sama. Tetapi jika mnegikut kedudukan cara lama itu, Yang Maha Mulia Baginda King tidaklah ada memegang kekuasaan apa-apa, di dalam Negeri-Negeri Melayu itu.

Sungguhpun di dalam syarat surat-surat persetiaan sekalian Raja Melayu mestilah menerima nasihat British (kecuali di dalam hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu). Tujuan polisi yang baharu ini menghendaki bahawa Baginda King mestilah ada memegang kekuasaan di dalam Negeri-Negeri Melayu itu supaya ia boleh membuat undang-undang yang sama serupa di dalam semua Negeri mengikut ‘Kanun undang-undang kekuasaan di Negeri asing (Foreign Jurisdiction Act)’.

Oleh yang demikian Sir Harold Mac Michael sebagai wakil khas daripada kerajaan Yang Maha Mulia Baginda King telah bekerja jadi utusan ke Negeri-Negeri Melayu dan telah berjaya membuat suatu perjanjian dengan tiap-tiap seorang daripada raja-raja Melayu itu setelah berunding dengan mereka secara persahabatan dan berbaik-baik. Perjanjian yang telah diperbuatnya itu ialah sebagai suatu tambahan kepada surat-surat persetiaan yang telah sedia daripada dahulu dan adalah memberi kekuasaan yang penuh di dalam tiap-tiap Negeri itu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda King.

PERKARA EMPAT

Adalah dicadangkan bahawa Negeri-Negeri Selat sekarang iaitu Pulau Pinang,
Melaka dan Singapura di dalam suatu pembentukan siasah (pemerintahan) itu patut diubah menurut garis-ragis yang tersebut di bawah ini:-


a. Negeri Singapura patut menjadi sebuah jajahan (colony) yang berasingan dan


b. Negeri-Negeri Pulau Pinang dan Melaka patut diperintah bersama-sama dengan Negeri-Negeri Melayu di dalam Malayan Union.


Berkenaan dengan Negeri-Negeri Melayu itu, cadangan-cadangan ini akan dijalankan mengikut undang-undang kekuasaan di Negeri-Negeri asing (Foreign Jurisdiction Act 1809) dan berkenaan dengan Negeri-Negeri Selat akan dijalankan mengikut undang-undang yang sekarang ditimbangkan di dalam Parlimen iaitu Rang Undang-Undang Pindaan Negeri-Negeri Selat.


PERKARA LIMA

Pada menimbangkan kewajipan mesti mempersatukan pemerintahan yang rapat di Semenanjung Tanah Melayu, kerajaan Baginda King memikirkan bahasa sekurang-kurangnya bagi sementara ini, Singapura patut diasingkan. Singapura adalah pusat perniagaan yang amat besar dan ada mempunyai muslihat-muslihat Semenanjung. Tetapi adalah diakui bahawa telah dan akan ada ikatan-ikatan yang rapat di antara Singapura dengan Semenanjung dan kerajaan Baginda King kemudian kelak tiada pula akan menahan tujuan menyatukan Singapura dengan Malayan Union menjadi sebuah Kesatuan yang lebih luas pada suatu masa hadapan kelak sekiranya yang demikian itu difikirkan dikehendaki.

PERKARA ENAM

Seperti yang disebutkan, Negeri Singapura yang termasuk di dalamnya Pulau-Pulau Cocos, Killing dan Pulau Christmas akan dijadikan jajahan takluk (colony) Singapura diperintahkan oleh seorang gabenor dengan sebuah Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Council) dan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council).

Didalam pemindahan di antara tamatnya pentadbiran tentera sekarang dengan mula terdirinya perlembangan baharu itu, gabenor akan diberi kuasa membuat undang-undang dengan bantuan sebuah Majlis Penasihat yang ia akan diperintahkan memiihnya menurut suatu dasar perwakilan yang luas sebagaimana yang diluluskan oleh keadaan pada masa itu.

Di dalam masa perantaraan itu ia akan diperintahkan supaya menimbang dengan halus dan cermat siapakah orangnya yang akan menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerja (Execuitve Council) dan bagaimana hendak mengangkat dan memilih orang-orang yang akan menjadi ahli Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council) bagi menentukan Majlis-Majlis Mesyuarat itu mengandungi wakil-wakil yang cekap dan layak betul daripada segala peringkat dan puak rakyat di dalam Negeri.

Kerana maksud menjalankan pemerintahan tempatan, Municipality Singapura, Harbour Board dan Singapura Improvement Trust, akan dilembagakan semula dengan seberapa segera. Di dalam masa pemindahan yang disebutkan, gabenor akan diperintahkan supaya menimbang dengan cermat tentang hendak meluaskan lagi lingkungan kuasa-kuasa Lembaga Municipality dan dasar mengambil wakil-wakil rakyat ke dalamnya.

PERKARA TUJUH

Pertubuhan Malayan Union akan mempunyai sebuah pemerintahan yang mengandungi seorang gabenor dengan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan. Di dalam tiap-tiap sebuah Negeri akan diadakan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri yang akan mempunyai kuasa mentadbir dan kuasa membuat undang-undang tambahan yang diwakilkan kepadanya oleh kuasa pusat iaitu mana-mana yang patut menurut kehendak-kehendak kerajaan di dalam Negeri itu.

Majlis-Majlis ini iaitu Majlis Pusat dan Majlis-Majlis Negeri itu akan mengandungi ahli-ahli rasmi (official) dan bukan rasmi (unofficial). Pada masa permulaan iaitu lepas tamat pentadbiran tentera sekarang dan sebelum Perlembagaan baharu itu dikuatkuasakan gabenor akan diberi kuasa membuat undang-undang yang mustahak dengan bantuan sebuah Majlis Penasihat yang ia akan diperintah melantiknya daripada segala peringkat penduduk Negeri itu seberapa luasnya yang dapat mengikut kadar yang dibolehkan oleh keadaan pada masa ini.

Di dalam masa yang tersebut ini, gabenor akan diperintah menyempurnakan perundingan-perundingan dengan orang ramai negeri itu bagi menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Council) dan Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council) dengan seberapa segera perubahan-perubahan ini di dalam peraturan membuat undang-undang ini tiadalah akan mengganggu dasar kerajaan berkenaan dengan dasar tanah di dalam Negeri-Negeri Melayu. Dasar tanah reserve Melayu (Malay Lands Reservation) khas akan dikekalkan seperti dahulu juga.

PERKARA LAPAN

Kerajaan Bagindan King sedia ingat akan kedudukan khas Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Oleh yang demikian adalah dimaksudkan bahawa Raja bagi tiap-tiap sebuah Negeri akan mengetahui sebuah ‘Majlis Penasihat Melayu’ (Malay Advisory Council) yang ahli-ahlinya akan dilantik dengan persetujuan gabenor.

Kerja-kerja Majlis Penasihat Melayu itu yang mustahak ialah perkara-perkara yang berkenaan dengan agama Islam tetapi Majlis-Majlis itu boleh menasihatkan Raja-Raja di dalam lain-lain perkara yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya Tempatan (Resident Commissiner) yang menjalankan perkara itu dengan persetujuan gabenor.

Atas perkara-perkara yang berkenaan dengan agama Islam, kecuali tentang memungut zakat dan fitrah, tiap-tiap seorang Raja, dengan bantuan Majlis-Majlisnya mempunyai kuasa-kuasa boleh membuat undang-undang di dalam Negerinya. Undang-undang yang seperti itu berkehendakkan persetujuan gabenor dan bagi maksud ini ia akan dibantu oleh sebuah Majlis Penasihat Pusat (Central Advisory Council) daripada Raja-Raja Melayu dengan dipengerusikan oleh gabenor.

Selain daripada menimbang segala undang-undang mengenai agama Islam, Majlis Penasihat Pusat boleh merundingkan lain perkara sama ada dengan kemahuan gabenor ataupun kemahuan salah seorang daripada Raja-Raja dengan persetujuan gabenor.

Dengan peraturan-peraturan ini adalah ditentukan bahawa tiap-tiap seorang daripada Raja-Raja itu boleh mengambil bahagiannya bukan hanya di dalam perkara-perkara yang berkenaan dengan negerinya sendiri bahkan juga di dalam perkara kemajuan yang akan datang bagi Tanah Melayu amnya. Tiap-tiap seorang Raja tidak syak lagi akan mendapat bayaran pencen yang berpatutan dengan taraf kebesarannya.

PERKARA SEMBILAN

Di dalam perkara perniagaan adalah sangat dikehendaki bagi mengadakan perhubungan yang baik dan berfaedah bagi kedua-dua pihak di antara Malayan Union dengan Singapura. Perkara yang sama mustahak mengenai seluruh Malaya yang berkehendakkan satu tujuan yang serupa bagi seluruh Malaya ialah seperti pelajaran tinggi, imigresen, matawang, cukai-cukai pendapatan, perjalanan kapalterbang, simpanan pos dan telegraf, dan kapal-kapal. Perkara ini akan diadakan peraturannya yang sama di antara Malayan Union dengan koloni. Perkara matawang akan berjalan terus dikelolakan mengikut perjanjian bagi seluruh Negeri Tanah Melayu.


PERKARA SEPULUH

Dasar kerajaan Baginda King ialah menggalakkan suatu taraf kerakyatan yang luar, yang akan termasuk, dengan tidak ada perbezaan bangsa dan agama, iaitu sekalian orang yang boleh mendakwa menjadi orang negeri ini dengan sebab ia diperanakkan di sini atau dengan sebab ia telah duduk di sini selama suatu masa yang patut, bolehlah ia menjadi rakyat, oleh itu adalah dicadangkan hendak mengadakan dengan kuatkuasa perintah di dalam Mesyuarat akan suatu taraf kerakyatan yang dinamakan ‘Kerakyatan Malayan Union’. Orang-orang yang tersebut di bawah ini akan mendapat kerakyataan Malayan Union iaitu:-

a. Orang-orang yang diperanakkan di dalam Negeri-Negeri Kesatuan (Union) atau di dalam koloni Singapura.

b. Orang-orang yang pada tarikh perintah di dalam Mesyuarat berjalan kuatkuasanya telah tinggal di dalam Negeri-Negeri itu selama sepuluh tahun daripada limabelas tahun yang lalu (di dalam hitungan 15 tahun itu, masa pendudukan Jepun tiada dikira).

Boleh juga bagi orang-orang mendapat hak rakyat Malayan Union setelah tinggal lima tahun di dalam Malayan Union atau Singapura. Rakyat-rakyat British yang dapat menjadi rakyat Malayan Union dengannya tidaklah hilang daripada mereka taraf rakyat British itu. Orang-orang yang bukan rakyat Malayan Union tiadalah sekali-kali boleh menjawat jawatan di dalam pejabat kerajaan atau menjadi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Pusat atau Majlis Mesyuarat sebuah negeri, kecuali dengan persetujuan gabenor. Orang-orang yang berkehendak kepada kerakyataan Malayan Union, kecuali yang diperanakkan di sini akan dikehendaki mengangkat sumpah setia kepada Malayan Union.

PERKARA SEBELAS

Bagi Malayan Union akan diadakan sebuah Mahkamah Tinggi dan sebuah Mahkamah Tinggi bagi Singapura. Tiap-tiap sebuah mempunyai seorang Hakim Besar (Chief Justice) mengetuainya. Tiap-tiap sebuah Mahkamah Tinggi itu mengandungi sebuah Mahkamah Tinggi biasa dan sebuah Mahkamah Ulangbicara. Hakim-Hakim Besar dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Malayan Union dan Singapura akan jadi hakim juga di dalam Negeri yang lain. Kedua-dua Mahkamah Ulangbicara itu boleh juga meminta ulang bicara kepada Privy Council.

PERKARA DUABELAS

Peraturan-peraturan akan dibuat bagi memindahkan dengan sedikit-sedikit kecualinya, harta-harta kepunyaan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) kepada Malayan Union.


PERKARA TIGABELAS

Bagi kehendak kepada kerja menyatukan dan mengarah di antara dasar-dasar kerajaan Malayan Union dan Singapura, adalah dicadangkan bahawa perkara ini sayogialah menjadi satu daripada kerja Gabenor General yang ada di dalam cadangan-cadangan kerajaan Baginda King melantiknya bagi kawasan ini. Daerah yang tetap yang bersabit dengan urusan Gabenor General dan kawasan pergerakannya belum lagi habis ditetapkan.

Selain daripada Malayan Union dan Singapura, daerah itu akan termasuk Labuan dan Brunei. Manakala Sarawak dan North Borneo akan termasuk juga. Raja Vyner Brooke telah bersetuju menyerahkan Sarawak kepada kuasa Gabenor General yang tidak akan menjalankan sebarang pentadbiran yang tetap tetapi ia akan mempunyai kuasa menyatukan kerja dan mengarahnya dan kuasa mengadakan persidangan-persidangan atas sebarang perkara. Persidangan-persidangan ini akan dihadiri oleh gabenor-gabenor British dan lain-lain wakil British yang di dalam lingkungan kuasanya.

KENAPA MESTI RAKYAT DIBOHONGI...

KAMAL AMIR MENULIS

AKHIRNYA Ezam Mohd Nor bekas Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan mengumumkan secara rasmi meninggalkan parti tersebut untuk meneruskan agenda “Gerak” memerangi korupsi.

Begitu juga Datuk Rahman Osman bekas Timbalan Presiden Keadilan turut mengatur langkah mengundurkan diri dan menyertai Partai Islam Malaysia (PAS), beberapa teman seperjuangan mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menutup tirai perjuangan mereka atas platform parti Keadilan.

Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris Ezam memberitahu keputusan meninggalkan parti Keadilan bertolak dari hambatan kekecewaannya melihat gelagat Anwar Ibrahim yang sering kali didominasikan oleh Azmin Ali.

Sementara Datuk Rahman Osman pula merasakan idelogi perjuangan Keadilan semakin tersasar dalam situasi sempang peranang dan tidak lagi bersedia bersedia melihat percaturan politik menyanggah perlembagaan apabila Anwar Ibrahim yang tidak memegang apa-apa jawatan boleh mengatasi kuasa Presiden parti.

Menyaksikan satu demi satu rakan-rakan “qarib” Anwar meninggalkannya terasa hiba juga di hati mengenangkan jerih marhain yang terpedaya musim “lebam mata itu” bergegar di sana sini untuk bereformasi jalanan.

Masih terbayang lagi penderitaan kalangan pengikut dan penyokong Anwar merelakan diri mereka dibelasah dengan belantan dan semburan gas pemedih mata musim reformasi “black September 1998” dan “black April 199” semata-mata atas nama perjuangan serta mahu mempertahankan wibawa Anwar Ibrahim.

Ramai juga kalangan teman-teman seangkatan turut terperosok di dalam sel tahanan polis sementara beberapa orang yang sedikit radikal seperti Hishamuddin Rais, Ezam, Raja Petra, Shaari Sungib, Tian Chua dan beberapa nama lain menjadi penghuni “Unibersiti Kemunting” terpisah dari keluarga tersayang sepi di kem tahanan.

Malangnya setelah Anwar dibebaskan dari penjara Sungai Buloh bersama doa seribu syukur dari himpunan para penyokong dan teman-teman, hari ini segalanya berubah rentak. Bicara sudah tidak sekata, muafakat menghilang entah kemana. Setiakawan dan setiakasih bertukar menjadi sengketa sesama sendiri.

Persoalannya, kenapa marhaian harus dibohongi dengan pelabagai agenda perjuangan yang belum selesai? Wibawa apakah mahu ditonjolkan oleh Anwar? Penipuan dan putar

Belit apa lagi yang mahu dilakonkan oleh Azmin Ali? Tipu muslihat bagaimana pula mahu dicorakkan oleh mereka dalam keadilan?

Hari ini sudah terdengar sosek-sosek tentang dana politik puluhan juta hasil sumbangan pelbagai pihak yang terpengaruh dengan percaturan politik licik keadilan tersembunyi dan tidak diperjelaskan bagaimana serta kemana ia disalurkan. Anwar Ibrahim masih mampu menjelajah benua atas dana yang tidak diketahui dari mana puncanya. (dengar khabar kelas eksklusiff) dan di waktu yang sama Azmin Ali juga seringkali terbang ke luar negeri.

Musim pilihanraya umum lalu seringkali calon-calon yang bertanding atas tiket keadilan bersungut tidak memperolehi dana politik. Selain dari bantuan kenalan terdekat ada juga terpaksa bergolok bergadai demi perjuangan. Penyokong pula ramai turut menyumbang dana. Kedengarannya agak daif juga mereka bertarung dalam keadaan serba kekurangan.

Dan hari ini Azmin Ali seringkali terbang ke luar negeri, terbaru dia berada di Jakarta untuk menghadiri sessi pertemuan entah dengan siapa? Ramai mengetahui kalangan kroni era Anwar Ibrahim berada di Kementerian Kewangan seperti Datuk Nasaruddin Jalil (bekas setiausaha Sulit), Dr. Hasni ( Ketua Uksekutif Abrar Group), Rahim Ghaus dan beberapa nama lain menetap di Indonesia sebagai tempat perembunyian musim penahanan Anwar Ibrahim.

Apakah mungkin ada dana yang tersembunyi di negeri seberang? Mungkin beberapa kotak rahsia seperti labun Ezam semasa reformasi memuncak dahulu masih “terkepuk” di negara tersebut dan kunci rahsianya ada pada Azmin Ali... wallahualam.

Namun yang pasti di sebalik rasa kecewa “gagalnya” Anwar Ibrahim memisahkan Azmin Ali dari celah ketiaknya (seperti dakwaan Ezam) serta persoalan dana politik dikatakan penyebab utama mantan Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan itu mengambil langkah meninggalkan parti tersebut.

Bagaimana mahu diharapkan parti Keadilan menjadi alternatif selain Umno untuk menerajui kepimpinan politik bangsa Melayu jika perpecahan demi perpecahan tercetus di dalam parti tersebut sementara sidang “pendekar” dan “juak-juak terkanannya” sudah angkat kaki meninggalkannya.

Mungkin benarlah seperti pernyataan saudara Zaharin Mohd Yassin “Sang Kelembai” mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim seringkali bersikap “bodoh sombong”

Serta amat melulu melakukan tindakannya.

Hari ini Tan Sri Eric Chia yang ditonjolkan sebagai “koruptor” nombor wahid oleh Anwar telahpun dibebaskan oleh Mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah urus keewangan syarikat Perwaja.

Ramai yang tidak mengetahui semasa memangku jawatan Perdana Menteri tahun 1996 dahulu Anwar cuba megaitkan isu Eric Chia dan Perwaja sebagai modal “merudumkan” kepercayaan rakyat terhadap Dr. Mahathir. Malahan pada tahun tersebut juga turut tersingkir Datuk Zainab Abu Bakar dari jawatan Timbalan Menteri yang dilihat sebagai percubaan mencuit kelingking Dr. Mahathir.

Sesungguhnya kalangan pemerhati politik merasa yakin tidak mungkin Anwar Ibrahim mampu melangkah ke Seri Perdana. Musim gemilangnya sudah pudar tanpa ada harapan lagi. Kerana itulah Abdullah Ahmad Badawi merasa cukup selesa untuk meneruskan musim bulan madunya di negara Eropah.

Dan hari ini (Selasa 26 Jun 2007) Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan secara resmi telah memberi jawapan terhadap pendedahan Malaysia Today melalui lama maya “Corridors Of Power” berhubung terdapatnya hubungan mesra beliau dengan ketua-ketua sindiket jenayah terancang.

Tan Sri Musa Hassan menafikan bahawa dirinya terlibat menerima sogokkan atau mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah serta menganggapnya sebagai satu fitnah yang senagaja dilemparkan terhadapnya.

Meneliti laporan akhbar arus Perdana, Musa Hassan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai atau mengadili kebenaran dakwaan tersebut dan beliau tidak pula menyatakan mahu mengambil sebarang tindakan mahkamah.

Agak pelik dan seperti kurang percaya bila menatap penjelasan Musa Hassan sebegitu rupa. Pendedahan yang dilakukan oleh Raja Petra bukan sekadar sembang kedai kopi, malahan bukan cerita budak kecil curi pisang. Ia menyangkut wibawa pasukan Polis Di Raja Malaysia yang dipertanggung jawab sebagai pengawas undang-undang terpenting.

Tidak mungkin rakyat boleh menerima sebegitu sahaja penjelasan atau penafiannya secara sambil lalu dengan alasan banyak tugas lain yang lebih penting. Rakyat melihat jawapan tersebut seperti “drama budak kecil” .

Musa Hassan seharusnya berani memikul tugas membersihkan nama baik pasukan polis dan jika terbukti tuduhan atau pendedahan yang dibicarakan oleh Malaysia Today tidak benar lunas-lunas perundangan semestinya dilaksanakan. Hanya dengan meminta rakyat mengadili persoalan tersebut pasti mengundang pelbagai persepsi tidak menentu.

Pasukan Polis tidak seharusnya didedahkan kepada presepsi sedemikian kerana setiap anggotanya mesti dipertahankan kredibalitinya kerana mereka adalah pemegang amanah untuk menjamin keluhuran undang-undang. Sudah terlalu banyak tohamahan dan cerita negatif berhubung pasukan polis diperbualkan oleh rakyat. Apakah dengan terkaitnya nama Ketua Polis Negara pun masih mahu membiarkannya menjadi bualan rakyat?

Pepatah ada mengatakan “berani kerana benar dan takut kerana salah” seharusnya segera diterjemahkan secara mutlak oleh Ketua Polis Negara. Meminta rakyat mengadili tanpa lunas-lunas perundangan dirasakan kurang bijak.

Musim “lebam mata Anwar Ibrahim” menjadikan keyakinan rakyat jatuh merudum terhadap “mesranya” sikap pasukan polis Di Raja. Begitu juga bila peristiwa cukup memalukan “ketuk ketampi dalam keadaan bogel” sehingga menyebabkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri waktu itu Datuk Azmi Khalid pergi meminta maaf kepada kerajaan negara China menghakis percaya rakyat “cekapnya” pasukan polis menyiasat.

Dan kini apakah pendedahan oleh Raja Petra berhubung tindak tanduk Ketua Polis Negara bakal menghilangkan hormat rakyat terhadap “ tegasnya” pasukan polis melaksanakan undang-undang.

Ternyata sejak menerajui kepimpinan negara “kerajaan Abdullah Ahmad Badawi” tidak henti-henti dijengah pelbagai misteri dan kejadian anih serba mengaibkan. Dan esok entah apa pula yang akan terjadi wallahualam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib melaungkan sebegitu lantang pernyataan “ no one above the laws” atau tidak sesiapapun boleh mengatasi undang-undang, apakah Musa Hassan boleh bertindak “above the laws”?.... fikir-fikirkanlah duhai rakyat di bumi tercinta beranama Malaysia.

ALI BABA SIDANG WAZIR ABDULLAH AHMAD BADAWI?

KAMAL AMIR MENULIS


Hari ini 15 Julai 2007 RTM menyiarkan semula tayangan filem berjudul “Ali Baba Bujang Lapok” sementara TV 8 pula menayangkan lakonan penuh sindiran Allahyarham P.Ramlee menerusi “Laksamana Do Re me”.

“Siapa tak sayang bini oiii!” dialog penuh makna menggambarkan walaupun miskin hina namun kasih sayang dari isteri cukup didambakan....

Sesekali terfikir juga bagaimana dikalangan sidang wazir Abdullah terdapat ketua penyamun... siapa agaknya? Tanyalah sendiri, tapi ternyata watak itu ujud kerana selain dari menyamun dia juga diminta untuk menyamun kerana mahu melindungi orang yang tidak mahu membayar hutang....

Penyamun tarbus akan terus menyamun harta rakyat tanpa merasa belas kasihan dan seluruh harta yang disamun disimpan dalam gua di belakang Bukit Korma untuk tidak dilihat oleh hamba rakyat. Sehinggalah Ali Baba dapat membongkar dan mengetahui rahsia serta tempat persembunyian penyamun tersebut.

Kerana jujur dan sediki bertimbang rasa Ali Baba sekadar “menyapu” satu tong wang emas milik penyamun. Maka jadi kayalah si Ali Baba atas harta yang dicuri dari penyamun.

Malangnya Kasim Baba merasa cemburu atas kekayaan Ali Baba lantas mengambil sikap untuk membolot seluruh harta samunan. Akibatnya berkecai-kecai tubuh Kasim Baba dilapah oleh para penyamun.... mungkin waktu itu tidak ada bahan peledak C4. Kalaulah bahan C4 ada tentulah berkecai mayat Kasim Baba digodam oleh pahlawan-pahlawan penyamun yang mahu menyembunyikan harta samunannya.

Watak Ali Baba sebagai “reporter” berjaya membongkar tempat harta karun disembunyikan serta dapat pula mengetahui kunci rahsia gua tempat penyamun menyimpan harta. Kerana itulah dia diburu oleh penyamun. Sesuai sangatlah penyamun tipu penyamun... tapi kita kena tunggu siapa yang kena kerana buah dadu milik si pendek tertumpu kepada angka dua sahaja.....

“Semang ringsong mataq aji semar ringseng......” ayat membuka gua simpanan harta. Tapi jangan lupa ayat menutup pintu gua berbunyi, “rampong inseng semar tileem”. Jadi untuk menutup semua rahsia perampokan seharusnya kalangan sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi tidak melupakan si pinggang ramping... dan adegan atas tilam..... (masih belum dapat jawapannya?)

Kalaulah Kasim Baba tidak tamak tentunya dia tidak akan dilapah sebegitu rupa oleh para penyamun. Belum pasti jugalah ketua penyamun sedar harta rampokkannya telah dicuri oleh Ali Baba. Dan kalaulah “Apek” cina tukang kasut tidak membuka rahsia dia mana rumah Ali Baba belum tentu 40 penyamun boleh menyerbu untuk menghapuskannya.

Kerana mahu mencari rahsia rumah Ali Baba maka habis terpalit para penyamun dengan “najis”.Nasib baik ada Marjina memberi nasihat supaya minyak panas disiramkan kedalam tong tempat persembunyian 40 penyamun.

Siapakah ketua penyamun, siapa pula Ali Baba, agaknya siapalah Kasim baba dan siapa pula Aloyah dalam kalangan sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi.

Bagamanapun bila muncul “Laksamana Do Re me” maka berakhirlah riwayat “Jason King” atau Menteri Pasola.Kerana sikap khianat menteri pasola melakukan rampasan kuasa hingga membuang jauh ketengah padang pasir “Al Sultan Pasir Berdengung” dan menawan puteri Sultan mengakibatkan dirinya diburu oleh Laksamana Do Re Me. Agak melucukan kehebatan dan kekebalan Pasola terhapus dengan sebatang bambu runcing sahaja.

Apakah ia satu kebetulan RTM dan TV 8 menyiarkan ulang tayang filem P.Ramlee tidak siapa dapat menjawabnya namun begitulah keadaannya sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi. Dan lebih menarik watak sipendek yang kuat berhutang dan kaki penipu.

Mauduk cerita di sebalik kedua-dua filem tersebut adalah bagaimana sasaran si pendek hanya pada nombor 2 yang dilindungi sedaya mungkin. Nombor dua mesti di tempah untuk membolehkan si pendek memperolehi keuntungan besar.

Kemewahan si pendek membuatkkan soldadu Jepun sendiri turut merasa cemburu dan mencari upaya untuk mengetahui bagaimana dia boleh memperolehi kemewahan. Namun yang pasti rahsia besar untuk hidup senang lenang terletak pada nombor dua.....(kerana itulah nombor 2 mesti dilindungi Masih belum dapat jawapan dari teka teki ini?).

Hari ini dalam sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi semua berebut-rebut mahu menumpang tui dengan nombor dua. Malahan jawatan nombor juga turut diintai oleh beberapa orang calon yang punya cita-cita besar..alahai hebatnya nombor dua.

Sebetulnya saya tidak berhasrat untuk memanjangkan kisah Ali Baba dan 40 penyamun tetapi melihat karenah kaum kerabat sidang wazir Abdullah yang terus mebodek, yang kaki ampu, yang takut bini, yang kaki betina dan seribu satu yang lagi menjadikan rasa mual serta geli geleman melihat aksi lucu mereka berdiri di pentas politik sambil menjerit dan terlolong “ kita akan terus memperjuangkan untung nasib rakyat.... dan kita tetap akan membena sebuah tamaddun bangsa yang bermaruah....!!!”.

Terasa jemu dan jelik mendengar ayat-ayat yang didengungkan oleh pemimpin kononnya mahu menjamin maruah bangsa , agama dan negara. Maruah bangsa yang bagaimana agaknya mahu dipertahankan oleh mereka bila rakyat terbiar hidup miskin dalam kepapaan.

Orang Melayu yang merdeka masih menjadi jaga dirumah besar milik taukeh “nanyang” dan menjadi supir kereta mewah kapitan “nanyang. Lebih menyedihkan bila Melayu yang seharusnya merdeka masih menjadi tukang kebun... alahai bangsa ku teripu oleh percaturan politik sempit.

Maruah negara yang bagaimana agaknya mahu dipertahankan oleh kalangan pemimpin sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi bila bumi johor hampir separuh di “kangkangkan” kepada Singapura dan terbaru terpaksa pula mengemis meminta sedekah dari tuan besar negara China untuk membena jambatan kedua Pulau Pinang. (Kalau tidak punya wang kenapa harus berhutang?)

Dan maruah agama bagaimana agaknya mahu dipertahankan oleh sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi sedangkan krisis Lina Joy dan Murthi yang menimbulkan suasana resah dikalangan rakyat gagal ditangani. Mungkin rukun hadhari untuk tidak mencari harta berjuta, tidak akan mencari teman berpoya-poya sambil membongkar sunnah nabi dalam pencarian di mana dia Al Ghazali dan Shafie adalah cara terbaik bagi kerajaan Abdulah mempertahankan maruah agama.

Esok khabarnya Abdullah Ahmad Badawi akan bercuti selama satu minggu ke Australia. Dan menurut kenyataan seorang menteri semasa menjawab soalan di Parlimen dua minggu lalu, sejak menjadi Perdana Menteri sebanyak 80 kali Abdullah Ahmad Badawi melakukan lawatan keluar negeri.

Satelah dikira dan diconggak mengikut sifir matematik ertinya setiap dua minggu Abdullah Ahmad Badawi akan berada di luar negeri melakukan lawatan. Setiap kali lawatan diadakan tidak kurang lima enam orang sidang wazir serta juak-juaknya akan ikut serta.

Kos perbelanjaan lawatan tersebut tentunya ditangung oleh kerajaan biaya dari hasil pungutan cukai keatas rakyat. Mengikut laporannya tidak kurang satu juta ringit digunakan bagi setiap kali lawatan diadakan termasuk kos penerbangan seluruh ahli rombongan, kos penginapan dan beberapa kos lain. Apakah ini caranya hidup berhemah dan berjimat cermat seperti yang sering dilaung-laungkan olehnya.

Di saat rakyat terus dicengkam kehidupan serba payah oleh kenaikan harga barangan dipasaran dan sara hidup, disaat rakyat bergelut dengan kemiskinan serta bahang panas yang memijar, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi masih ghairah melakukan lawatan demi lawatan setiap dua minggu sekali. Beginilah agaknya cara mentadbir negara berbekalkan rukun hadhari untuk tidak mencari teman hidup berfoya-foya kerajaan Abdulah Ahmad Badawi........fikir-fikirkanlah.

BERAS OH BERAS

KAMAL AMIR MENULIS

Tergamam, terpegun, tersentak dan terkedu rasanya bila mendengar jawapan sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi bernama Shafie Afdal (Menteri Hal Ehwal Pengguna dan Perdagangan Dalam Negeri) menyatakan dia tidak tahu harga beras telah dinaikkan kepada 15 sen se kilo

Lebih memeranjatkan apabila Muhyiddin Yassin (Menteri Pertanian dan Asas Tani ) menjelaskan akan memanggil tuan besar Bernas bagi membincangkan kenapa, bagaimana serta apa cara untuk menjamin harga beras di pasaran tidak dinaikkan . Ertinya dia juga tidak tahu harga beras sudah dinaikkan.

Tambah merungsingkan bila mendengar kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib akan memanggil Mahyuddin Yassin bagi memperjelaskan secara lebih terperinci berhubung persoalan kenaikan harga beras di pasaran tempatan yang tentunya “mencekik” tembolok rakyat.

Hampeh!!! Lagi mengecewakan bila Abdullah Ahmad Badawi boleh muka selamba bercakap tentang pemuliharaan alam sekitar sejak menjejakkan kakinya ke Wilayah Pembangunan Iskandar membawalah ke Pulau Pinang bersama-sama isteri barunya Datuk Seri Utama Jaene Danker @ Abdullah tanpa mahu menyentuh soal kenaikan harga beras.

Bodoh betul sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi !! Baghal lagi membaghalkan!!! Itulah yang termampu saya jelmakan bila mendengar penjelasan sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi menjawab pertanyaan para wartawan berhubung kenaikan harga beras di pasaran.

Masakan seorang Menteri yang semestinya dirujuk dan diminta kelulusan darinya terlebih dahulu sebelum menaikkan mana-mana komoditi terkawal boleh bercakap dia tidak tahu? Seluruh akhbar arus perdana menyiarkan beberapa hari lalu berhubung kenaikan harga beras di pasaran, masakan dia tidak membacanya? Alahai buta huruf danbuta hati perut betul sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi.

Bulan hadapan seluruh rakyat Malaysia bakal merayakan ulang tahun ke 50 kemerdekaan negara. Dan inilah hadiah yang mahu disampaikan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi kepada rakyat termasuk masyarakat marhen yang setia memberi kemenangan besar kepadanya lewat pilihanraya umum 2004 lalu. Inilah buah tangan tanda terima kasih kerajaan Abdullah Ahmad Badawi kepada rakyat yang setia memilihnya menerajui kepimpinan negara.

Zaman pasca kemerdekaan dahulu saya masih ingat bagaimana setiap hari ibu terpaksa menghidangkan kami sekeluarga dengan bubur kanji berlaukkan ikan kembung rebus kerana cengkaman kemiskinan. Kalaupun ada kesempatan menikmati hidang nasi mungkin seminggu sekali bila mendapat hasil dari jualan getah.

Lebih sedap lagi kalau ada kenduri “morei” di masjid atau majlis kenduri kendara musim perkahwinan, dapatlah menjamu selera makan nasi minyak atau nasi beriyani berlaukkan kurma daging...aduhai sedapnya hingga menjilat jari. Sedangkan pada hari-hari biasa ibu saya sekadar mampu menghidangkan semangkuk bubur kanji untuk sebuah keluarga seramai enam orang adik beradik. Kemiskinan hidup di kampong pasca kemerdekaan merupakan kenangan pilu masa silam yang menambah cekal di hati ini untuk berusaha agar generasi selepas saya tidak menerima nasib sebegitu.

Hari ini saya bersyukur kerana masih termampu untuk tidak menghidangkan bubur kanji sebagai makanan harian anak-anak di rumah. Tetapi apabila mendengar kenaikkan harga beras dipasaran geruh hati menjadi tidak keharuan kerana dalam kegawatan ekonomi masakini tentunya marhain di kampong atau masyarakat buruh di kilang-kilang bakal menghadapi episod sedih yang pernah saya alami satu ketika dahulu setiap hari makan nasi bubur kanji.... aduhai malangnya nasib bangsa ku! Terlepas dari mulut harimau menjunam ke mulut buaya rupanya.

Tidak terfikirkah oleh bapak menteri yang punya kuasa hidup serba bahagia tentang untung nasib marhain. Beras merupakan makanan wajib untuk diisi setiap hari kedalam tembolok mereka? Rakyat marhain tidak punya kemampuan meratah lazatnya “steak” dan kentang goreng. Rakyat marhain tidak punya kesempatan menjamu selera dengan makanan “udon tempura” atau “susshi” di restoran Jepun.

Rakyat Marhain tidak punya keupayaan menjamu selera dengan “fish and chips” atau “spagheti marinara” mahupun “salmon steaks and bracoli”. Semua itu rakyat marhain tidak mampu. Bapak menteri dan tuan-tuan besar di villa mewah boleh berhenti makan nasi. Tetapi rakyat marhain tiada pilihan, setiap hari temboloknya mesti diisi dengan nasi!!!!!

Kalaupun harga ayam dinaikkan, harga daging melambung di pasaran , selagi ada nasi rakyat masih mampu mengisi temboloknya dengan sayur kangkung di belakang reban ayam, atau ikan sepat ronggeng bersama tempoyak masam. Tapi kalau mahu membeli beraspun rakyat sudah dijerut tengkuknya tanpa ada kawalan lagi .. ini sudah melampau.

Hanya kerana bernas sudah diswastakan maka kerajaan sudah hilang kawalan berhubung kenaikkan harganya mampukah amarah rakyat dibendung? Mana dia janji pemimpin mahu menjamin kesejahteraan rakyat? Di mana dia sumpah setia mahu memperjuangkan untung nasib bangsa kalau tembolok rakyatpun mahu dijerut sedemikian rupa!! Sungguh kusang asam... bangsat lagi membangsatkan perangai mereka yang bersekongkol melakukan penipuan terhadap untung nasib rakyat.

Sudah satu minggu lamanya saya tidak melabun di laman webb Malaysia Today, niat di hati mahu merihatkan minda buat seketika. Tetapi bila melihat kerakusan penguasa di bernas menaikkan harga beras di pasaran tidak termampu rasanya hati ini menahan sabar. Ingatkan sekembalinya dari musim bulan madu di Moscow , Sarajevo dan Roma adalah hadiah molek-molek untuk rakyat dari Abdullah Ahamad Badawi.

Rupa-rupanya pengumuman kenaikkan harga beras dijadikan hadiah untuk rakyat. Sungguh bangsat... kejam !!!! tidak berperikemaknusiaan. Rakyat tidak mengharapkan adanya rundingan atau dolak dalek pemimpin berhubung kenaikkan harga beras di pasaran. Ini soal hidup mati rakyat. Nasi adalah makanan asas bangsa Melayu! Nasi merupakan semangat hidup orang Melayu. Cukuplah bangsa Melayu dihumban kelembah daif menjeruk rasa mengisi tembolok dengan ubi kayu zaman penjajahan jepun dan inggeris.

Melayu yang hampir lima puluh tahun mengencap kemerdekaan tidak seharusnya dicekik temboloknya untuk disumbat dengan pisang dan ubi rebus. Itu zaman silam waktu kuasa tidak ditangan penguasa Melayu. Hari ini kita punya negara yang berdaulat, punya pemimpin dan peghasilan bumi kaya raya masakan tembolok rakyat mahu terus dicekik dan dibelengu kemiskinan.

Apabila beras tidak lagi mampu dikawal harganya bagaimanalah agaknya untung nasib kaum nelayan, peneroka tanah rancangan dan buruh kasar yang sentiasa menghitung gaji tidak pernah cukup setiap hujung bulan. Tidak terfikirkah oleh pemimpin yang menagih undi rakyat setiap kali musim pilihanraya?

Dekad tahun enam puluhan dahulu harga secupak beras sekadar empat puluh sen, itupun sudah cukup menghumban masyarakat marhain untuk mengisi temboloknya dengan nasi bubur kanji. Kalau harga beras terus naik di pasaran tanpa ada kawalan apa nak jadi dengan bangsa ku? Aduhai.

Sejak awal tahun harga minyak petrol naik mendadak, kadar tol dinaikkan, tarif api dan air juga di naikkan, harga gula dan tepung turut melonjak... rakyat masih diam kalaupun sekadar bersungut sendirian. Bila harga rokok naik rakyat masih boleh bersabar kecuali yang sudah kecanduan merokok terpaksalah berjimat cermat mungkin sepuntung rokok boleh kongsi dua tiga orang atau cari saja rokok jilat zaman di kolej dahulu.

Apabila harga beras terus dilonjakkan, tidak mampu rasanya menahan sabar lagi. Mahu rasanya terus mengerjakan Abdullah Ahmad Badawi yang turun naik memanjat batang tubuh isteri barunya berserta sidang wazirnya supaya turun takhta. Apa ertinya kuasa yang diamanahkan kepadanya jika untung nasib rakyat terbiar oleh percaturan kaum kapitalis yang kini telahpun menguasai Bernas (Syarikat Beras Nasional) hasil penswastaan kerajaan.

Inilah akibatnya bila kerajaan terlalu bergantung kepada masyarakat kapitalis yang meletakkan keuntungan mengatasi kepentingan rakyat. Biaya pendidikan di pusat pengajian tinggi terus menjadi polimik tanpa noktah dan rakyat dipaksa menjadi peminjam PTPTN sebagai dana menimba ilmu untuk anak bangsa. (Setengahnya bakal bergelar muflis kerana tidak mampu membayar semula pinjaman)

Kos rawatan perubatan tidak lagi ditanggung oleh pemerintah sejak hospital di swastakan, (tempat letak kereta di Hospital Besarpun sudah kena bayar RM3.00 satu jam) Biaya pembedahan jantung di IJN juga menjangkau puluhan ribu..... Alahai teringat dialog filem madu tiga.. “ Mahu hidup susah... mahu matipun lagi susah terpaksa pegang bendela”.

Terbukti kini kerajaan Abdullah Ahmad Badawi merupakaan kerajaan yang cukup lemah. Menurut teori politik dunia, mana-mana kerajaan yang tidak mampu mengawal harga barangan serta mengengkang tahap inflasi itu menandakan merudumnya kuasa kerajaan dan sebuah kerajaan yang lemah.

Apa ertinya kenaikkan gaji kakitangan kerajaan yang tidak seberapa jika untuk menyara keluargapun mereka tidak mampu lagi kesan kenaikkan barangan di pasaran. Kalaulah seorang pegawai kerajaan dari pendapatan sejumlah 1,500.00 sebulan dinaikkan kepada RM 2,000.00 terkial-kial mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan bagaimana pulauntung nasib marhain, kaum buruh dan nelayan.

Pendapatan RM 2,000.00 sebulan ditolak bayaran sewa atau pinjaman perumahan paling kurang 750.00 dengan ansuran kereta 500.00, kos minyak 300 sebulan, bil elektrik dan air 350.00, biaya persekolahan anak 200.00 sebulan selebihnya mampukah untuk mengisi tembolok keluarga kalau harga barangan seperti minyak masak, ikan,sayur, beras, gula dan rempah ratus terus naik? Fikir-fikirkanlah.

Tanda-tanda kejatuhan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi semakin hampir rasanya bila kehadiran 07.07.2007 diumumkan kenaikan harga beras dan secara resminya membuktikan tiada lagi rasa peduli penguasa dan pemerintah terhadap untung nasib bangsa dan rakyatnya.

Apa ertinya pengumuman prestasi ekonomi negara melonjak dengan nilai trillion ringgit dan bursa saham kukuh di pasaran sedangkan rakyat dibelengu kemiskinan dan kepapaan? Rupa-rupanya bahang panas yang memijar selama satu minggu sebelum ini merupakan bahasa alam menandakan bakal meruapnya dan mendidih kebencian rakyat terhadap kerakusan pemimpin membolot harta kekayaan tanpa memikirkan untung nasib rakyat. Masih merdeka lagi kah kita semua.......