Sunday 22 July 2007

Lagenda seorang Memanda Wazir

Kamal Amir menulis


MINGGU ini saya ada satu cerita yang sungguh menarik untuk dikongsi bersama. Apakah ia cerita benar atau khalayan seorang penulis agak sukar diteka tetapi amat sesuai sekadar mengisi masa santai. Samada mahu mempercayai kebenarannya atau sebaliknya terpulang kepada anda. Ceritanya begini.....

Di sebuah negeri antah berantah terdapat seorang memanda wazir yang sangat dikasihi hamba rakyatnya oleh kerana baik budi dan elok bahasanya, parasnya juga menawan hati.

Tiba masanya bulan berganti purnama dan saat pada ketikanya maka diberitakan keseluruh pelusuk alam hasrat hati memanda wazir mahu mendirikan rumahtangga dengan wanita pilihan hati satelah berkesempatan mengadun cinta bagai laila dan majnun untuk sekian lamanya.

Hamba rakyat menerima berita dengan lapang dada dan suka hati, berakhir sudah zaman membujang seorang memanda wazir yang elok budi pekerti, asal usul keturunan dari negeri di bawah angin terkumpul para anbia bijak bestari.

Di sebalik kegembiraan berita terperi, hamba rakyat dijengah debaran siapakah gadis bertuah berjaya menambat hati memanda wazir. Dan sebaik pembawa berita mengumumkan calon isteri memanda wazir bukanlah puteri atau gadis pingitan dari desa mahupun kota, Cuma sekadar seorang “mak janda getik” maka hampalah hati hamba rakyat tidak terperi.

Namun demikian hukum alam begitu caranya, setiap yang hidup berpasang-pasangan, patah tumbuh hilangnya berganti, walaupun mak janda getik dijadikan calon, berita tersebut diterima dalam syukur, memanda wazir bukan sekadar bijak laksana namun tetap seorang lelaki gagah perkasa.

Musim berganti malam dan siang, dalam senda loka puji mentera, perkahwinan memanda wazir dilangsungkan penuh sempurna. Ada Qadhi melakukan aqad, teriring bersama para wali hakim dan saksi, melafaz ikrar terdirinya istana impian, berteduh kasih memadu asmara dan qalampun lemah untuk berbicara.

Selepas selesai ijab dan qabul, awan berarak membawa mendung, sinar bertukar menjadi kelam, laksamana dan hulubalang mengumpul seloka, ada cerita di sebalik rahsia, hamba rakyat dijengah curiga, isteri memanda benarkah seorang janda atau masih punya suami.

Entah di mana datangnya cerita, edah perceraian menjadi bualan, tersyarat dalam hukum negara, tiap isteri yang menerima talaq, terlarang mengganti suami edahnya tiga purnama. Jika hukum dinodai, ertinya pernikahan tidak mungkin boleh terjadi.

Seandai isteri menerima hukuman, digantung dalam keadaan tidak bertali, bagaikan layang-layang kematian angin, tersangkut cuma di pohon cemara, bagai telaga usang tiada bermaya, airnya ada gunanya tidak.

Hamba rakyat semakin keliru, memikirkan berita rahsia istana, tersebar keseluruh seantaro benua, memanda wazir menikah di dalam edah, menimbul resah serta gundah, apakah hukum negara sengaja dipermudah, bagai perahu dilambung gelora, jentayu bertukar menjadu garuda.

Belumpun reda cerita duka, terjelmalah kisah empunya cerita, dalam kesamaran digelap gulita, bukan puteri atau gadis pinggitan, janda muda dikatakan punya seorang lagi teman hidup, yang tidak diketahui asal usul keturunan, pegangan agama menimbulkan persoalan. Rupa-rupanya, semasa masih tergantung tanpa tali, telah bernikah sekali lagi.

Semoga kesamaran berita disebalik rahsia, tidak menjelma menjadi kebenaran, Gundah gulana hamba raayat, agar jangan terjadi satu isteri tiga suami, dikhuatiri membawa musibah dan malapetaka.Masakan boleh diterima aqal, al kisah sedemikian boleh terjelma.

Andainya masih punya suami, walau digantung tidak bertali, masih terikat adat negeri, badan terkurung berhati sepi, sukar menjalin hubungan berahi, kerana diri masih bergelar isteri, sekadar hidupnya kehilangan suami, walau dibantah atau ditangisi, resam dunia dan adat negeri, terlarang untuk bernikah lagi, selagi tidak diceraikan suami.

Kalau benarlah masih tergantung tidak bertali, mengambil keputusan bernikah sekali lagi, tanpa wali tanpa lafaz taklik suami dan juga saksi, pernikahan yang dijalin tidak berpaksi, hidup sebagai suami isteri. Akhirnya diri kembali sepi, satelah suami menghilangkan diri, apakah untung nasibnya diri, digantung suami tidak bertali, yang baru hadir akhirnya cabut lari.

Disudut hatinya ada cinta, terhimpun dalam sebuah lamunan, menjadi puteri berserta dayang istana,dalam senda loka menganyam kasih, menagih mutiara emas permata dari bilik khazanah negara. Bukan maksud menyimpul kasih, sekadar mencari tempat berlindung, dibawah lembayung pohon nan rendang.

Semakin kacau bilau jadinya cerita, bila terbongkar kucar kacir memanda wazir, mempunyai laksamana bercinta dengan isteri orang, teralpa sudah dosa dan pahala. Laksamana bergelar sidi raja, menjadi wakil rakyat jelata, bercanda dalam cinta terlarang, akhirnya hancur sebuah rumahtangga, perbuatan khianat isteri durjana, bermukah dikancah penuh maksiat, sedangkan diri adalah srikandi negara.

Di sebalik kesamaran ada sinar, kisah percintaan duda dan janda, berakhir dengan perang saudara, yang kalah menjadi abu, yang menang jadi arang, terlantar dipembaringan penuh kesakitan, luka dibadan nampak parutnya, luka di hati memendam dendam membara. Buah hati anak manja orang, terkurung dalam istana larangan, dilihat boleh dipegang jangan, begitulah adat susila keluarga ternama.

Jika berani bermain cinta, dengan puteri raja atau gadis desa, biarpun sekadar janda kesepian, setiap barang pasti ada harganya, tangan yang mencincang bahu jugalah yang memikulnya.

Pelbagai cerita timbul menjelma, Puteri raja di larikan dari taman larangan, ada isteri bermukah dengan Sidi raja, duda mengadun kasih mak janda, tiba-tiba terjelma kisah, cek mek molek dari seberang, tinggal duduk di negeri bawah angin, menjadi korban pembunuhan misteri, masih menjadi bicara hamba sahaya, apakah kematiannya kerana cinta tiga segi, atau mungkin ada cerita di sebalik rahsia, tamak dan haloba sebab musababnya.

Bagaikan sumpahan Megat Terawis, raja adil raja di sembah, raja zalim raja disanggah, hamba rakyat semakin keliru, benarkah memanda wazir bernikah mengikut hukum hakam negara, dengan wanita yang tidak punya suami lain, atau terlangsung sudah edah tiga purnama.....

Begitulah kisah begitulah cerita, sebuah negeri antah berantah, memanda wazir gundah gulana, namun terhibur bersama dayang istana, gagal mentafsir cinta sejati, enggan menyulam peribadi diri, halal haram tidak dipeduli, akhirnya hamba rakyat membawa hati.

Hilanglah sudah rasa hormat, enggan mengadun sopan dan santun, memanda wazir dijadikan senda loka, tanpa ada segan dan silu. Amat malang negeri antah berantah, memanda wazir punya angkara, habis terpalit seluruh istana, dengan pelbagai kisah sidang wazirnya, tiada lagi mengambil peduli, untung nasib hamba rakyat serata, hidup melata dalam merana.

Tiba ketika datang harinya, doa rakyat menghimpun peri, bersimpuh menadah kehadrat ilahi, agar petunjuk dan balasan yang hakiki, mengharap sinar menjelang dinihari.

ALAHAI ABDULLAH AHMAD BADAWI, ADUHAI SIDANG WAZIRNYA......!!


KAMAL AMIR MENULIS


SEPERTI yang telah dinyatakan melalui catatan minggu lalu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu) dikhabarkan akan bercuti selama satu minggu ke Australia bersama isteri barunya.

Ternyata benar dan tepat sumber yang memberitahu cerita musim percutian Abdullah itu. Masa, waktu dan tempat yang dilaporkan amat bertepatan sekali. Dan pada hari Sabtu sebelum berangkat ke luar negara diberitakan pada sebelah malamnya diadakan konsert simfoni Orkestra di Seri Perdana.

Disamping irama merdu nyayian para artis, turut disemarakkan dengan tembakkan bunga api untuk beberapa ketika di mana kemuncak kepada pertunjukkan tersebut dua kali diledakkan bunga api berbentuk bunga hati atau lebih tepat “love” bagi orang-orang muda yang sedang asyik bercinta.

Alahai hebat sungguh musim sambutan pernikahan Abdullah Ahmad Badawi dengan Jaean Danker @ Abdullah. Selain dari iklan di dada akhbar arus perdana serta majalah dan tabloid tempatan, ada pula sambutan simfoni orkestra yang pada mulanya direncanakan mahu mengundang penyanyi hebat dari Itali bernama Pavarotti.

Sedangkan pada hari dan ketika itu seluruh tumpuan rakyat jelata berpusat kesekitar kawasan pergunungan bukit Bentong kerana disitu terhempasnya sebuah helikopter Nuri bersama enam orang wira bangsa yang tidak diketahui untung nasib mereka.

Di saat keluarga mangsa Nuri ternanti-nanti apakah perkhabaran untung nasib enam orang wira bangsa yang akhirnya disahkan terkorban lima hari selepas kejadian tersebut, rupa-rupanya tidak sedikitpun dihiraukan oleh Abdullah Ahmad Badawi kerana asyik didendangkan kemerduan simfoni Orkestra Perdana bersama persembahan bunga api meraikan musim pernikahannya yang telah melewati satu bulan lamanya.

Hampeh!!! Tidak bersopan langsung sikap seorang ketua kerajaan yang asyik dilamun keseronokkan musim bulan madunya di saat-saat negara berdukacita oleh bencana helikopter Nuri di Genting Sempah.

Baginda Sultan Pahang sendiri turut turun mencemar duli bersama-sama pasukan penyelamat untuk mencari di mana helikopter tersebut terhempas dan berusaha sedaya mungkin bagi menyelamatkan mangsa, di waktu yang sama Abdullah Ahmad Badawi masih boleh bersuka ria dengan simfoni Orkestra Perdana yang dianjurkan oleh pembodek nombor wahid dikalangan sidang wazirnya bernama Zainuddin Maidin.

Apakah tidak boleh ditangguhkan upacara persembahan simfoni orkestra Perdana ke hari yang lain? Ini soal hidup mati para wira negara? Masakan seorang Perdana Menteri tidak boleh terfikir langsung? Apa yang jelas dia terus berdiam diri sehinggalah berita penemuan bangkai helikopter tersebut dilaporkan baru tersiar kenyataan resmi dari pejabat Perdana Menteri sebagai tanda turut bersedih, dalam waktu yang sama dia sudah berada di Australia dan tidak langsung mahu ambil perduli bagi memendekkan percutiannya menghadiri upacara pengkebumian wira bangsa.

Inilah budi pekerti seorang pemimpin yang mahu mendakwahkan konsep Islam Hadhari. Di saat negara di landa krisis kenaikan harga barangan dan keperluan rakyat naik mendadak tanpa mampu dikawal lagi, di saat kemelut politik yang tidak menentu, di saat negara bersedih menerima berita terkorbannya enam orang wira negara, di saat semakin ramai anak bangsanya bakal menjadi calon muflis, di saat syarikat anak bangsa terpaksa gulung tikar, dia masih punya waktu dan kesempatan untuk bercuti ke luar negeri bersama isteri dan anak-anak.

Dan apabila pulang ke tanah air nanti jika ada wartawan yang bertanya kepadanya apakah beliau sedar tentang beberapa insiden dan permasaalahan yang menimpa negara tentulah jawapannya “ saya tidak tahu” atau “ saya akan tunggu laporan”. Mungkin lebih menyedihkan jika muncul pula ayat-ayat lazimnya “ saya tak ada komen”.... Hampeh!!!!!!!

Masih termampukah kita menyimpan amarah rakyat? Apa labon yang dapat dilakukan oleh kalangan “cyber trooper” (pahlawan siber) yang ditaja oleh Azalina Othman serta kuncu-kuncunya bagi menangkis serangan para pengkritik kerajaan Abdulah Ahmad Badawi?

Sejak merdeka rasanya inilah musim paling gerhana dalam kepimpinan negara yang menyaksikan Perdana Menteri dibalun setiap hari oleh para pengkritiknya yang kebanyakannya terdiri di kalangan ahli-ahli Umno berhubung peribadi Abdulah Ahmad Badawi dan kalangan sidang wazirnya.

Terbaru melalui akhbar mingguan Siasah dan The Malay Mail tersiar pula cerita paling kontroversi berhubung seorang Timbalan Menteri dikatakan telah membelasah seorang duda beranak dua gara-gara terjebak dalam kancah Percintaan Terlarang.

Sejauh mana benar Badzli Amir dibelasah oleh Timbalan Menteri bersama kuncu-kuncunya di Country Heights tahun lalu hanya pihak polis yang boleh mengesahkkannya tetapi masakan boleh bergoyang pohon nan rendang jika tidak digegarkan? Masakan ada asap tanpa api? Kecualilah asap motor mat-mat rempit.....

Dari laporan kedua-dua akhbar tersebut serta tersiarnya berita itu lebih awal lagi di laman maya “MARHAEN” masih mampukah dinafikan ujudnya peristiwa seperti itu? Wallahualam...

Berbalik kepada cerita percutian Abdullah Ahmad Badawi ke luar negeri, Raja Petra Kamaruddin minggu lalu juga turut menulis bagaimana pemergian Perdana Menteri bersama isteri dan anak-anaknya dikatakan secara tergesa-gesa serta tidak diketahui ramai oleh kalangan sidang wazirnya.

Jika benarlah pemergiannya dalam keadaan tergesa-gesa apakah sebab sebenar berlakunya keadaan seperti itu? Adakah ianya sekadar memenuhi kehendak serta permintaan isterinya mahu bercuti keluar negeri dalam santai musim bulan madu atau ada cerita lain yang tersembunyi?

Sewaktu memikirkan kenapa harus percutiannya dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tiba-tiba telefon bimbit saya menerima satu pesanan sms berikut:

Masa semakin hampir berakhirnya lagenda seorang Perdana Menteri yang dibenci rakyat!!! Namun begitu ingatlah kisah Caca Marba bertukar menjadi acuan Martabak di mana kiranya raja-raja Melayu memaktubkan semula hak-hak dan tuan punyanya keatas hak jajahannya seperti terkandung dalam perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, di mana Persekutuan merupakan cadangan balas Raja-raja Melayu kepada British supaya Malayan Union ditolak.

Onn Jaafar dan Cina settelments dan cina peranakan amat menyokong tindakan tersebut. Tetapi warga asing yang baru sampai dan ahli intelek Melayu ala ‘Fabians’ dan idealistik mahu semuanya kerana dibimbangkan oleh Eropah supaya jangn timbul lagi “2nd Japan” di kalangan negara-negara Asia. Oleh itu Komintang dan komunis menajakan “win-win movements di Asia melalui Nanyang dan jadilah Melayu caca marba semenjak dari tarikh itu.....

Sementara itu seorang teman turut mencatatkan di telefon bimbit dengan catatan berikut : Masa kian hampir, penerbangan sedang menuju landasan untuk mendarat ke lapangannya, banyak kejadian aneh berlaku secara tiba-tiba.... saudara bakal menyaksikan banyak kejadian menarik untuk dianalisa... rakyat bakal merasa gembira oleh perkembangan ini....masa kian hampir....

Dari dua sms tersebut menimbulkan beberapa pertanyaan di hati ini apakah benar kita bakal mengalami perubahan politik dalam masa terdekat? Benarkah rakyat menanti dan menunggu perubahan tersebut yang dkatakan menggembirakan hati rakyat?

Timbul juga persoalan sejauh mana rakyat benar-benar mengharapkan perubahan politik yang melibatkan pengunduran Abdullah Ahmad Badawi berserta sidang wazirnya dari Perdanasari....

Jika benar Abdullah Ahmad Badawi berundur maka timbul pula persoalan, siapakah bakal penggantinya? Kalau bukan Najib atau Mahyuddin dan mana-mana kalangan sidang wazirnya apakah ada pemimpin lain bakal ditonjolkan sebagai teraju utama tempat rakyat berpayung?

Terkadang teringin juga mendapatkan jawapan dari rakyat serta khalayak massa apakah mereka benar-benar mahukan Abdullah Ahmad Badawi berserta sidang wazirnya (jemaah menteri) disingkirkan? Jika benar jawapannya maka siapa pula agaknya yang boleh diberikan kepercayaan? Berikanlah pandangan anda.... Hidup bangsa ku.... merdeka bumi ku.

SESAK NAFAS RAKYAT

KAMAL AMIR MENULIS


SEORANG ibu mencangkung dihadapan Pasaraya Jalan Hock Ann, Chow Kit Kuala Lumpur. Matanya berkaca melontarkan pandangan sayu. Setiap warga kota yang mundar mandir tiada menyapanya.

“Kakak mahu tunggu teksi ke?” saya mengajukan soalan, kerana melihat agak lama dia duduk mencangkung di situ.

“Tidak, akak tengah binggung.” Jawabnya dalam nada perlahan.

“Kenapa pula? Kakak tinggal di mana? Mungkin ada masaalah?” saya mengajukan soalan dalam bengit bahang Kuala Lumpur begitu menyesakkan oleh asap mobil yang lalu lalang.

“Akak tinggal di Keramat, tengah dok fikir, tadi anak akak minta ayam goreng, anak yang nombor dua teringin buah durian, tadi akak ke pasar ikan, harganya tuhan saja yang tahu. Suami akak bagi lima puluh ringgit buat belanja pasar, apalah yang dapat akak beli dengan wang sejumlah itu, duit simpanan akak ada tiga puluh, kesemuanya lapan puluh ringgit.” Dia diam seketika sambil anak matanya menjeling kepapan tanda pasaraya.

“Kakak datang naik apa? “ tanya saya lagi.

“Tadi naik teksi, tambang teksi mahal, nak balik nanti tentu kena bayar sepuluh ringgit, ayam dalam lima belas ringgit, ikan dan sayur tiga puluh ringgit, kalau beli buah durian sepuluh ringgit, habis macam mana akak nak beli beras dan bawang. Ini yang tengah pening akak fikirkan.

“Beginilah kak, ambil lima puluh ringgit dari saya, angaplah sedekah ikhlas dan belilah apa yang boleh untuk anak dan kirim salam pada suami kakak” ujar saya sambil berlalu.

Sepanjang memandu kereta menghala ke Bangsar Shoping Centre untuk bertemu saudara Aspan Alias (teman yang tabah mengharungi denai politik negara) fikiran diterpa persoalan, apakah begini nasibnya masyarakat marhain kesan kenaikan barang yang bagaikan tidak termampudi kawal oleh penguasa dan kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Semasa negara di bawah pimpinan Tun Razak dan Tun Husein Onn dahulu gaji masayarakat wartawan sekitar lima ratus ringgit sebulan, tapi rasanya jika punya wang sebanyak lima puluh ringgit itu sudah cukup mewah. Harga semangkuk sup kambing di Benteng empat puluh sen, roti canai Harun di Chow Kit hanya dua puluh sen, kopi tarik kedai Yusuf Suria di Jalan Hock Ann baru lima puluh sen.

Tambang bas Seri Jaya dari Perhentian Kelang menghala ke Angkasapuri lima belas sen. Nasi kandar Ibrahim Shah di Selangor Mansion satu ringgit dua puluh sen cukup mengenyangkan. Malahan boleh kepit tangan kekasih menonton filem Bobby sambil beli kacang dan kauci, duduk di kerusi kelas satu belanjanya tidak sampai lima ringgit.

Itu dulu.....! dulu.....! Era Dr. Mahathirpun tidak banyak bezanya. Belanja tiga ringgit boleh beli ayam kentucky “it’s finger licking good”.Bawa lima puluh ringgit boleh beli ikan, sayur, udang, ayam dan tempe....

Hairannya hari ini wang di tangan kalau sekadar satu ratus ringgit ke pasaraya tidak cukup berbelanja untuk satu minggu.(masyallah). Sebut apa sahaja barang keperluan, segala-galanya naik mendadak.

Menurut saudara L.Mankadir Shamsi bekas wartawan dan pernah menjadi pelakon filem “Man Laksa” terkadang dirinya merasa pelik dan cukup pelik. Untuk tidak lagi menjadi warga kota dia membuka kedai runcit di Bentong Pahang. Semasa menteri mengumumkan harga siling barangan terkawal seperti tepong dia diterpa persoalan apakah menteri tersebut tahu dan faham tentang apa yang dicakapkan.

“You tau, menteri kata harga siling dan harga runcit tepung satu ringgit tiga puluh lima sen sekilo. Sedangkan harga dari pembekal sahaja sudah RM 1.30. Mana mungkin pekedai boleh menjual dengan harga yang ditetapkan oleh pak menteri. Ini betul-betul baghal punya menteriiii...” gerutunya.

“Yang pak lah pun satu hal, siang hari siang malam minta supaya pekedai jangan naikkan harga barang, tahu ke dia harga ini semua naik melambung kerana dasar Pak Lah sendiri yang menaikkan harga minyak. Bila minyak naik semua naik. Gajahpun kalau naik minyak habis bercempera kebun pisang dikerjakan.

“Pak Lah ni tahu buat kerja ke? Jangan asyik nak bagi syarahan itu ini sahaja, fikirkan cara terbaik dan saya lihat kalau minyak turun tentulah barangan akan turun. Ini tidak, dulu saya isi kereta kacil cukup tiga puluh ringgit penuh tangki tapi sekarang kena lapan puluh, apa punya Perdana Menteri ...” gerutu Man Kadir lagi.

Lantaran itu teringat tulisan Sayuti Omar yang mempersoalkan kenapa rakyat mahu menurunkan Abdullah Ahmad Badawi dan siapa harus digantikan. Malahan dalam tulisannya lewat bicara “sesama kita” saudara Sayuti bertanya apakah kesalahan besar yang dilakukan oleh Pak Lah hingga memaksa dia segera diturunkan.

Sewaktu menunggu kedatangan saudara Aspan Alias sambil menghirup secangkir kopi di warung Dome, Pasaraya Bangsar terlihat kelibat seorang isteri menteri turun dari sebuah kereta mewah diiringi pengawal peribadi. Hebat cukup menghebatkan. Dalam tempoh tidak sampai setengah jam sudah kembali ke kereta menjinjing barangan serba mewah.

“Tu tengok isteri mentori kita, alahai cukup bergaya, berbelanja sakan bagai nak rak.” Tiba-tiba Aspan menyapa sambil menghulur salam. “Tu hah tengok tu, ada tiga buah mobil mewah jenama Brabus, sebuah mobil pasti harganya mencocah hampir satu juta ringgit. Itu semua milik anak buah budak-budak tingkat empat.” Sambungnya.

“Apa maksud saudara? “ saya bertanya sambil menyambut salamnya.

“Yang isteri mentori sibuk bergayo, shoping bagai nak rak, tahu ke dio rakyat di Pilah tengah sosak mencari belanja untuk bayar yuran dan biaya buku anak sekolah. Dan tu hah yang pakai kereta mewah Brabus, semua tu kekawan Perwira Mat Lela Gila seperti yang ekau tulis minggu lalu tu lah.

“Macam mana boleh jadi begitu ya? “ tanya saya lagi.

“Jangan polik, zaman Pak Lah semua boleh jadi, budak baru berusia dua puluh lima tahun dah boleh pakai Brabus harganya dokek satu juta. Kau tengok barang kemas isteri menteri tu, dari hujung kaki sampai ke telinganya dihias barang kemas ratusan ribu. Semuo tu ado insuran, kalau nampak mat rompit losappp . Itulah hebatnya. Macam mana mereka boleh kumpul wang sebegitu banyak jangan tanya, nanti kau kena pecat dari jadi ahli Umno . Ini era Islam Hadhari....” ujarnya lagi.

“Tadi Datuk Shafie Afdal menteri hal ehwal pengguna minta CEO pasaraya Tesco agar mempastikan harga di pasaraya tersebut sentiasa terkawal dan tidak dinaikkan secara sembrono. Apa pandangan you Pan?” saya melontarkan pertanyaan kepadanya.

“Itu lagi hampeh, Tesco tu ada di Pilah ke? Ada di Cheruk Tok Kun , Ada di Gua Musang , Kudat, Baling, Simpang Rengam, Sarikei atau mana-mana kawasan pedalaman? Apa punyo mentori? Apakah dia Cuma jaga orang Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar saja kah? Isunya bukan soal harga di pasaraya, tapi kawalan di kedai-kedai runcit. Para pekedai terpaksa menaikkan harga barang kerana kos pengangkutan sudah melambung. Selagi harga minyak naik dan terus naik selagi itulah rakyat akan di cengkam penderitaan.” Tegasnya sambil memasan secawan teh tarik.

“Bagaimana pandangan you tentang kes perbicaraan Altantuyya?” saya cuba memancing.

“Hei brother, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dongar-dongar. Ini kes bosar. Tapi zaman Pak Lah semua boleh runding. You jangan cakap I bagi tahu... inilah akibatnya kalau pemimpin itu korup, kaki rasuah, menyamun dan merompak harta rakyat, macam-macam bencana boleh menimpa negara.

“Maksud you ada kong kali kong dalam kes Altantiyya?

“Jangan tanya den, itu kena tanya AG Tan Sri Ghani Patail, den cumo tengok karenah orang politik yang dah jadi mentori, jauh bezanya dengan menteri dulu-dulu. Mentori hari ini asyik mengaut dan mengumpul harta. Rasuah tak usah cakaplah.... selagi boleh sebat mereka sebat. Berbeza dengan zaman Tengku Razaleigh Hamzah jadi menteri kewangan dahulu, kaum kerabat Tengku tidak berpeluang nak sebat projek juta-juta. Tengku tak bagi.

“Masa zaman Tengku Razaleigh dahulu beliau tidak kebas duit rakyat, masa mengasaskan Petronas dulu ada juga agen-agen orang Inggeris datang melobi untuk memberi rasuah kepadanya, tapi semua melopong kena tolak bulat-bulat. Sebab itu dia teruk kena fitnah sebab Tengku Razaleigh tidak termasuk dalam kumpulan yang melakukan rasuah. “ tegasnya sambil menghirup teh tarik yang masih berasap.

“maksud kau Tangku Razaleigh tidak mengamalkan rasuah atau kroni?

“Usahkan kroni, nak dapek projek dari Tengku kalau tidak betul-betul lebur. Tengku Razaleigh tidak mengamalkan rasuah sebab dia sendiri dah kayoooo! Pergi siasat tanah tempat bangunan Umno yang tersergam itu asalnya milik siapo? Tanah untuk tapak Pernas sapo yang punya? Tengku tidak kebas tapi dia menghulur. Fikir-fikirkanlah......” tambahnya lagi.

“Bagaimana pandangan you antara Ku Li dan Pak Lah? “ saya cuba memancing.

“Jauh....satu pemimpin Islam yang menjadikan Islam sebagai way of life, yang satu baru nak cipta Islam baru Islam Hadhari. Satu banyak memberi dari menerima yang satu lagi kebas sana sini untuk kaum kerabat. Ahhhh mari kita sembang cerita Altanttuya lagi seronok. Nak cerita pasal Pak Lah bertambah sosak nafas den.. “ ujarnya.

KERTAS PUTIH MALAYAN UNION

13 PERKARA

DILULUSKAN OLEH

PARLIMEN DI LONDON

PADA 22HB JANUARI 1946



PERKARA SATU


Bahawa adalah Negeri-Negeri yang berkenaan di dalam kenyataan ini yang mengandungi yang pertamanya Colony Negeri-Negeri Selat iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka di dalam Semenanjung Tanah Melalyu, Labuan di pantai Utara Borneo dan Pulau-Pulau Cocos – keliling di sebelah Sumatera, yang kedua Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan ketiga Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis di dalam Semenanjung Tanah Melayu juga.

Jajahan Negeri-Negeri Selat sebelum diduduki Jepun, adalah tepat di bawah pentadbiran British. Adapun di dalam Negeri-Negeri Melayu, kuasa British terletak di dalam perjanjian-perjanjian yang diadakan dengan raja-raja Melayu yang dengannya tiap-tiap seorang raja itu kekal tarafnya sebagai raja di dalam Negerinya, sekalipun tiap-tiap seorang daripada mereka itu terwajib menerima nasihat British di dalam segala perkara, kecuali di dalam perkara-perkara agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Tentang menyatukan pentadbiran antara satu dengan lainnya telah dijalankan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat di dalam sifatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi (High Commissioner) bagi Negeri-Negeri Melayu. Sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat ia memegang terus pentadbiran tanah-tanah jajahan (colony) itu.

Tetapi atas perkara-perkara yang berkenaan dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, sebagai Pesuruhjaya Tinggi, ia menjalankan kerja-kerja menerusi British Resident di dalam tiap-tiap sebuah daripada empat Negeri itu dan menerusi Federal Secretary di ibu pejabat kerajaan Bersekutu (Kuala Lumpur); di atas urusan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, dengan sifatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi juga ia menjalankan kerja-kerjanya menerusi seorang Penasihat di dalam tiap-tiap sebuah negeri itu.

Tetapi kerja menyatakan ini telah dijalankan menerusi beberapa Majlis Undangan dan Pentadbiran. Undang-Undang di dalam Colony, telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Undangan Negeri-Negeri Selat. Undang-Undang di dalam Negeri-Negeri Melayu oleh Federal Council (Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Bersekutu) dan oleh tiap-tiap sebuah Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing dan Majlis Mesyuarat Undangan di dalam tiap-tiap sebuah Negeri di dalam Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu oleh Majlis Mesyuarat Negeri di dalam tiap-tiap sebuah Negeri. Persamaan Undang-Undang di dalam Negeri-Negeri Melayu adalah dikehendaki kerja berasing-asing, sekurang-kurangnya oleh enam dan pada sesetengah perkara oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan.

PERKARA DUA

Keadaan yang berbagai-bagai dan berasing-asing yang demikian ini di dalam sesebuah negeri yang tidak berapa besar daripada Negeri-Negeri England itu dahulunya tidak begitu dikehendaki dan dalilnya nampak ternyata bahawa keadaan demikian ialah suatu peringkat yang berfaedah dan mustahak bagi kemajuan beberapa Negeri.

Tetapi percampuran yang bertambah banyak daripada kemajuan-kemajuan moden daripada pentadbiran ekonomi dan masyarakat, yang menuntut diadakan suatu cara kerajaan yang lebih mudah dan lebih-lebih lengkap bagi perkhidmatan-perkhidmatan am yang besar yang biasa diadakan dan menjadikanya lebih sempurna dan berfaedah bagi masa dan tenaga. Balik kepada lama itu nyata benar berlawanan dengan muslihat faedah Negeri-Negeri itu dan penduduknya di dalam dunia yang telah berubah lepas perang, dengan kesukaran-kesukarannya yang timbul disebabkan oleh peperangan dan di dalam Semenanjung Tanah Melayu soal-soal yang khas telah timbul disebabkan oleh pendudukan Jepun, suatu peringkat telah sampai sekarang manakala satu cara kerajaan mesti dimudahkan dan diubah dengan perubahan yang membaiki.

Perhubungan di antara bangsa-bangsa dan juga keselamatan dan lain-lain muslihat bagi Commonwealth British adalah berkehendakkan supaya Semenanjung Tanah Melayu boleh menjalankan suatu pengaruh sebagai sebuah Negeri yang bersatu dan maju iaitu berpadanan dengannya yang penting di dalam bahagian ekonomi dan bahagian ketenteraan (strategy).

Dengan pandangan yang jauh juga peraturan sebelum perang itu tiada boleh membawa kepada keadaan perubahan politik yang seperti itu iaitu perubahan yang akan memberi jalan dan harapan menerusi pembentukan-pembentukan yang berasas luas yang di dalamnya semua penduduk Negeri boleh mengambil bahagian bagi memajukan kebolehan Melayu itu menuju kepada berkerajaan sendiri (self government) yang bertanggungjawab.

Di dalam perubahan kemajuan, sekalian orang yang menjadikan Negeri ini Negeri tumpah darah dan tempat tinggal, mereka patut mendapat peluang dengan suatu bahagian yang patut bagi mereka di dalam pembentukan-pembentukan politik dan kebudayaan Negeri ini. Oleh sebab itu dan oleh kerana meraikan kemajuan fikiran cara demokratik sekarang, patut dimudahkan, diubah dan dibaiki kaedah-kaedah susunan pemerintahan Negeri ini.

PERKARA TIGA

Baginda King, Pemerintah Negeri British mestilah menjadi tali wasitah pertambatan yang akan menjadi serangkai dan bersatu akan segala puak-puak bangsa yang berlain-lainan di Negeri Tanah Melayu serta menggalakkan perasaan mempunyai hak-hak faedah yang satu dan bersamaan di antara mereka itu dan juga menggalakkan kemajuan tubuh-tubuh bentukan yang dipunyai bersama-sama. Tetapi jika mnegikut kedudukan cara lama itu, Yang Maha Mulia Baginda King tidaklah ada memegang kekuasaan apa-apa, di dalam Negeri-Negeri Melayu itu.

Sungguhpun di dalam syarat surat-surat persetiaan sekalian Raja Melayu mestilah menerima nasihat British (kecuali di dalam hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu). Tujuan polisi yang baharu ini menghendaki bahawa Baginda King mestilah ada memegang kekuasaan di dalam Negeri-Negeri Melayu itu supaya ia boleh membuat undang-undang yang sama serupa di dalam semua Negeri mengikut ‘Kanun undang-undang kekuasaan di Negeri asing (Foreign Jurisdiction Act)’.

Oleh yang demikian Sir Harold Mac Michael sebagai wakil khas daripada kerajaan Yang Maha Mulia Baginda King telah bekerja jadi utusan ke Negeri-Negeri Melayu dan telah berjaya membuat suatu perjanjian dengan tiap-tiap seorang daripada raja-raja Melayu itu setelah berunding dengan mereka secara persahabatan dan berbaik-baik. Perjanjian yang telah diperbuatnya itu ialah sebagai suatu tambahan kepada surat-surat persetiaan yang telah sedia daripada dahulu dan adalah memberi kekuasaan yang penuh di dalam tiap-tiap Negeri itu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda King.

PERKARA EMPAT

Adalah dicadangkan bahawa Negeri-Negeri Selat sekarang iaitu Pulau Pinang,
Melaka dan Singapura di dalam suatu pembentukan siasah (pemerintahan) itu patut diubah menurut garis-ragis yang tersebut di bawah ini:-


a. Negeri Singapura patut menjadi sebuah jajahan (colony) yang berasingan dan


b. Negeri-Negeri Pulau Pinang dan Melaka patut diperintah bersama-sama dengan Negeri-Negeri Melayu di dalam Malayan Union.


Berkenaan dengan Negeri-Negeri Melayu itu, cadangan-cadangan ini akan dijalankan mengikut undang-undang kekuasaan di Negeri-Negeri asing (Foreign Jurisdiction Act 1809) dan berkenaan dengan Negeri-Negeri Selat akan dijalankan mengikut undang-undang yang sekarang ditimbangkan di dalam Parlimen iaitu Rang Undang-Undang Pindaan Negeri-Negeri Selat.


PERKARA LIMA

Pada menimbangkan kewajipan mesti mempersatukan pemerintahan yang rapat di Semenanjung Tanah Melayu, kerajaan Baginda King memikirkan bahasa sekurang-kurangnya bagi sementara ini, Singapura patut diasingkan. Singapura adalah pusat perniagaan yang amat besar dan ada mempunyai muslihat-muslihat Semenanjung. Tetapi adalah diakui bahawa telah dan akan ada ikatan-ikatan yang rapat di antara Singapura dengan Semenanjung dan kerajaan Baginda King kemudian kelak tiada pula akan menahan tujuan menyatukan Singapura dengan Malayan Union menjadi sebuah Kesatuan yang lebih luas pada suatu masa hadapan kelak sekiranya yang demikian itu difikirkan dikehendaki.

PERKARA ENAM

Seperti yang disebutkan, Negeri Singapura yang termasuk di dalamnya Pulau-Pulau Cocos, Killing dan Pulau Christmas akan dijadikan jajahan takluk (colony) Singapura diperintahkan oleh seorang gabenor dengan sebuah Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Council) dan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council).

Didalam pemindahan di antara tamatnya pentadbiran tentera sekarang dengan mula terdirinya perlembangan baharu itu, gabenor akan diberi kuasa membuat undang-undang dengan bantuan sebuah Majlis Penasihat yang ia akan diperintahkan memiihnya menurut suatu dasar perwakilan yang luas sebagaimana yang diluluskan oleh keadaan pada masa itu.

Di dalam masa perantaraan itu ia akan diperintahkan supaya menimbang dengan halus dan cermat siapakah orangnya yang akan menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerja (Execuitve Council) dan bagaimana hendak mengangkat dan memilih orang-orang yang akan menjadi ahli Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council) bagi menentukan Majlis-Majlis Mesyuarat itu mengandungi wakil-wakil yang cekap dan layak betul daripada segala peringkat dan puak rakyat di dalam Negeri.

Kerana maksud menjalankan pemerintahan tempatan, Municipality Singapura, Harbour Board dan Singapura Improvement Trust, akan dilembagakan semula dengan seberapa segera. Di dalam masa pemindahan yang disebutkan, gabenor akan diperintahkan supaya menimbang dengan cermat tentang hendak meluaskan lagi lingkungan kuasa-kuasa Lembaga Municipality dan dasar mengambil wakil-wakil rakyat ke dalamnya.

PERKARA TUJUH

Pertubuhan Malayan Union akan mempunyai sebuah pemerintahan yang mengandungi seorang gabenor dengan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan. Di dalam tiap-tiap sebuah Negeri akan diadakan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri yang akan mempunyai kuasa mentadbir dan kuasa membuat undang-undang tambahan yang diwakilkan kepadanya oleh kuasa pusat iaitu mana-mana yang patut menurut kehendak-kehendak kerajaan di dalam Negeri itu.

Majlis-Majlis ini iaitu Majlis Pusat dan Majlis-Majlis Negeri itu akan mengandungi ahli-ahli rasmi (official) dan bukan rasmi (unofficial). Pada masa permulaan iaitu lepas tamat pentadbiran tentera sekarang dan sebelum Perlembagaan baharu itu dikuatkuasakan gabenor akan diberi kuasa membuat undang-undang yang mustahak dengan bantuan sebuah Majlis Penasihat yang ia akan diperintah melantiknya daripada segala peringkat penduduk Negeri itu seberapa luasnya yang dapat mengikut kadar yang dibolehkan oleh keadaan pada masa ini.

Di dalam masa yang tersebut ini, gabenor akan diperintah menyempurnakan perundingan-perundingan dengan orang ramai negeri itu bagi menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Council) dan Majlis Mesyuarat Undangan (Legislative Council) dengan seberapa segera perubahan-perubahan ini di dalam peraturan membuat undang-undang ini tiadalah akan mengganggu dasar kerajaan berkenaan dengan dasar tanah di dalam Negeri-Negeri Melayu. Dasar tanah reserve Melayu (Malay Lands Reservation) khas akan dikekalkan seperti dahulu juga.

PERKARA LAPAN

Kerajaan Bagindan King sedia ingat akan kedudukan khas Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Oleh yang demikian adalah dimaksudkan bahawa Raja bagi tiap-tiap sebuah Negeri akan mengetahui sebuah ‘Majlis Penasihat Melayu’ (Malay Advisory Council) yang ahli-ahlinya akan dilantik dengan persetujuan gabenor.

Kerja-kerja Majlis Penasihat Melayu itu yang mustahak ialah perkara-perkara yang berkenaan dengan agama Islam tetapi Majlis-Majlis itu boleh menasihatkan Raja-Raja di dalam lain-lain perkara yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya Tempatan (Resident Commissiner) yang menjalankan perkara itu dengan persetujuan gabenor.

Atas perkara-perkara yang berkenaan dengan agama Islam, kecuali tentang memungut zakat dan fitrah, tiap-tiap seorang Raja, dengan bantuan Majlis-Majlisnya mempunyai kuasa-kuasa boleh membuat undang-undang di dalam Negerinya. Undang-undang yang seperti itu berkehendakkan persetujuan gabenor dan bagi maksud ini ia akan dibantu oleh sebuah Majlis Penasihat Pusat (Central Advisory Council) daripada Raja-Raja Melayu dengan dipengerusikan oleh gabenor.

Selain daripada menimbang segala undang-undang mengenai agama Islam, Majlis Penasihat Pusat boleh merundingkan lain perkara sama ada dengan kemahuan gabenor ataupun kemahuan salah seorang daripada Raja-Raja dengan persetujuan gabenor.

Dengan peraturan-peraturan ini adalah ditentukan bahawa tiap-tiap seorang daripada Raja-Raja itu boleh mengambil bahagiannya bukan hanya di dalam perkara-perkara yang berkenaan dengan negerinya sendiri bahkan juga di dalam perkara kemajuan yang akan datang bagi Tanah Melayu amnya. Tiap-tiap seorang Raja tidak syak lagi akan mendapat bayaran pencen yang berpatutan dengan taraf kebesarannya.

PERKARA SEMBILAN

Di dalam perkara perniagaan adalah sangat dikehendaki bagi mengadakan perhubungan yang baik dan berfaedah bagi kedua-dua pihak di antara Malayan Union dengan Singapura. Perkara yang sama mustahak mengenai seluruh Malaya yang berkehendakkan satu tujuan yang serupa bagi seluruh Malaya ialah seperti pelajaran tinggi, imigresen, matawang, cukai-cukai pendapatan, perjalanan kapalterbang, simpanan pos dan telegraf, dan kapal-kapal. Perkara ini akan diadakan peraturannya yang sama di antara Malayan Union dengan koloni. Perkara matawang akan berjalan terus dikelolakan mengikut perjanjian bagi seluruh Negeri Tanah Melayu.


PERKARA SEPULUH

Dasar kerajaan Baginda King ialah menggalakkan suatu taraf kerakyatan yang luar, yang akan termasuk, dengan tidak ada perbezaan bangsa dan agama, iaitu sekalian orang yang boleh mendakwa menjadi orang negeri ini dengan sebab ia diperanakkan di sini atau dengan sebab ia telah duduk di sini selama suatu masa yang patut, bolehlah ia menjadi rakyat, oleh itu adalah dicadangkan hendak mengadakan dengan kuatkuasa perintah di dalam Mesyuarat akan suatu taraf kerakyatan yang dinamakan ‘Kerakyatan Malayan Union’. Orang-orang yang tersebut di bawah ini akan mendapat kerakyataan Malayan Union iaitu:-

a. Orang-orang yang diperanakkan di dalam Negeri-Negeri Kesatuan (Union) atau di dalam koloni Singapura.

b. Orang-orang yang pada tarikh perintah di dalam Mesyuarat berjalan kuatkuasanya telah tinggal di dalam Negeri-Negeri itu selama sepuluh tahun daripada limabelas tahun yang lalu (di dalam hitungan 15 tahun itu, masa pendudukan Jepun tiada dikira).

Boleh juga bagi orang-orang mendapat hak rakyat Malayan Union setelah tinggal lima tahun di dalam Malayan Union atau Singapura. Rakyat-rakyat British yang dapat menjadi rakyat Malayan Union dengannya tidaklah hilang daripada mereka taraf rakyat British itu. Orang-orang yang bukan rakyat Malayan Union tiadalah sekali-kali boleh menjawat jawatan di dalam pejabat kerajaan atau menjadi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Pusat atau Majlis Mesyuarat sebuah negeri, kecuali dengan persetujuan gabenor. Orang-orang yang berkehendak kepada kerakyataan Malayan Union, kecuali yang diperanakkan di sini akan dikehendaki mengangkat sumpah setia kepada Malayan Union.

PERKARA SEBELAS

Bagi Malayan Union akan diadakan sebuah Mahkamah Tinggi dan sebuah Mahkamah Tinggi bagi Singapura. Tiap-tiap sebuah mempunyai seorang Hakim Besar (Chief Justice) mengetuainya. Tiap-tiap sebuah Mahkamah Tinggi itu mengandungi sebuah Mahkamah Tinggi biasa dan sebuah Mahkamah Ulangbicara. Hakim-Hakim Besar dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Malayan Union dan Singapura akan jadi hakim juga di dalam Negeri yang lain. Kedua-dua Mahkamah Ulangbicara itu boleh juga meminta ulang bicara kepada Privy Council.

PERKARA DUABELAS

Peraturan-peraturan akan dibuat bagi memindahkan dengan sedikit-sedikit kecualinya, harta-harta kepunyaan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) kepada Malayan Union.


PERKARA TIGABELAS

Bagi kehendak kepada kerja menyatukan dan mengarah di antara dasar-dasar kerajaan Malayan Union dan Singapura, adalah dicadangkan bahawa perkara ini sayogialah menjadi satu daripada kerja Gabenor General yang ada di dalam cadangan-cadangan kerajaan Baginda King melantiknya bagi kawasan ini. Daerah yang tetap yang bersabit dengan urusan Gabenor General dan kawasan pergerakannya belum lagi habis ditetapkan.

Selain daripada Malayan Union dan Singapura, daerah itu akan termasuk Labuan dan Brunei. Manakala Sarawak dan North Borneo akan termasuk juga. Raja Vyner Brooke telah bersetuju menyerahkan Sarawak kepada kuasa Gabenor General yang tidak akan menjalankan sebarang pentadbiran yang tetap tetapi ia akan mempunyai kuasa menyatukan kerja dan mengarahnya dan kuasa mengadakan persidangan-persidangan atas sebarang perkara. Persidangan-persidangan ini akan dihadiri oleh gabenor-gabenor British dan lain-lain wakil British yang di dalam lingkungan kuasanya.

KENAPA MESTI RAKYAT DIBOHONGI...

KAMAL AMIR MENULIS

AKHIRNYA Ezam Mohd Nor bekas Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan mengumumkan secara rasmi meninggalkan parti tersebut untuk meneruskan agenda “Gerak” memerangi korupsi.

Begitu juga Datuk Rahman Osman bekas Timbalan Presiden Keadilan turut mengatur langkah mengundurkan diri dan menyertai Partai Islam Malaysia (PAS), beberapa teman seperjuangan mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menutup tirai perjuangan mereka atas platform parti Keadilan.

Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris Ezam memberitahu keputusan meninggalkan parti Keadilan bertolak dari hambatan kekecewaannya melihat gelagat Anwar Ibrahim yang sering kali didominasikan oleh Azmin Ali.

Sementara Datuk Rahman Osman pula merasakan idelogi perjuangan Keadilan semakin tersasar dalam situasi sempang peranang dan tidak lagi bersedia bersedia melihat percaturan politik menyanggah perlembagaan apabila Anwar Ibrahim yang tidak memegang apa-apa jawatan boleh mengatasi kuasa Presiden parti.

Menyaksikan satu demi satu rakan-rakan “qarib” Anwar meninggalkannya terasa hiba juga di hati mengenangkan jerih marhain yang terpedaya musim “lebam mata itu” bergegar di sana sini untuk bereformasi jalanan.

Masih terbayang lagi penderitaan kalangan pengikut dan penyokong Anwar merelakan diri mereka dibelasah dengan belantan dan semburan gas pemedih mata musim reformasi “black September 1998” dan “black April 199” semata-mata atas nama perjuangan serta mahu mempertahankan wibawa Anwar Ibrahim.

Ramai juga kalangan teman-teman seangkatan turut terperosok di dalam sel tahanan polis sementara beberapa orang yang sedikit radikal seperti Hishamuddin Rais, Ezam, Raja Petra, Shaari Sungib, Tian Chua dan beberapa nama lain menjadi penghuni “Unibersiti Kemunting” terpisah dari keluarga tersayang sepi di kem tahanan.

Malangnya setelah Anwar dibebaskan dari penjara Sungai Buloh bersama doa seribu syukur dari himpunan para penyokong dan teman-teman, hari ini segalanya berubah rentak. Bicara sudah tidak sekata, muafakat menghilang entah kemana. Setiakawan dan setiakasih bertukar menjadi sengketa sesama sendiri.

Persoalannya, kenapa marhaian harus dibohongi dengan pelabagai agenda perjuangan yang belum selesai? Wibawa apakah mahu ditonjolkan oleh Anwar? Penipuan dan putar

Belit apa lagi yang mahu dilakonkan oleh Azmin Ali? Tipu muslihat bagaimana pula mahu dicorakkan oleh mereka dalam keadilan?

Hari ini sudah terdengar sosek-sosek tentang dana politik puluhan juta hasil sumbangan pelbagai pihak yang terpengaruh dengan percaturan politik licik keadilan tersembunyi dan tidak diperjelaskan bagaimana serta kemana ia disalurkan. Anwar Ibrahim masih mampu menjelajah benua atas dana yang tidak diketahui dari mana puncanya. (dengar khabar kelas eksklusiff) dan di waktu yang sama Azmin Ali juga seringkali terbang ke luar negeri.

Musim pilihanraya umum lalu seringkali calon-calon yang bertanding atas tiket keadilan bersungut tidak memperolehi dana politik. Selain dari bantuan kenalan terdekat ada juga terpaksa bergolok bergadai demi perjuangan. Penyokong pula ramai turut menyumbang dana. Kedengarannya agak daif juga mereka bertarung dalam keadaan serba kekurangan.

Dan hari ini Azmin Ali seringkali terbang ke luar negeri, terbaru dia berada di Jakarta untuk menghadiri sessi pertemuan entah dengan siapa? Ramai mengetahui kalangan kroni era Anwar Ibrahim berada di Kementerian Kewangan seperti Datuk Nasaruddin Jalil (bekas setiausaha Sulit), Dr. Hasni ( Ketua Uksekutif Abrar Group), Rahim Ghaus dan beberapa nama lain menetap di Indonesia sebagai tempat perembunyian musim penahanan Anwar Ibrahim.

Apakah mungkin ada dana yang tersembunyi di negeri seberang? Mungkin beberapa kotak rahsia seperti labun Ezam semasa reformasi memuncak dahulu masih “terkepuk” di negara tersebut dan kunci rahsianya ada pada Azmin Ali... wallahualam.

Namun yang pasti di sebalik rasa kecewa “gagalnya” Anwar Ibrahim memisahkan Azmin Ali dari celah ketiaknya (seperti dakwaan Ezam) serta persoalan dana politik dikatakan penyebab utama mantan Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan itu mengambil langkah meninggalkan parti tersebut.

Bagaimana mahu diharapkan parti Keadilan menjadi alternatif selain Umno untuk menerajui kepimpinan politik bangsa Melayu jika perpecahan demi perpecahan tercetus di dalam parti tersebut sementara sidang “pendekar” dan “juak-juak terkanannya” sudah angkat kaki meninggalkannya.

Mungkin benarlah seperti pernyataan saudara Zaharin Mohd Yassin “Sang Kelembai” mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim seringkali bersikap “bodoh sombong”

Serta amat melulu melakukan tindakannya.

Hari ini Tan Sri Eric Chia yang ditonjolkan sebagai “koruptor” nombor wahid oleh Anwar telahpun dibebaskan oleh Mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah urus keewangan syarikat Perwaja.

Ramai yang tidak mengetahui semasa memangku jawatan Perdana Menteri tahun 1996 dahulu Anwar cuba megaitkan isu Eric Chia dan Perwaja sebagai modal “merudumkan” kepercayaan rakyat terhadap Dr. Mahathir. Malahan pada tahun tersebut juga turut tersingkir Datuk Zainab Abu Bakar dari jawatan Timbalan Menteri yang dilihat sebagai percubaan mencuit kelingking Dr. Mahathir.

Sesungguhnya kalangan pemerhati politik merasa yakin tidak mungkin Anwar Ibrahim mampu melangkah ke Seri Perdana. Musim gemilangnya sudah pudar tanpa ada harapan lagi. Kerana itulah Abdullah Ahmad Badawi merasa cukup selesa untuk meneruskan musim bulan madunya di negara Eropah.

Dan hari ini (Selasa 26 Jun 2007) Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan secara resmi telah memberi jawapan terhadap pendedahan Malaysia Today melalui lama maya “Corridors Of Power” berhubung terdapatnya hubungan mesra beliau dengan ketua-ketua sindiket jenayah terancang.

Tan Sri Musa Hassan menafikan bahawa dirinya terlibat menerima sogokkan atau mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah serta menganggapnya sebagai satu fitnah yang senagaja dilemparkan terhadapnya.

Meneliti laporan akhbar arus Perdana, Musa Hassan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai atau mengadili kebenaran dakwaan tersebut dan beliau tidak pula menyatakan mahu mengambil sebarang tindakan mahkamah.

Agak pelik dan seperti kurang percaya bila menatap penjelasan Musa Hassan sebegitu rupa. Pendedahan yang dilakukan oleh Raja Petra bukan sekadar sembang kedai kopi, malahan bukan cerita budak kecil curi pisang. Ia menyangkut wibawa pasukan Polis Di Raja Malaysia yang dipertanggung jawab sebagai pengawas undang-undang terpenting.

Tidak mungkin rakyat boleh menerima sebegitu sahaja penjelasan atau penafiannya secara sambil lalu dengan alasan banyak tugas lain yang lebih penting. Rakyat melihat jawapan tersebut seperti “drama budak kecil” .

Musa Hassan seharusnya berani memikul tugas membersihkan nama baik pasukan polis dan jika terbukti tuduhan atau pendedahan yang dibicarakan oleh Malaysia Today tidak benar lunas-lunas perundangan semestinya dilaksanakan. Hanya dengan meminta rakyat mengadili persoalan tersebut pasti mengundang pelbagai persepsi tidak menentu.

Pasukan Polis tidak seharusnya didedahkan kepada presepsi sedemikian kerana setiap anggotanya mesti dipertahankan kredibalitinya kerana mereka adalah pemegang amanah untuk menjamin keluhuran undang-undang. Sudah terlalu banyak tohamahan dan cerita negatif berhubung pasukan polis diperbualkan oleh rakyat. Apakah dengan terkaitnya nama Ketua Polis Negara pun masih mahu membiarkannya menjadi bualan rakyat?

Pepatah ada mengatakan “berani kerana benar dan takut kerana salah” seharusnya segera diterjemahkan secara mutlak oleh Ketua Polis Negara. Meminta rakyat mengadili tanpa lunas-lunas perundangan dirasakan kurang bijak.

Musim “lebam mata Anwar Ibrahim” menjadikan keyakinan rakyat jatuh merudum terhadap “mesranya” sikap pasukan polis Di Raja. Begitu juga bila peristiwa cukup memalukan “ketuk ketampi dalam keadaan bogel” sehingga menyebabkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri waktu itu Datuk Azmi Khalid pergi meminta maaf kepada kerajaan negara China menghakis percaya rakyat “cekapnya” pasukan polis menyiasat.

Dan kini apakah pendedahan oleh Raja Petra berhubung tindak tanduk Ketua Polis Negara bakal menghilangkan hormat rakyat terhadap “ tegasnya” pasukan polis melaksanakan undang-undang.

Ternyata sejak menerajui kepimpinan negara “kerajaan Abdullah Ahmad Badawi” tidak henti-henti dijengah pelbagai misteri dan kejadian anih serba mengaibkan. Dan esok entah apa pula yang akan terjadi wallahualam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib melaungkan sebegitu lantang pernyataan “ no one above the laws” atau tidak sesiapapun boleh mengatasi undang-undang, apakah Musa Hassan boleh bertindak “above the laws”?.... fikir-fikirkanlah duhai rakyat di bumi tercinta beranama Malaysia.